• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kisah Tentang Taubat

Taubat Nabi Adam a.s.
Diriwayatkan dari Hasan, ia berkata bahawa ketika Allah menerima taubat Nabi Adam a.s., para malaikat mengucapkan selamat kepadanya dan Jibril serta Mikail a.s. turun kepadanya seraya berkata, "Wahai Adam, tenanglah hatimu sebab Allah Taala telah menerima taubatmu."

Jawab Nabi Adam a.s., "Hai Jibril, jika sesudah taubat ini ada pertanyaan, maka di mana sebenarnya maqam (kedudukan) aku?"

Allah pun menurunkan wahyu kepada Nabi Adam a.s., "Hai Adam, Kuwariskan kepada keturunanmu jerih-payah dan upah, dan Kuwariskan taubat kepada mereka. Barangsiapa di antara mereka berdoa kepada-Ku, pasti Kukabulkan sebagaimana Aku mengkabulkan engkau, dan barangsiapa memohon ampunan-Ku, Aku tidak berlaku kikir ke atasnya. Sebab Aku dekat, dan pengampun dosa. Hai Adam, orang-orang yang bertaubat akan dibangkitkan dari kuburnya dalam keadaan suka ria dan tersenyum simpul di mana doa permohonan mereka dikabulkan."

Tuhan Maha Penerima Taubat
Diriwayatkan bahawa di kalangan Bani Israil ada seorang pemuda yang beribadat kepada Allah selama 20 tahun dan membuat maksiat kepada-Nya selama 20 tahun pula. Suatu hari dia melihat wajahnya di cermin, dan nampaklah janggutnya yang beruban. Dia merasakan dirinya telah tua dan sudah tentu telah dekat dengan kematian.
Keadaan itu menyebabkan hatinya merana, lalu mengeluh, "Hai Tuhanku, aku telah taat kepada-Mu selama 20 tahun, kemudian maksiat kepada-Mu selama 20 tahun pula. Andaikata aku kembali kepada-Mu, sudikah Engkau menerima-Ku?"

Kemudian dia mendengar suatu suara berkata, "Engkau telah mencintai-Ku, maka Aku pun mencintaimu. Engkau telah meninggalkan-Ku, maka Aku pun meninggalkanmu. Dan engkau telah maksiat kepada-Ku, maka engkau Kuberi waktu. Jikalau engkau kembali kepada-Ku, Aku terimalah engkau."

Pintu Taubat Sentiasa Terbuka
Seorang lelaki telah bertanya kepada Ibnu Mas`ud tentang seorang yang berdosa tapi menyesalinya, apakah bagi orang itu ada hak taubat. Ibnu Mas`ud berpaling daripadanya, kemudian menghadapnya semula dengan kedua matanya bercucuran air mata, lalu menjawab, "Sesungguhnya Syurga itu mempunyai delapan pintu yang seluruhnya kadang kala terbuka dan kadang kala terkunci, kecuali pintu taubat. Pada pintu ini ada malaikat yang diserahi tugas agar jangan menguncinya. Bertaubatlah, jangan berputus asa!"

Taubat Dengan Menebus Dosa
Pada umat sebelum Rasulullah SAW, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Suatu hari dia menanyakan tentang orang yang paling alim di dunia ini, lalu ditunjukkan kepadanya seorang rahib. Lelaki itu pergi berjumpa sang rahib dan mengatakan bahawa dirinya telah membunuh 99 orang, apakah masih berhak untuk taubat. Rahib itu mengatakan tidak. Lalu dibunuhnya sekali rahib tersebut dan dengan itu cukuplah seratus orang. Kemudian ia bertanya lagi siapa yang paling alim di dunia ini. Ditunjukkanlah kepadanya salah seorang alim, lalu ia pun mengaku kepada orang alim itu yang ia telah membunuh seratus orang, apakah ia boleh bertaubat.
Jawab orang alim itu, "Ya. Siapa yang dapat menghalang kamu daripada bertaubat? Pergilah ke kampung sekian, sekian. Di sana, orang-orangnya memuja Allah Taala. Menujulah kepada Allah bersama-sama mereka dan jangan kembali ke kampungmu. Sebab kampungmu adalah tanah jahat."
Di pertengahan jalan, lelaki itu telah meninggal dunia. Maka berselisihlah malaikat rahmat dan malaikat azab tentang siapa yang berhak menguruskannya.

Malaikat rahmat berkata, " Di hatinya telah ada taubat kepada Allah."

Malaikat azab pula berkata, "Dia belum berbuat kebaikan sama sekali."

Kemudian, Allah mendatangkan malaikat lain dalam rupa manusia biasa untuk memutuskan perkara itu. Jarak di antara lelaki itu dengan kedua buah kampung pun diukur. Ternyata ia lebih dekat dengan kampung yang sedang ditujuinya dengan kadar satu jengkal. Akhirnya ia pun diuruskan oleh malaikat rahmat. Oleh itu, jelaslah bahawa tidak ada keselamatan kecuali dengan lebih beratnya timbangan kebaikan walaupun hanya seberat satu atom. Kerana itu wajib bagi orang yang bertaubat untuk memperbanyakkan kebaikan bagi menebus dosa-dosanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)