• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Silaturahim Kerana Allah Lebih Kuat, Teguh

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Mereka yang harapkan ganjaran duniawi daripada teman bukan sahabat sejati

KERANA orang mukmin adalah bersaudara, maka wanita tidak terkecuali dalam membina ukhwah sesama Muslim. Ikatan persahabatan yang tulus dan ikhlas berbeza dengan cara dilakukan oleh bukan Muslim kerana silaturahim yang dibina kerana Allah lebih kuat dan teguh.

Ia disebabkan iman setiap orang mukmin kepada Allah disambungkan kepada saudara seagama menjadikan pertautan hati dan jiwa serta akal dan rohani yang tiada taranya.

Sebab itulah ada persahabatan yang erat dan berpanjangan melebihi hubungan persaudaraan.

Sesama sendiri, Muslimah memiliki ikatan hati yang sangat kuat kerana ukhwah disebabkan cinta kepada Allah. Mereka saling mengingatkan antara satu sama lain, berkongsi rasa dan duka, gembira dan suka. Daripada hubungan persahabatan juga manisnya iman dapat dirasa sehingga ada yang berubah pendirian dan sikap untuk lebih menghampiri penciptanya.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Ada tiga hal yang apabila ada pada seseorang, nescaya dia akan merasakan manisnya iman; menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selainnya. Dan apabila mencintai seseorang, dia tidak mencintainya melainkan kerana Allah. Dan dia enggan kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya seperti dia enggan dilemparkan ke neraka."

Orang yang merasai manisnya iman sukar berkongsi apa yang dirasai dengan orang lain melainkan perasaan sama turut dialami. Yang pasti, Nabi Muhammad digelar kekasih Allah adalah manusia yang paling dekat hatinya dengan Allah kerana Baginda mencintai Allah melebihi yang lainnya dan sanggup menghadapi bahaya dan bencana semata-mata untuk mempertahankan agama dan mesej yang dibawa dari Yang Maha Esa.

Umat Islam pula akan merasai manisnya iman dengan mencintai Allah dan Rasul lebih daripada segala-galanya. Bayangkan jika seseorang wanita menyintai suaminya tanpa berbelah bahagi sehingga sanggup meninggalkan agama, keluarga dan tanah air semata-mata untuk sentiasa berada di samping suami.

Itulah tanda cinta yang tiada bandingannya. Situasi sama perlu dirasai jika kita mencintai Allah dan Rasul sehingga cinta itu tidak terungkap oleh kata-kata, sebaliknya kita akan sentiasa gembira dan tenang apabila mendampinginya dan menjauhi apa yang tidak disukai kerana bimbang dibenci.

Wanita yang menjalin persahabatan sesama saudara seagama perlu mengambil kesempatan untuk merasai manisnya iman dengan membina ukhwah dan mencintai sahabat kerana Allah. Walaupun tiada di depan mata, silaturahim tetap terbina dengan ikatan hati yang kukuh jika kita sentiasa menghampiri-Nya kerana iman kepada Allah disambungkan kepada saudara seagama.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 10 bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara".

Kesibukan dengan urusan harian dan komitmen kepada keluarga sepatutnya tidak membataskan wanita untuk menjalin hubungan persahabatan, tambahan pula kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini memudahkan lagi perhubungan tanpa memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Ada sahabat yang memerlukan kita untuk berkongsi masalah dihadapi dan meminta pertolongan untuk mengatasi kesusahan yang membelenggu.

Hubungan yang erat dan ikhlas tentunya dapat membantu sahabat dalam kesusahan dan sedikit sebanyak memanfaatkan diri kita yang dilahirkan ke dunia kepada orang lain. Jangan pula ada wanita yang mengambil kesempatan untuk membina hubungan sesama wanita melampaui batasan sepatutnya.

Ada segelintir yang mendakwa mencintai sahabat wanita sehingga sanggup menjalin hubungan songsang yang bertentangan dengan agama dan norma, bahkan ada yang meminta cerai suami untuk 'hidup bersama' dengan teman wanita yang dicintai.

Mereka mengambil kesempatan di atas jantina yang serupa untuk tinggal bersama tanpa menimbulkan syak wasangka tetapi hidup dengan nilai buruk dan menjijikkan, seolah-olah tidak mengetahui akibat apa yang dilakukan di akhirat nanti.

Tidak salah mencintai sahabat baik, mengasihi dan menyayanginya seperti kita dicintai, dikasihi dan disayangi tetapi biarlah kerana Allah, tidak melencong daripada landasan agama dan sentiasa saling mengingatkan azab yang pedih. Bahkan orang yang mengasihi kerana Allah mendapat kemuliaan, kebanggaan dan kehormatan pada saat Allah mengumpulkan mereka pada hari akhirat dan Allah akan menaungi mereka pada hari itu.

Persahabatan jujur lahir daripada hati yang ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa melainkan keredaan Allah. Sahabat sebegini mempunyai hati yang bersih dan rohani yang suci. Mereka tidak terganggu dengan mengadu domba, umpat keji, hasad dengki dan caci maki.

Mereka mampu menyingkirkan bisikan duniawi yang penuh syahwat dan menghancurkan agenda iblis yang sentiasa ingin membinasakan silaturahim sesama Muslim. Sebaliknya, sahabat yang keji sentiasa mengharapkan ganjaran duniawi dan menaburkan fitnah dan mencaci maki jika apa yang diingini tidak diperoleh.

Mereka lupa Allah mengangkat darjat orang yang mengasihi kerana Allah, bukan kerana wang dan pangkat. Abu Hurairah r.a daripada Rasulullah bersabda maksudnya; "Bahawasanya ada seorang lelaki yang hendak mengunjungi saudaranya di desa yang lain, maka Allah mengutus malaikat untuk menemuinya di sebuah jalan yang akan dilaluinya.

Selepas bertemu, malaikat bertanya kepadanya, "Ke manakah kamu akan pergi?" Lelaki itu menjawab, "Aku akan menemui saudaraku di desa ini." Malaikat bertanya lagi, "Apakah ada kenikmatan dunia yang kamu harapkan darinya?" Lelaki tadi menjawab, "Tidak demikian, tetapi kerana aku mencintainya kerana Allah. Malaikat berkata, "Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus Allah kepadamu untuk mengkhabarkan sesungguhnya Allah mencintaimu sebagai mana kamu mencintai saudaramu kerana-Nya." (Hadis riwayat Muslim)

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)