• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kecekapan Mentadbir Kriteria Pilih Calon

Tajdid Iman: Kecekapan mentadbir kriteria pilih calon
Oleh Juanda Jaya

Mengundi ialah kewajipan kesaksian kita menentukan pemimpin amanah, ikhlas bekerja

MENGUNDI adalah bentuk kesaksian seseorang terhadap calon pilihannya. Orang yang mengundi untuk calon yang tidak layak seolah-olah memberi kesaksian palsu dan ia satu dosa besar. Ironinya, orang yang amanah dan dekat di hati rakyat tidak dipilih kerana ketaksuban terhadap suatu parti walaupun parti itu menamakan calon yang tidak layak menjadi wakil bagi melaksanakan amanah rakyat.

Prof Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya yang bertajuk Min Fiqh Daulah Fil Islam berpandangan bahawa: "Sesiapa yang meninggalkan kewajipannya dalam pilihan raya sehingga calon yang sesuai menjadi kalah dan ia dimenangi orang yang tidak mempunyai kekuatan dan amanah, maka sesungguhnya ia melanggar perintah Allah yang menyuruh memberikan kesaksian, sedangkan dia dipanggil untuk melakukannya lalu dia menyembunyikan persaksiannya ketika seluruh umat amat memerlukan persaksiannya."




Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu (saksi) menyembunyikan persaksian dan barang siapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat: 283)

Walaupun sifat manusia suka berpura-pura baik sehingga pengundi tertipu muslihatnya, akan tetapi keikhlasan setiap calon boleh dinilai daripada kecekapan mentadbir, keprihatinannya terhadap kesusahan rakyat dan usaha untuk mensejahterakan rakyat serta mendidik mereka supaya menjadi hamba Allah yang bertanggungjawab.

Semua sifat itu adalah akhlak Islam yang menjadi teras keagungan seorang pemimpin. Walaupun dia seorang kafir zimmi ataupun Muslim yang tidak menggunakan nama Islam sebagai bendera partinya. Tetapi, apabila dia membawa watak dan keperibadian yang baik, tidak wajar jika umat Islam menolaknya menjadi pemimpin mereka. Apalah ada pada nama Islam jika inti pati perjuangannya banyak menyalahi akhlak Islam.

Nasib rakyat jelata tidak selalu baik, janji manis kadang menipu dan memaksa mereka untuk bersabar menunggu pilihan raya berikutnya untuk ditipu. Ini disebabkan mereka tidak jujur dalam memberi kesaksian terhadap individu yang menjadi calon pilihan.

Seorang yang kurang ilmu tetap dipilih kerana ketaksuban kepada sesebuah parti bahkan orang yang jelas pernah melakukan jenayah pun masih popular disebabkan sifat asabiyah melulu kepada kumpulannya. Rakyat yang suka memberi kesaksian palsu selalunya diberi imbuhan lumayan ketika kempen melalui janji palsu. Padahal amat berat dosa yang ditanggung seseorang yang suka berjanji palsu.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan. Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali, kamu menjadikan sumpah (perjanjian) mu sebagai alat penipu di antaramu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya dari golongan yang lain. Sesungguhnya Allah hanya menguji kamu dengan hal itu. dan sesungguhnya di hari kiamat akan dijelaskan-Nya kepadamu apa yang dahulu kamu perselisihkan itu." (Surah al-Nahl ayat: 91-92)

Ramai yang diperbodohkan oleh khabar angin di internet yang tidak jelas kesahihannya bahkan palsu semata-mata. Dibakar oleh ceramah retorik yang indah pada bahasa tetapi buruk ketika merealisasikannya menjadi ragam orang munafik berpolitik. Namun, tidak semua yang berdiri memperjuangkan nasib rakyat berakhlak di bawah paras kejahilan. Kita percaya, walaupun tidak sempurna seperti Umar bin Abdul Aziz, paling tidak mereka boleh membuktikan sedia berkhidmat kepada rakyat.

Setiap pemimpin sewajarnya berhati-hati dengan pujian yang melangit daripada penasihatnya yang suka menjilat demi mendapatkan keuntungan dunia semata-mata. Kepada orang yang ikhlas memberi nasihat walaupun pahit didengar hendaklah pemimpin memperlakukan mereka dengan penghormatan dan berlapang dada seraya menimbang idea dan pemikiran mereka demi menyelamatkannya dari mahkamah Allah Rabbul 'Alamin.

Penguasa yang ikhlas hendaklah menjadikan kata-kata Khalifah Umar bin al-Khattab sebagai inspirasi dan nasihat: "Seandainya seekor anak kambing mati kerana tersesat di sungai Furat, aku takut Allah SWT akan menyoal diriku mengenainya kelak."

Begitu juga rakyat yang memilih seorang pemimpin, mereka juga pasti akan diminta pertanggungjawaban di atas kesaksiannya terhadap calon yang dipilih. Maka hendaklah mereka takut dengan amaran dosa besar setanding syirik ini seperti firman-Nya yang bermaksud: "Maka jauhilah olehmu berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan-perkataan (kesaksian) dusta." (Surah Al-Hajj ayat: 30)

Jangan disebabkan taksub kepada parti membutakan mata hati kita dalam menilai kelayakan seorang pemimpin. Lihatlah pada beberapa penanda aras kelayakan seorang pemimpin menurut al-Quran, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah memilih Rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa." Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah: 247)

Ilmu terutama kebijaksanaan menyelesaikan perselisihan menjadi kunci kelayakan menjadi pemimpin. Semoga pilihan anda tidak tersilap dan tidak menjadi dosa.

Penulis ialah Mufti Perlis

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)