• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Mudahnya Jadi Muslim Bertakwa

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my
2010/05/07

SABAN minggu khatib dalam khutbahnya mengingatkan mengenai ketakwaan kepada Allah. Persoalannya, adakah kita faham erti takwa?
Dalam bahasa Arab, perkataan 'takwa' berasal dari kata kerja 'ittaqa' bermaksdu 'berwaspada dan berjaga-jaga' atau 'takut kepada Allah dan menjauhi segala larangan-Nya'.

Ittaqa juga bermaksud 'menjadikannya pelindung daripada sesuatu perkara'.
Jelaslah, takwa bukan saja membawa maksud takut kepada Allah, malah menjadikannya pelindung dan pemelihara kita daripada sebarang perkara buruk dan bahaya.

Ketinggian tahap takwa amat jelas apabila ia dijadikan ukuran kepada pemilihan hamba Allah S.W.T yang dipandang mulia di sisi-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13).


Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menggunakan perkataan takwa atau perkataan yang membawa maksud takwa menggunakan bentuk yang berbeza seperti dalam bentuk kata perintah seperti 'ittaquu' yang bermaksud 'bertakwalah kamu' atau kata nama yang merujuk kepada golongan bertakwa seperti perkataan 'muttaqin'.

Beberapa perkara yang dikaitkan dengan takwa menerusi ayat al-Quran perlu diteliti, antaranya berbuat baik sesama insan serta bermaaf-maafan.


Ayat berkenaan berkaitan dengan hubungan suami dan isteri yang sudah bercerai. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 237).

Sentiasa berlaku adil. Perkara terbabit dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Ma'idah, ayat 8).

Melakukan amalan dengan keikhlasan. Allah menjelaskan perkara ini serta mengambil ibadah korban sebagai contoh, firman Allah yang bermaksud: "Daging dan darah haiwan korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu." (Surah al-Hajj, ayat 37).

Melaksanakan perintah Allah dengan penuh kesabaran. Hal ini dijelaskan Allah dalam al-Quran serta mengambil contoh perintah solat bagi menggambarkan ibadah yang diperintahkan Allah sememangnya memerlukan kesabaran dalam pelaksanaannya.
Gangguan syaitan dan juga dorongan nafsu manusia yang mengarah kepada keburukan akan sentiasa menjadi penghalang utama kepada pelaksanaan ibadah dan perintah Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan perintahlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa." (Surah Toha, ayat 132).

Menjaga hak orang lain dan memenuhi janji. Firman Allah bermaksud: "Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertakwa." (Surah Ali 'Imraan, ayat 76).

Berdasarkan beberapa potong ayat di atas, jelas kepada kita untuk mencapai ketakwaan kepada Allah ia berkait rapat dengan amalan jiwa atau dalaman seseorang Muslim.

Dapat disimpulkan sifat terpuji mestilah sentiasa disemai dalam diri setiap individu Muslim bagi mencapai ketakwaan yang sebenar.

Berbaik sangka sesama manusia, mudah memberi dan meminta maaf, sabar, adil, ikhlas, memenuhi janji, berkasih sayang, reda antara amalan hati yang boleh membentuk peribadi yang terpuji serta menjadi prasyarat penting dalam mencapai martabat golongan yang bertakwa.

Tanpa takwa yang sebenar dalam diri, segala perintah Allah yang dilaksanakan tidak membawa sebarang faedah kepada diri serta kehidupan dunia dan akhirat.
Marilah sama-sama kita berusaha menyuburkan rohani dan jiwa dengan sifat terpuji seperti dibuktikan Rasulullah melalui keperibadiannya yang tinggi serta luhur.

Allah menyatakan takwa itu sepatutnya dijadikan pakaian bagi diri setiap Muslim dan ia sebaik-baik pakaian. Firman Allah yang bermaksud:"Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya." (Surah al-A'raaf, ayat 26).

Ibnu Kathir dalam tafsirnya Tafsir al-Qur'an al-'Azim sebagai berkata beberapa pendapat ulama tafsir mengenai makna 'pakaian' dalam ayat itu.
Ikrimah menyatakan yang dimaksudkan dengan pakaian itu ialah pakaian yang dipakai orang bertakwa pada Hari Kiamat.

Qatadah pula menafsirkan yang dimaksudkan dengan 'pakaian takwa' itu adalah iman, manakala al-'Aufi mengambil pendapat Ibn Abbas yang menafsirkan 'pakaian takwa' itu sebagai amal soleh. (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1998, juzu' 3, halaman 1418)

Menurut Ibn Kathir semua maksud itu membawa pengertian dan tujuan sama. Perumpamaan itu jelas bahawa takwa amat penting dan setiap Muslim wajib memilikinya serta terus melakukan amalan yang dapat meningkatkannya.

Sesungguhnya ganjaran syurga milik mereka yang tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang muttaqin. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang bertakwa ditempatkan dalam beberapa taman syurga dengan mata air terpancar padanya." (Surah al-Hijr, ayat 45).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)