• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Taati Allah Ubat Gelisah

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my
2010/04/23

KEHIDUPAN pasti ada cabaran, suka dan duka. Tidak bernama kehidupan tanpa cabaran, ia ibarat warna-warni yang menghias diri.
INGAT ALLAH...amalan membaca al-Quran dapat melahirkan individu yang bersih jiwanya.
INGAT ALLAH...amalan membaca al-Quran dapat melahirkan individu yang bersih jiwanya.
TENANG...hati akan tenteram jika setiap masa berzikir memuji nama serta kebesaran Allah.
TENANG...hati akan tenteram jika setiap masa berzikir memuji nama serta kebesaran Allah.
Namun, seberat mana masalah yang menimpa, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat Allah sentiasa meliputi kita. Sebenarnya tujuan Allah menyakitkan adalah bagi menyembuhkan, begitu juga Allah menyempitkan adalah untuk meluaskan. Hebatnya perancangan Allah bagi menguji hamba-Nya.

Ketandusan hati adalah penyakit yang amat ketara dalam masyarakat kita hari ini. Ramai susah hati, gelisah, gundah-gulana walaupun memiliki segala-galanya, harta dan kuasa.

Hakikatnya, kebahagiaan dan ketenangan bukan terletak kepada kemewahan, harta benda atau kuasa kerana manusia yang kaya-raya hidup tidak senang, takut, runsing dan tidak tenteram. Mengapa?

Apabila hati dikuasai iman dan takwa, akan lahirlah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai nafsu, amal yang muncul adalah keburukan.

Tidak hairanlah apabila seseorang itu mengalami kegelisahan akan melakukan apa saja di luar batasan akal manusia. Ia berlaku kerana gagal mengawal perasaan serta tidak melihat Allah sebagai Yang Maha Kuasa dan Maha Esa.

Demikian juga halnya dengan penyakit seperti dengki, dendam dan iri hati yang semuanya berpunca daripada kegelisahan dan tiada ketenangan dalam hati mereka.

Pelbagai usaha yang dilakukan dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, bersukan, yoga atau melukis.

Ada juga memilih jalan 'songsang' seperti berhibur di kelab malam, minum arak atau mengambil dadah.

Apabila manusia berasakan Allah begitu dekat dengannya walaupun dibebani dengan masalah, mereka akan segera mendapatkan ketenangan dengan membaca al-Quran, berzikir, bersolat dan melihat keindahan alam ciptaan Allah. Inilah ubat ketenangan.

Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah dengan mengingati Allah. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala hati. (Surah al-Ra'd ayat 28).

Hati orang yang beriman itu akan sentiasa tenang dan tenteram kerana mereka mengingati Allah. Tidak kira walau mereka ditimpa malapetaka, mereka segera insaf dan melihat kembali kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diubah.

Kesenangan hati itu adalah kebahagiaan yang sebenarnya. Dengan itu, Islam amat menitikberatkan tanggungjawab menunaikan solat lima waktu lima kali sehari semalam kerana dengan bersembahyang manusia dapat membersihkan hati dan jiwa.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, sembahyang itu tempat ketenangan jiwa dan kesenangan hatinya. Jadi, orang yang mengerjakan sembahyang lima kali sehari semalam seolah-olah mereka mengingati Allah siang, malam, pagi dan petang.

Dengan bersembahyang, hati terasa sedang mengadu serta merintih kepada Allah. Hal berkenaan dijelaskan Rasulullah, bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur.

Baginda bersabda yang maksudnya: "Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang". (Hadis riwayat Al-Nasa'ei).

Itulah bezanya orang yang bersembahyang dengan orang yang meninggalkannya. Maka jangan sesekali kita rasa berat mengerjakan solat kerana ia ternyata memberikan banyak manfaat.

Dalam mencari ketenangan, seseorang perlu berpandukan syarak supaya ia tidak jauh tersasar. Ketenangan yang dicari dengan berseronok hanyalah bersifat sementara.

Orang yang berada dalam keadaan tidak tenang akan sentiasa bersedih, muram serta susah hatinya. Maka, kita perlu mengingati Allah pada setiap masa dan memohon taubat kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci" (Surah al-Baqarah ayat 222).

Walau bagaimana berat sekalipun ujian, Allah sentiasa membantu. Firman Allah yang bermaksud: "Dia yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan mereka bersama keimanannya. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana" (Surah al-Fathu ayat 4).

Jadi, kita tidak boleh merungut, berasa beban atau tertekan dengan ujian hidup. Rasulullah sendiri menempuh pelbagai ujian sehingga Baginda diangkat darjat Ulul Azmi iaitu mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Firman Allah yang bermaksud: "Adakah kamu menyangka, kamu akan masuk syurga sahaja dan tidak akan datang (malapetaka) kepadamu seperti yang telah datang kepada orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemiskinan dan kemelaratan yang amat sangat dan mereka gementar (ketakutan) sehingga berkata rasul dan orang yang beriman bersamanya: Bilakah tibanya pertolongan Allah? Ingatlah, bahawasanya pertolongan Allah itu hampir tiba." (Surah al-Baqarah ayat 214).

Bagi orang beriman, ujian bukanlah dianggap sesuatu perkara yang malang kerana Allah mempunyai perancangan di sebaliknya.

Dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian ditimpa sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat pula, Allah menurunkan ujian bagi meningkatkan darjat seseorang.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata tiada cara lain 'mengubati' penyakit gelisah melainkan mentaati segala perintah Allah.

"Walaupun kita diuji dengan penyakit, derita atau miskin kita perlu kembali semula kepada Allah s.w.t yang pasti mempunyai perancangan buat manusia.

"Bagaimana boleh dapat merasai ketenangan jika manusia tidak pernah melawan hawa nafsu yang sentiasa menjuruskan mereka ke lembah kehinaan," katanya.

Zamihan berkata, manusia perlu 'sibuk' berurusan dengan Allah kerana Dia memberikan segala-galanya termasuk kesenangan.

"Dengan mengingati nama Allah, hukum serta qada dan qadar mampu menjadikan jiwa manusia lebih kuat dan tenang.

"Insya-Allah, dengan zikrullah hati akan sentiasa lapang. Jika Allah uji dengan kematian insan tersayang misalnya mereka perlu bersedia dan menerima takdir itu dengan hati terbuka. Daripada situ akan timbul sifat reda menerima ketentuan yang Allah janjikan," katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang berada dalam kekusutan perlu meleraikan dahulu masalah yang dihadapi dan tidak membiarkan kegelisahan itu menguasai fikiran.

"Reda dan pasrah terhadap ketetapan dan ketentuan Allah akan mententeramkan hati manusia daripada segala macam kegelisahan jiwa yang timbul.

"Benar, kesedihan tidak mungkin dapat ditolak. Mengapakah kita memberi ruang serta membiarkan diri kita tenggelam dalam kesengsaraan?" katanya.

Selain itu, Zamihan berkata orang beriman pasti tenang apabila dapat melihat alam ciptaan Allah s.w.t dan sebab itu manusia digalakkan berbuat demikian sebagai tanda memuji kebesaran Allah.

"Mereka pasti rasa bahagia apabila dapat melihat ciptaan Allah di muka bumi ini seperti lautan, bukit bukau, haiwan, langit dan gunung ganang yang semuanya mempunyai peranan masing-masing.

"Muhasabah diri itu penting bagi menilai kesilapan kita. Jika kita berasakan diri ini teruk dilanda masalah, kita perlu fikir masih terdapat individu lain yang lebih hebat diuji Allah," katanya.

Beliau berkata bebanan masalah tidak boleh disimpan dan ia perlu dibawa berbincang dengan mereka yang boleh menyelesaikannya.

"Kadangkala kesusahan hati seseorang tidak digambarkan melalui riak wajahnya kerana mereka dilihat bersahaja. Sebab itu mereka lebih selesa memendam perasaan. Namun, itu bukan cara terbaik bagi menyelesaikan masalah kerana dibimbangi ia akan memudaratkan diri sendiri.

"Elok rasanya kita meminta pandangan orang yang boleh dipercayai kemudian berbincang bagaimana masalah itu boleh diselesaikan," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)