• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tutup Aurat Bukan Hanya Bertudung

Oleh Mohd Fadly Samsudin

2010/04/30

BERFESYEN kini dilihat satu kemestian. Ia begitu sinonim dengan golongan hawa. Memang menarik sekali apabila melihat seorang wanita tampil berjubah atau bertudung kepala dengan pelbagai rekaan menarik.

Namun, bertudung bukan sekadar berfesyen, tetapi niat si pemakai adalah menutup aurat.

Islam tidak menetapkan syarat khusus etika berpakaian asalkan bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah: Siapakah yang mengharamkan (memakai) perhiasan dikeluarkanNya untuk hambaNya dan rezeki (makanan) yang baik-baik? Katakanlah: Semua itu untuk orang yang beriman ketika hidup di dunia dan khusus untuk mereka pada hari kiamat. Demikian Kami terangkan ayat itu untuk kaum yang mahu mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya yang diharamkan TuhanKu, hanya semua yang keji, baik zahir atau yang batin, maksiat dan melampaui batas tanpa kebenaran atau kamu sekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diberi keterangan kepadanya dan kamu katakan terhadap Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui". (Surah al-A'raaf ayat 32 hingga 33).

Memakai perhiasan (pakaian yang baik dan bersih) sangat besar faedahnya untuk menjaga kesihatan manusia. Begitu juga menjaga kehormatan.

Memakai pakaian yang baik itu melahirkan nikmat Allah dan terima kasih kepada-Nya. Orang mukmin diberikan pahala menerusi niat atas pekerjaan baik itu.

Perhiasan menjadi tidak baik jika ia berlebih-lebihan, seolah-olah hidup hanya untuk tujuan berhias.

Malah, tidak keterlaluan dikatakan melihatkan perkembangan fesyen semasa kini ia turut tempias kepada golongan lelaki yang semakin bijak bergaya.

Lelaki metroseksual. Itulah istilah yang digunakan bagi menggambarkan lelaki moden yang menjaga setiap inci penampilan mereka.

Namun, di sebalik perubahan yang dilihat menuju pemodenan adakah Islam melarang umatnya bergaya atau berfesyen?

Jika diteliti setiap orang pasti ingin tampil menarik apabila menghadiri majlis keraian seperti hariraya, perkahwinan, ke tempat kerja atau bersantai.

Islam memandang cara berpakaian mengikut gaya semasa diharuskan asalkan menutup aurat serta sopan, tidak terlalu ketat sehingga menampakkan susuk tubuh, bersederhana, dapat membezakan antara lelaki dan perempuan serta jangan nipis hingga menampakkan warna kulit atau bentuk badan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman: Hendaklah mereka merendahkan pandangan dan menjaga kehormatannya, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya, kecuali apa yang biasa nampak daripadanya, dan hendaklah mereka tutupkan tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau anak mereka atau anak suami mereka atau saudara mereka atau anak saudara lelaki mereka atau anak saudara perempuan mereka atau perempuan Muslimat atau hamba sahayanya atau pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (syahwat) kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan. Janganlah kamu berjalan sambil menggoyangkan kaki supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi (gelang kaki). Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan". (Surah An-Nur ayat 31).

Nabi Muhammad ketika hayatnya suka pakaian berwarna putih terutama untuk solat Jumaat dan menghadiri majlis keramaian.

Ini kerana putih itu asal daripada segala warna lain selain dilihat suci dan bersih. Walaupun Nabi amat suka kepada pakaian berwarna putih, apabila hariraya Nabi memakai pakaian berwarna dan baru (bersih).

Dalam soal berpakaian Rasulullah sendiri bersifat terbuka dengan syarat ia tidak melanggar batas syariah.

Baginda memakai pakaian dari Yaman, Najran dan Mesir. Dalam hadis dari al-Mughirah bin Su'bah, beliau berkata, "Sesungguhnya Nabi Muhammad memakai jubah Rom- dalam sebahagian hadis disebut jubah Syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua-dua tangan bajunya." (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai).

Angin peralihan daripada pakaian tradisi seperti baju Melayu bagi lelaki manakala wanita dengan baju kurung dan kebaya yang lebih moden menghakis ciri menutup aurat seperti digariskan dalam Islam.

Dari awal lagi, Islam tidak pernah melarang umatnya bergaya dan mengikuti aliran fesyen selagi ia bertepatan dengan hukum agama.

Yang penting, pastikan pakaian itu daripada jenis kain tebal, tidak nipis, jarang atau terlalu ketat. Jika bertudung, pastikan penampilan kemas.

Elakkan terlalu selekeh, comot atau memakai pakaian sehingga berbau dan mengganggu orang lain terutama ketika bersolat.

Kaum wanita boleh memakai seluar jeans yang dipadankan dengan kemeja atau blaus, tetapi perlu memenuhi syarat.

Bagi lelaki, walaupun aurat mereka dari pusat ke lutut, tidak bermakna mereka boleh berpakaian sesuka hati.

Amalan berseluar pendek atau memakai pakaian koyak tidak sesuai dan melanggar peraturan menutup aurat.

Malah, jika seseorang mahu dilihat seorang yang zuhud sehingga mengenakan pakaian yang buruk, koyak serta kelihatan selekeh, ia turut dilarang.

Dari sudut psikologi, banyak kes rogol berpunca daripada cara berpakaian wanita yang terlalu menghairahkan dan seksi.

Jika wanita menjaga aurat, ia membendung nafsu yang tidak terarah itu.
Menurut Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Salam Muhamad Shukri, berkata Islam tidak pernah menetapkan kod pakaian terhadap umatnya.

"Namun, wanita perlu memilih pakaian yang menutup aurat," katanya.

Abdul Salam berkata, wanita boleh bergaya dan berhias dalam keadaan tertentu, tetapi hanya untuk suaminya.

"Secara fitrahnya, manusia sukakan sesuatu yang cantik dan indah, tetapi perlu disesuaikan dengan keadaan.

"Menjalani kehidupan sebagai orang Islam, kita sentiasa terikat dengan adab dan tingkah laku," katanya.

Mengulas berkenaan fesyen dan gaya terkini terutama wanita yang bertudung tapi masih mendedahkan anggota tertentu seperti dada, beliau berkata ia tidak diiktiraf fesyen menutup aurat.

"Fesyen yang digayakan perlu mengikut tatacara dan adab yang menonjolkan wanita Muslimah iaitu menjaga auratnya.

"Seorang wanita itu tidak hanya menjaga maruah dirinya, malah ia membawa imej dan maruah wanita mukmin," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)