• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Umur Aset Dipertanggungjawab Di Akhirat

“JANGAN lupa ya abah! Bulan ini birthday Aakief, Aakief nak bawa kek kat kawan-kawan ke sekolah,” ujar anak saya yang berumur enam tahun.
Tersentak juga mendengar anak montel dan gebu itu mengomel. Yang tersentak sebenarnya bukannya sebab kena beli kek atau terlupa tarikh hari lahirnya, tetapi kerana mengenangkan umur serta tanggungjawab di sebalik sambutan hari lahir itu.


Umur anak kecil yang masih putih bersih bak kain putih seperti Akief itu sememangnya hanya tahu bergembira kerana mereka dirai, diingati dan disayangi. Namun, bagi kita yang sudah lama bermusafir di bumi Allah ini sepatutnya bermuhasabah diri kerana semakin umur kita semakin berkurangan umur.


‘Birthday’ yang biasanya diucap ‘selamat’ itu sebenarnya ‘bertambah kurang’. Seeloknya di samping bergembira, jangan lupa aspek manfaat dan kualiti amal yang kita lakukan perlu seiring dengan pertambahan usia kita. Hal ini sangat penting kerana di akhirat nanti, setiap individu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. Sebagaimana di dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada Hari Kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.” (HR Tarmizi).


Dalam hidup manusia terdapat tonggak umur yang sangat penting, antaranya umur 40 tahun sebagaimana tertera dalam al-Quran (Al-Ahqaf: 15--16). Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: “Apabila seseorang sudah mencapai usia 40 tahun, sekiranya kebaikannya tidak mengatasi keburukannya, syaitan mencium di antara kedua-dua matanya dan berkata, ‘Inilah manusia yang sangat malang’.


Dalam riwayat lain, Nabi bersabda yang bermaksud: “Ba rangsiapa umurnya sudah melebihi 40 puluh tahun sedang kebaikannya tidak lebih banyak daripada kejelekannya, hen daklah ia mempersiapkan keberangkatannya ke neraka.’’ Daripada dua hadis berkenaan, Nabi s.a.w menganjurkan umatnya untuk memeriksa amal perbuatannya setiap kali menyedari umurnya kian bertambah. Umur aset yang akan dipertanggungjawabkan. Kita pasti ‘beruntung dan celaka’ dengan umur panjang kita. Semuanya bergantung pada amal yang kita lakukan. Rasulullah s.a.w menyimpulkannya dalam dua kalimat iaitu “Manusia paling baik ialah yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya. Manusia paling buruk ialah yang panjang umurnya dan buruk amalnya.

Sehubungan itu, kita perlu menggunakan sisa umur yang masih diberikan ini dengan amalan yang baik khasnya bagi mencapai ‘Husnul Khatimah’ iaitu penghabisan umur yang baik. Mereka yang tidak menggunakan usianya dengan sebaiknya berada dalam kerugian dunia dan akhirat.


Hidup hanya sekali kerana peluang tidak datang berkali-kali. Hanya mereka yang terpimpin dengan al-Quran dan sunnah Nabi yang akan sentiasa berwaspada terhadap peringatan Allah s.w.t. Dalam surah al-’Asr yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar“.


Kerana terkesan dengan masa serta kepentingannya Ibrahim bin Adham pernah menjawab ‘Umurku baru 10 tahun’ apabila ditanya berapakah umurnya. Terkejut orang yang bertanya. Bagaimana boleh jadi begitu, sudah tua lagi berjanggut tetapi mengaku baru berumur 10 tahun. Dengan hati yang rendah penuh keinsafan beliau menjawab, “Baru 10 tahun aku benar-benar berubah dan beramal dengan berkualiti”. Seorang lagi alim apabila ditanya berapa umur, beliau menjawab, “Umurku 15 ribu hari. Lagi kaget yang bertanya, kita biasanya mengingati umur bayi empat puluh hari, enam puluh hari dan sebagainya. Beliau sangat berkira saat-saat yang berlalu, katanya aku ingat umurku dalam jumlah hari supaya aku dapat bermuhasabah. Sekiranya setiap hari satu kali berbuat dosa bayangkan kalau sudah 15 ribu hari. Kalau buat dosa setiap hari 5 minit bayangkan kalau sudah 15 ribu hari.


Orang yang cerewet dengan masa pasti akan memanfaatkan dan mengisinya dengan membaca, berfikir dan berzikir.


Orang sebegini akan mendapat keberkatan umur daripada Allah s.w.t. Selain itu, walaupun hayatnya tidak lama, sum bangan mereka akan kekal selamanya, namanya sentiasa disebut serta dijadikan rujukan, hujah dan dalil. Sebagai contoh Imam Syafie, yang meninggal pada usia 50-an. Imam Ghazali dalam juga lingkungan sama manakala Imam Nawawi pula pada usia 43 tahun. Mereka meninggalkan khazanah ilmu dengan warisan kitab yang membina bukan sahaja kepada tamadun manusia malah menjadi penggerak tamadun material soleh. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Munafiqun ayat 9 hingga 11 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, Janganlah kamu dilalaikan oleh urusan harta benda kamu dan anak- pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan ingatlah, sesiapa yang melakukan de mikian, mereka itulah orang yang rugi. “Belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tu hanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan ke datangan ajalku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh“.


“Dan ingatlah, Allah tidak sekali-kali melambatkan ke matian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.” Ketika menyanyikan lagu ‘Happy birthday to you’ janganlah kita lupa merenung hadis ini: “Rebutah olehmu akan lima perkara sebelum datang lima perkara; hidup kamu sebelum mati, sihat kamu sebelum sakit, masa lapang kamu sebelum masa kesibukan kamu, muda kamu sebelum tua dan kaya kamu sebelum miskin..” (HR Hakim dan Baihaqi).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)