• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Usah Pandang Remeh Isu Wali

2010/04/23

PERKAHWINAN adalah amanah Allah S.W.T yang dilaksanakan demi menambah zuriat di muka bumi ini. Bagi menyempurnakan amanah Allah itu, lima rukun ditetapkan dan wajib dipatuhi iaitu calon suami, calon isteri, wali, dua orang saksi dan sighah ijab kabul.
Jika kekurangan satu daripada rukun itu, perkahwinan tidak sah. Antara isu penting yang sering timbul dan menjadi bahan perbualan dalam masyarakat kita ialah bidang kuasa wali.

Terdapat kes seperti kahwin lari, akad nikah dua kali, kahwin paksa, bapa tidak membenarkan anaknya berkahwin dengan pemuda pilihan, bapa angkat bertindak sebagai wali kepada anak angkatnya dan sebagainya apabila semuanya berkisar mengenai kuasa wali.

Persoalan yang timbul ialah apakah bidang kuasa wali yang sebenarnya untuk menyempurna dan memuliakan amanah Allah itu.

Antara dalil yang menunjukkan amat mustahaknya wali ialah Firman Allah:
"Dan janganlah kamu kahwinkan perempuan kamu dengan lelaki musyrik (kafir) hingga mereka beriman". ( Al-Baqarah : 222)

Daripada hadith Nabi saw:

"Daripada Abi Musa r.a. Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali". (Riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa'i)

Hakim Mahkmah Tinggi Syariah Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus, ketika berceramah di Seminar Wali dan Perundangan anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di Kuantan baru-baru ini, mengulas isu wali dalam Islam.

Kira-kira 400 peserta menghadiri ceramah itu.

Beliau berkata, dalam konteks perkahwinan Islam, ia tidak boleh diteruskan tanpa wali manakala status wali dengan bakal pengantin perempuan sangat penting.

Beliau berkata, antara syarat sah wali ialah Islam, baligh (sekurang-kurangnya berusia 15 tahun), berakal, lelaki (perempuan tidak sah menjadi wali) dan merdeka.

Jika pengantin perempuan itu tidak mempunyai wali, ia akan dinikahkan menggunakan wali hakim. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Maka sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali". (Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud)

Beliau berkata, jika bapa kandung masih ada dan menepati syarat sah nikah, perkahwinan boleh dilangsungkan tanpa masalah.

"Bagaimanapun, jika bapa kandung meninggal dunia, hak wali berpindah kepada datuk sebelah bapa atau moyangnya jika ada.

"Namun, ada umat Islam kurang memahami kedudukan wali, memilih abang kandung atau bapa saudara menjadi wali selepas bapa kandung meninggal dunia.

"Inilah yang perlu diperbetulkan kerana isu ini amat penting kerana ia membabitkan generasi masa depan dan bagi mereka yang kurang arif mengenai isu ini, rebutlah peluang dengan menghadiri seminar ini untuk mendapat maklumat tepat berkenaan wali ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jaip, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman meminta pasangan yang ingin berkahwin jangan mengambil mudah soal wali kerana bimbang ikatan perkahwinan menjadi tidak sah.

Beliau berkata, jika perkahwinan tidak sah, seumur hidup pasangan itu bergelumang dengan dosa.

Sebagai contoh, katanya, jika bapa meninggal dunia dan anak perempuannya akan melangsungkan perkahwinan hak wali secara automatik berpindah kepada datuk lelakinya dan perkara ini yang kurang diberi pendedahan.

"Kebiasaannya kita hanya tahu wali itu digantikan dengan saudara kandung lelaki atau bapa saudara, tetapi ramai yang tidak tahu atau tidak mengambil berat isu hukum ini.

"Selepas datuk, jika moyang lelaki mereka masih hidup dan waras serta mencukupi syarat sebagai wali, dia lebih berhak dan bukan adik-beradik,' katanya.

Beliau berkata, jika menggunakan wali dalam kalangan bapa saudara atau adik-beradik lelaki sedangkan datuk kepada bakal pengantin perempuan masih hidup, perkahwinan itu tidak sah di segi hukum syarak.

"Bakal pengantin perlu merujuk kepada pejabat kadi untuk menentukan kedudukan sebenar dan keputusan mengenai status perkahwinan mereka ditentukan mahkamah.

"Mahkamah Syariah berhak membubarkan perkahwinan itu dan pasangan terbabit akan dinikahkan semua mengikut peraturan yang ditetapkan hukum syarak," katanya.

Imam Masjid Cherating, Mustafa Yusoff, 61, menyambut baik usaha Jaip mengadakan seminar mengenai wali bagi memberi kefahaman kepada umat Islam hak wali dalam perundangan Islam berkaitan perkahwinan.

"Kita tidak mahu ada kekeliruan timbul berhubung isu wali ini pada masa depan kerana ia akan menjejaskan sesebuah institusi perkahwinan," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)