• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

‘mungkin Giliran Kita Masih Tertunda’

Tazkirah Remaja: ‘Mungkin giliran kita masih tertunda’
Bersama Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

GEMPA besar berukuran 7.6 pada skala Ritcher kembali menggoncang Sumatera Barat yang berpusat di 50 Kilometer (km) di Barat Utara dari Kota Padang. Sehari sebelumnya berlaku kejadian gempa dan tsunami di Samoa iaitu pada jam 6.48 pagi waktu tempatan.

Jika diingat, di bulan Ramadan yang lalu, gempa bumi besar juga berlaku di Jawa Barat selain kejadian Tsunami di Acheh yang mengorbankan ratusan nyawa masih segar dalam ingatan kita.


Bagi kita di Malaysia, mungkin berasa sedikit 'bergoyang'. Syukur kerana gegaran itu tidak menyebabkan kejadian buruk.

Malah, ada yang agak celupar dengan berkata “Ah, Indonesia, biasalah gempa.” Na'udzubillah min zalik. Janganlah kita takbur kerana nanti lebur. Sebenarnya kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada esok hari kepada kita.

Yang terbaik, kita perlu memanjatkan doa semoga dapat terus menikmati kehidupan aman dan selamat. Betul ke kita selamat kalau kita masih berjauhan dengan Allah?

Mulut kita mungkin dekat dengan Allah dengan cara berzikir, beristighfar dan baca surah Yasin, tetapi jika hati dan perbuatan kita masih bercanggah dengan suruhan-Nya bermakna kita masih dalam golongan ingkar.

Secara dasarnya kita perlu menitikberatkan soal ibadat wajib yang dituntut kepada kita dan meninggalkan segala bentuk perbuatan haram seperti mengambil riba, 'free love' yang boleh diibaratkan sebagai ‘gempa rohani’ yang amat dahsyat dalam kehidupan sekarang.

Mungkin Allah belum menghukum kita dalam bentuk gempa bumi seperti di Padang atau giliran kita masih tertunda. Yang pasti, setiap kejadian itu adalah tanda kekuasaan serta peringatan kepada hamba-Nya.

Kekafiran serta murtad terbukti menjadi penyebab kepada datangnya hukuman daripada Allah. Ini tercatat dengan jelas dalam sejarah perjalanan umat manusia terdahulu.

Sudah berapa banyak kaum yang dimusnahkan Allah dalam bencana alam lantaran kekafiran mereka yang menjadi-jadi.

Kita wajib belajar daripada pengalaman sejarah lalu. Mencintai Allah dengan segala aplikasinya adalah cara terpenting bagi manusia mendekatkan diri kepada-Nya dan menghindari diri daripada perkara boleh mencelakakan.

Sesungguhnya sangat berat ujian yang dialami saudara kita yang ditimpa bencana itu. Bagi mangsa kejadian gempa bumi ini, dengarlah hadis nabi yang bermaksud:

“Syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan berperang di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad).

Kehidupan ini seperti sebuah dewan peperiksaan yang penuh dengan soalan yang mesti di jawab. Begitulah juga kita diuji dengan pelbagai ujian. Ada kala kita diuji dengan kesusahan dan malapetaka seperti yang dialami saudara kita di Indonesia dan kepada kita yang menyaksikan tragedi ini jangan pula lupa dan alpa dengan ujian kesenangan yang diberikan.

Kelalaian membuatkan kita menjadi derhaka. Ujian secara langsung buat kita di sini adalah apakah kita merasakan penderitaan yang mereka tanggung di sana? Apakah bentuk sumbangan kita kepada mereka?

Penyatuan jiwa antara golongan seagama ini amat penting dan ia ibarat mulut yang mengadu kesakitan ketika tangan tersepit di pintu yang turut terasa sakitnya di seluruh tubuh.

“Barang siapa tidak peduli dengan penderitaan orang beriman maka tidak termasuk golongan orang beriman”.

Selagi nafas masih berdenyut, mata masih boleh memandang, mulut masih berucap, telinga masih mendengar, kaki masih mampu berjalan, marilah kita memanjatkan kesyukuran dan di limpahan nikmat yang diberikan. Jika tidak keberatan, kita perlu sama-sama menghulurkan bantuan setakat termampu buat saudara kita yang ditimpa kesusahan.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang meringankan beban penderitaan seorang mukmin di dunia pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat. Sesiapa yang memudahkan orang dalam keadaan susah pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim pasti Allah akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat. Dan Allah akan selalu menolong hamba-Nya jika hamba itu menolong saudaranya." (Riwayat Muslim).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)