• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Abu Zar Yang Pemurah

ABU Zar al-Ghifari adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang berfahaman keras. Beliau terkenal dengan ilmu pengetahuan. Pernah dilaporkan oleh Ali bin Abu Talib bahawa Abu Zar mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Abu Zar seorang yang berani. Beliau mengisytiharkan pengislamannya di hadapan Kaabah. Pada ketika itu orang-orang kafir yang menyekutukan Allah mendengar akan kedatangannya. Mereka datang bagi membunuhnya. Kemudian Abu Zar dibantu oleh bapa saudara Nabi Muhammad iaitu Abbas. Abbas memeluk Abu Zar daripada di pukul oleh orang kafir Quraisy.

Menurut cerita, orang kafir itu tidak mengenali Abu Zar. Selepas mereka mengetahui yang Abu Zar adalah dari puak Ghifar, barulah mereka membiarkan dan tidak memukulnya lagi.

Ghifar adalah satu kawasan yang menjadi laluan perjalanan kabilah-kabilah Quraisy semasa hendak ke Syria. Membunuh Abu Zar bermakna mereka tidak dapat berdagang di situ lagi. Malah puak Ghifar bakal menyerang hendap kabilah mereka.

Abu Zar juga seorang yang bersifat takwa dan tabah. Pada masa khalifah Usman, beliau diarahkan supaya berpindah ke kawasan padang pasir yang bernama Rabzah. Beliau tidak suka kepada kekayaan. Beliau sentiasa menentang golongan kaya.

Abu Zar menyara kehidupannya dengan memelihara beberapa ekor unta. Beliau juga mempunyai orang suruhan yang sudah tua.

Pada suatu hari, seorang orang kampung daripada Bani Sulaim datang berjumpa dengannya.

Orang itu berkata: "Saya mahu tinggal bersama tuan. Saya mahu belajar ilmu-ilmu yang tuan ada mengenai perintah Allah dan sunah Nabi Muhammad. Saya sanggup membantu orang suruhan tuan menjaga unta-unta tuan."

Abu Zar memang seorang yang tegas. Beliau mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Lalu Abu Zar berkata: "Saya tidak dapat mengambil sembarangan orang tinggal bersama saya, kecuali dengan satu syarat. Kamu perlu ikut segala arahan saya."

Mendengar jawapan tersebut, lelaki dari Bani Sulaim itu bertanya: "Apakah syaratnya? Saya cuba patuh kepada kemahuan tuan itu."

Kemudian Abu Zar berkata: "Kamu harus menuruti arahan saya. Sekiranya saya menyuruh kamu membelanjakan harta saya, maka kamu perlu membelanjakan harta itu dengan cara yang terbaik."

Orang dari Bani Sulaim itu merasakan bahawa syarat yang diberikan oleh Abu Zar mudah dilakukan. Beliau menerima syarat tersebut. Akhirnya, beliau tinggal bersama Abu Zar.

Pada suatu hari, orang dari Bani Sulaim itu mendengar berita bahawa ada orang miskin berkhemah berhampiran tempat itu. Mereka sangat memerlukan makanan. Selepas mendengar berita itu, Abu Zar menyuruh orang dari Bani Sulaim menyembelih untanya dan memberi makanan kepada orang miskin tadi. Orang dari Bani Sulaim itu pergi memilih unta.

Unta pertama yang dipilih sangat jinak. Baginya unta itu sesuai bagi tunggangan Abu Zaar. Lalu dia tidak menyembelih unta pertama itu. Kemudian beliau memilih unta yang kedua. Unta yang kedua itu juga baik cuma berbeza dengan yang pertama.

Melihat unta itu, Abu Zar berkata: "Kamu tidak menepati janji yang kamu buat kepada saya sebelum ini."

Selepas mendengar penjelasan Abu Zar, orang dari Bani Sulaim itu berpatah balik dan mengambil unta pertama yang dipilihnya tadi. Unta itu adalah yang terbaik diberi makan kepada orang miskin.

Abu Zar menyuruh dua orang menyembelih unta tersebut. Beliau juga berpesan kepada tukang sembelih unta itu supaya membahagikan daging sama rata kepada orang miskin tadi. Beliau juga berpesan supaya meninggalkan satu bahagian yang sama bagi keluarganya.

Kemudian Abu Zar memanggil orang dari Bani Sulaim itu. Beliau bertanya: "Adakah kamu sengaja mengingkari arahan saya atau kamu sebenarnya terlupa dengan arahan saya itu?"

"Saya tidak terlupa. Saya sebenarnya merasakan bahawa unta pertama itu sesuai bagi kenderaan tuan. Unta itu sangat jinak. Tuan amat memerlukannya. Manakala unta kedua sesuai dijadikan makanan dan diberikan kepada orang miskin itu," jawab orang dari Bani Sulaim itu.

Abu Zar berkata lagi: "Saya beritahu kamu bilakah sebenarnya saya memerlukan harta itu? Iaitu semasa saya berada di dalam kubur. Ada tiga perkara yang berhak ke atas harta saya itu.

"Pertama, takdir. Tiada sesiapa yang berhak menghalangnya sama ada baik atau buruk. Harta itu tetap diambilnya.

"Kedua, pewaris harta itu. Mereka hanya menunggu saat kematian saya. Selepas saya mati, mereka bakal memperoleh harta itu. Ketiga ialah diri kita sendiri. Sekiranya kita dapat menguruskan harta itu, kita tidak perlu berkongsi dengan dua perkara tadi. Kita perlu menguruskan harta itu dengan sebaik mungkin."

Bagi Abu Zar, beliau tetap memberikan harta yang paling disayanginya kepada orang yang memerlukannya sebagai bekalan hari selepas kematiannya. Orang dari Bani Sulaim itu memahami penerangan Abu Zar.

Oleh yang demikian kita perlu membelanjakan harta kita ke jalan yang disukai oleh Allah. Barang yang mahu kita berikan kepada orang lain adalah dari barang yang paling kita sayang.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)