• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Agama Bukan Pemisah Kasih Sayang Anak

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Islam tidak halang pengikut dekati keluarga sendiri walau berbeza kepercayaan kepada Allah

BERTEMU dengan seorang sahabat yang sudah lama tidak bersua ketika menghadiri sambutan Aidilfitri di Nottingham, United Kingdom beberapa hari lalu, mengingatkan penulis kepada kisah hidup beliau yang amat meruntun hati. Selepas memeluk Islam hampir 10 tahun lalu dengan bantuan beberapa sahabat yang prihatin dan sanggup menjaga kebajikan dirinya sehingga hati dan jiwanya teguh dalam itikad Islam dan iman, beliau merantau mencari ilmu ke beberapa negara dengan wang yang dicari sendiri untuk menampung hidup.

Segala-galanya bermula apabila beliau dibuang keluarga kerana menukar agama, tetapi lantaran yakinnya beliau dengan satu-satunya agama yang benar ini, beliau nekad mencari sebuah kehidupan baru, yang tidak bergantung pada sesiapa melainkan Allah SWT. Beliau rela tidak berkeluarga kerana sudah membuat keputusan untuk tidak berganjak dan tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah dan Rasul, semata-mata kerana inginkan kehidupan yang sempurna di akhirat kelak. Katanya, hidup di dunia hanya untuk meraih bekal, yang enaknya hanya akan dirasa apabila sampai di alam kekal abadi.

Selepas 10 tahun, penulis bertanya mengenai ibu bapanya yang lama ditinggalkan, mengenai rindunya, perasaannya, adik-beradik dan sanak-saudara, juga handai taulan yang sepermainan ketika zaman kanak-kanak dan remajanya. Sengaja diajukan begitu, kerana penulis ingin menduga adakah beliau masih berjauh hati dengan ibu yang melahirkan, ayah yang membesarkan, meskipun mereka tidak seagama tetapi fitrah manusia inginkan perhatian dan belaian kasih-sayang darah dagingnya, sekiranya masih ada di dunia.



Sambil menyeka air mata, beliau mula bercerita. Rupanya ibunya lama meninggalkannya, tanpa sempat mereka bersua muka. Itu pun beliau ketahui selepas beberapa tahun ibunya tiada lagi di dunia. Kala ini pula si ayah bertarung dengan penyakit tua, tetapi beliau tetap jauh hati dengan ahli keluarga, sehingga tega menerima apa saja berita tetapi pulang kepada mereka tidak sesekali, kerana masih menjeruk rasa.

Bukan mudah memujuk hatinya yang sudah sedekad terluka. Namun akhirnya beliau pulang juga mencium tangan ayahanda sebelum Syawal berlalu. Ia bukan penamat kisah yang duka, tetapi permulaan sebuah kehidupan yang bahagia, untuk bersama ayah dan keluarga tercinta ketika mereka masih ada.

Biar apa pun agama mereka, tugas kita semua tetap sama, berbakti dan berbuat baik kepada mereka selagi hayat masih ada. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Asma binti Abu Bakar As-Siddiq berkata: "Sudah datang ibuku dari Makkah menemui aku (di Madinah) sedangkan ia masih dalam keadaan musyrik. Lalu aku minta petunjuk kepada Rasulullah SAW, aku berkata: Sudah datang ibuku dari Makkah menemuiku dengan penuh harap kepadaku, apakah aku boleh menyambung tali kekeluargaan dengan ibuku? Baginda menjawab: Ya, sambunglah hubungan baik dengan ibumu."

Hari ini, ramai yang memeluk agama Islam tetapi mereka menyembunyikan status agama kerana bimbang dibuang keluarga, tidak kurang juga yang belum bersedia meninggalkan ibu bapa sekiranya mereka tidak dapat menerima hakikat anak mereka berlainan agama. Persepsi bahawa Islam menjauhkan hubungan yang akrab antara ibu bapa dan anak disebabkan akidah yang berbeza juga perlu ditepis agar kesempurnaan agama dapat dihayati seluruhnya. Sebab itulah mereka yang baru menerima hidayah Allah SWT ini perlu cekal menerima ujian yang bakal ditempuhi, sama ada tentangan daripada ibu bapa atau ahli keluarga lain.

Mereka juga harus kuat dan sabar menghadapi cabaran yang mendatang tanpa menyerah kalah dan merajuk sehingga langsung meninggalkan ibu bapa yang pasti suatu hari nanti amat mengharapkan bantuan dan pertolongan anak yang dewasa dan berkeluarga untuk menjaga kebajikan mereka yang sudah tua.

Inilah masanya kita curahkan bakti kepada mereka, buktikan bahawa pegangan agama yang berbeza tidak sedikit pun mengurangkan kasih sayang daripada darah daging yang sama. Bahkan petunjuk agama juga terang dan nyata, berbakti kepada ibu bapa adalah kewajipan setiap anak.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)