• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Agungnya Rasulullah

Sungguh agung namamu wahai Nabi!
Namamu ya Rasulullah diabadikan Tuhan sepanjang zaman
Menunjukkan mulianya engkau di sisi Tuhan di dunia dan di Akhirat
Tuhan promosi engkau, hingga engkau di bibir mulut manusia
Nama Tuhan dan namamu digandingkan sama
Disebut nama Tuhan maka disebut namamu juga
Setiap yang hendak masuk Islam nama Tuhan dan namamu disebut di dalam dua kalimah syahadah
Namamu disebut di dalam doa selepas wudhuk
Namamu juga disebut di dalam doa selepas azan dan iqamah
Namamu disebut di dalam sebarang doa agar dikabulkan permintaan
Sungguh mulia engkau, namamu disebut di mana-mana sahaja
Di dalam sembahyang namamu disebut ketika tahiyyat
Jika tidak disebut tidak sah solat
Belum lagi pencinta-pencinta engkau yang mabuk dengan engkau
Mereka lebih-lebih banyak lagi menyebut nama engkau
Iaitu engkau disebut di dalam selawat
Sebelum sembahyang, selepas sembahyang, di dalam sembahyang, ketika berkhalwat
Setiap yang berzikir namamu mesti disebut orang berulang kali
Seolah-olah engkau masih hidup di dunia ini
Ya Nabi namamu sungguh harum semerbak mewangi
Ya! Namamu dihidup orang sekalipun jasadmu sudah dikebumi
Apa sahaja upacara Islam namamu mesti disebut
Di dalam khutbah namamu disebut oleh khatib di atas mimbar
Apatah lagi di masa maulidmu, selawat berkumandang tidak jemu-jemu
Seolah-olah engkau bersama di majlis itu
Seolah-olah engkau masih hidup bersama kami atau mereka
Begitulah cintanya Tuhan kepadamu, hingga namamu disebut selalu bahkan setiap waktu
Tuhan menselawatkanmu, para malaikat juga begitu
Orang mukmin dianjurkan menselawatkanmu selalu semahu-mahunya
Hingga tidak ada ruang dan masa yang kosong yang tidak disebut namamu
Namamu disebut di langit dan di bumi
Begitulah kehormatan yang engkau perolehi dari Tuhanmu
Belum lagi menyebut peribadi, sikap dan perbuatanmu
Engkau adalah contoh segala contoh, ikutan di dalam sebarang hal
Contoh dan ikutan yang tidak ada tandingan sebarang zaman
Samada orang sebelum kelahiranmu mahupun setelah kelahiranmu
Engkau memanglah Sohibulazman
Engkau adalah bapa mithali bagi seluruh keluarga dan manusia
Engkau didik mereka mencintai Tuhan dan Akhirat
Mereka jual dunia untuk Akhirat mereka
Engkau adalah laksana ibu tempat bermanja tidak ada taranya
Tempat mengadu, tempat meminta, tempat mencurahkan perasaan
Guru yang luarbiasa, pemimpin sejati yang mengasihi dan dikasihi
Engkau adalah kawan setia bahkan mengutamakan kawan setiap masa
Di waktu musafir, ketika bermukim, engkau khidmati mereka
Engkau jiran yang baik, engkau anggap jiran engkau adalah keluarga
Kehormatan mereka engkau jaga, kesusahan mereka engkau bela
Anak-anak yatim, fakir miskin, janda-janda engkau hiburkan, mereka terhibur
Engkau sering sahaja bersama mereka, mereka bangga
Kejahatan orang engkau balas dengan kebaikan
Engkau pemaaf, menerima keuzuran, ziarah orang sakit, mengiringi jenazah
Engkau pemurah, ibadahmu banyak, suka berkhidmat kepada orang
Setiap kebaikan yang engkau cakapkan engkau berbuat
Engkau sangat mencintai Tuhan dan Akhirat
Para-para tetamu engkau sangat hormati dan menjaga keperluan mereka
Janji engkau tepati, hutang orang engkau bayarkan
Kesabaran engkau sangat terserlah, tawakal engkau menjadi budaya,keberanian engkau tidak ada tara
Engkau sangat lemah lembut, tidak keras tapi tegas
Engkau mesra dengan orang, peramah, marah tidak ketara
Engkau tidak mengumpat, tidak menghina, tidak mengata
Akhlak engkau tinggi, wibawa engkau luarbiasa
Musuh-musuh engkau mengakui sekalipun mereka benci
Pada diri engkau ada segala contoh-contoh bagi setiap golongan manusia
Kalau seorang guru engkaulah contohnya, kalau seorang pemimpin engkaulah ikutannya
Jika seorang bapa atau ibu engkaulah suri teladannya
Jika suami engkaulah patut ditiru
Sekiranya seorang kawan engkaulah contohnya
Jika seorang ulama engkaulah contoh terbaik bagi ulama
Kalau seorang mubaligh engkaulah tempat rujuknya
Jika seorang pejuang engkaulah tempat ukurannya
Engkau tidak payah ditonjol-tonjol memang engkau sudah tertonjol
Engkau tidak payah berlakon-lakon membuat baik, engkau memang orang yang terbaik
Engkau tidak perlu pura-pura baik memang sikap engkau sudah baik dan terdidik
Engkau tidak payah meminta disanjung, kerana semua orang menyanjung engkau tanpa diminta
Dunia hari ini memerlukan pemimpin, guru, bapa, ibu, mubaligh, pejuang, suami, kawan, peniaga bayanganmu ya Rasullullah
Hari ini semua golongan bukan bayanganmu lagi
Kerana itulah dunia hari ini huru-hara, haru-biru, krisis berlaku,pergaduhan, jenayah, perbalahan, peperangan
Berlakulah kebimbangan dan ketakutan
Allahummasalli Ďala Saiyidina Muhammad wa Ďala ali Saiyidina Muhammad

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)