• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Aidilfitri Erat Silaturahim, Bersihkan Dosa

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

SELEPAS sebulan berpuasa umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa sepanjang Ramadan diibaratkan suatu ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang, malah juga apabila bersendirian.

Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat Tarawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi. Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, kini tiba pula masa untuk meraikan Aidilfitri.



Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari itu. Pada kebiasaannya kanak-kanak yang paling gembira ketika hari raya.

Bagi yang merayakan Aidilfitri tanpa orang tersayang, perayaan ini masih tetap diteruskan memandangkan ia adalah tuntutan hukum syarak. Namun, sudah tentulah hiba di jiwa tidak dapat dielakkan ketika menyambutnya.

Dari segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan membersih segala dosa kita. Namun, tidak kurang juga kita yang kecundang dan gagal mendapat pengiktirafan dari madrasah Ramadan ini apabila mereka kembali kepada fitrah iaitu sikap negatif yang diamalkan sebelum Ramadan.

Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah, makan makanan yang tidak tentu halalnya dan dari sumber yang diragukan. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah.

Pada hari kemenangan ini, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama ummah. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga selepas berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat. Agama Allah memerlukan kita meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini sesuai dengan peranan sebagai khalifah.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah. Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir dari apa dianjurkan Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran. Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.

Ramai juga di kalangan umat Islam tidak mahu keluar rumah mengunjungi sanak saudara. Hal sedemikian seolah-olah menjadi budaya masyarakat Islam di Malaysia. Ia berlaku kerana umat Islam khususnya di kalangan muda mudi menumpukan perhatian kepada rancangan hiburan disediakan. Saya tidak mengatakan hiburan patut diharamkan pada hari raya, tetapi rancangan disajikan itu hendaklah tidak menghakis semangat Hari Raya itu sendiri.

Apatah lagi apabila rancangan itu pula disiarkan pada waktu prima oleh media arus perdana menarik perhatian segenap lapisan masyarakat. Seperti lazimnya, Syawal akan dipenuhi program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika dikaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis berkenaan. Saya tidak berhasrat menyanggah apa yang dilakukan sekian lama atau menyarankan ia diberhentikan, tetapi biarlah dalam semua tindakan itu dibuat dengan berpada-pada dan tidak disifatkan sebagai suatu pembaziran.

Malah, oleh kerana terlalu banyak rumah terbuka meraikan Aidilfitri, ada kalanya kita tidak berkesempatan menunaikan tuntutan agama seperti berpuasa enam. Berpuasa enam hari pada Syawal amatlah dituntut dalam Islam.

Dalam keghairahan meraikan Aidilfitri, sewajarnya kita merenung sejenak apakah kita akan berjumpa lagi Ramadan akan datang? Apakah pula persiapan kita menemui Tuhan Maha Pencipta? Ramadan sudah pasti dirindui dan syahdunya menunggu Ramadan tahun hadapan. Tiada janji pasti kita akan bertemunya lagi. Segala-galanya terserah kepada qada’ dan qadar-Nya.

Di hari kemenangan ini saya mengambil kesempatan ini menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf zahir dan batin kepada seluruh umat Islam khususnya pembaca Berita Harian dan ruangan saya ini. Sekiranya ada tersalah dan silap, terkasar bahasa dan bicara mohon dimaafkan.



Penulis ialah Peguam bela, Peguam cara dan Peguam Syarie

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)