• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Aidilfitri Sebagai Ibadat

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

1 Syawal bakal bertamu menggantikan Ramadan yang melabuhkan tirainya sehari dua lagi, sekali gus mengisytiharkan hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpantang daripada makan minum dan kehendak nafsu.

Hari kebesaran itu disyariatkan Allah kepada umat Islam untuk merayakannya dengan penuh kesyukuran.


Bagi masyarakat kita, hari raya itu digelar Aidilfitri atau Hari Raya Puasa. Dalam istilah Arab 'Idulfitri' iaitu rangkai kata 'id dan al-fitr. Kata 'id' (hari raya) berasal daripada perkataan 'aud' ertinya yang berulang-ulang, iaitu peristiwa berulang pada setiap tahun membawa rahmat dan menggembirakan umat Islam, manakala 'fitr' bermakna fitrah atau semula jadi.

Semuanya termasuk bukan Islam bergembira kerana dapat menyambut hari raya, malah sebelum ketibaannya sudah ada yang bersiap sedia dalam segala aspek, tidak sabar menanti fajar heningnya menyinsing.

Dalam Islam cara untuk menyambut 1 Syawal juga diterangkan dengan menyeluruh sebagai panduan kepada umatnya, seperti menghiasinya dengan takbir (ucapan membesarkan Allah) dan tahmid (memuji Allah) sebagai menandakan kesyukuran.

Satu hadis, daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w, bersabda, maksudnya: "Hiasilah hariraya kamu dengan takbir." (Riwayat Tabrani)

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumiddin, berkata takbir itu dimulai pada malam hari raya puasa sampai waktu mengerjakan solat.

Malam raya adalah antara malam yang diberkati. Daripada Abu Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w sabdanya: "Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu. (Riwayat Ibn Majah)

Doa pada malam raya diperkenankan, sebagaimana jelas Imam Syafie dalam kitab Al-Umm: "Dinyatakan kepada kami, doa sangat mustajab pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaban."

Pada hari yang mulia itu Nabi s.a.w dan sahabat bertakbir, malah bersolat hari raya secara berjemaah.

Menurut sebuah hadis (riwayat Nafi' dari Abdullah), Rasulullah s.a.w biasanya keluar pada pagi kedua-dua hari raya bersama-sama sahabat baginda sambil bertakbir beramai-ramai sepanjang perjalanan sehingga sampai ke tempat solat.

Di antara sahabat baginda yang turut serta ialah Saidina Ali, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Harithah dan kedua-dua cucu baginda, Saidina Hasan dan Hussain r.a.

Begitulah caranya yang boleh dijadikan panduan bagi mereka yang menyambut hari raya sebagai ibadat. Tetapi yang mengikut adat, warna sambutannya sungguh berlainan sekali kerana yag penting ialah asalkan 'beraya sakan'.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin, berkata beliau mengakui trend beraya sekarang ini lebih mirip kepada trend jahiliyah tanpa panduan ilmu.

Menurutnya, apabila ramai orang jahil, mereka memperlakukan sesuatu itu mengikut selera bahkan tiba saja Syawal diri merasakan sudah bebas daripada disiplin sebulan Ramadan.

"Bagi orang seperti ini dia berasakan puasa adalah sebulan, jadi raya juga sebulan dan kerana itu mereka beraya sakan," katanya.

Jika mengikut ibadat, pada hari raya, umat Islam dianjurkan saling mengucapkan selamat dan tahniah kerana dapat menyempurnakan ibadat puasa pada Ramadan, berbaik sangka dan tidak keberatan memaafkan segala salah dan silap.

Seorang tabi'in, Jubair bin Nufair berkata: "Apabila sahabat Rasulullah bertemu pada hari raya, mereka mengucapkan tahniah di antara satu sama lain. Ucapan mereka bermaksud, mudah-mudahan Allah menerima daripada kami dan menerimanya daripada anda."

Umat Islam digalakkan ziarah kerana dengan cara itu dapat mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan persaudaraan manakala bagi tuan rumah perlu bersikap rendah diri menerima tamu, menghormati dan melayan mereka sebaik mungkin.

Rasulullah bersabda, bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman kepada Allah serta hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam."

Zamihan berkata, tidaklah salah untuk bergembira, berhias dan berbelanja pada hari raya, sesuai dengan hari kebesaran dan kemenangan, cuma bairlah ia secara sederhana.

"Sesiapa boleh berbelanja untuk menyambut raya, tetapi ukurlah kemampuan diri dan jangan sampai berhutang sehingga hari raya yang dinanti menjadikan suatu beban pula.

"Berbelanja jangan sekali-kali mengikut nafsu, kerana buruk akibatnya manakala peniaga mulalah ambil kesempatan dengan pelbagai bentuk jualan murah," katanya, menasihati masyarakat Islam.

Katanya, trend apabila hari raya semuanya mesti baru, bermula daripada aksesori pakaian sehinggalah kain langsir dan perabot yang baru juga sewajarnya dihentikan kerana merugikan sahaja.

"Baju baru itu sunat sahaja. Yang penting bersih dan kebersihanlah yang dianjurkan Nabi s.a.w.

"Demikian juga warna putih dan hijau adalah sunat dan jika tiada tidak mengapa, boleh beraya dengan gembira, tidak perlu bersedih dan rendah diri kerana yang penting bersih.

"Tetapi bagi orang yang beraya mengikut adat, tiada baju baru dan perabot baru seperti tiada makna raya baginya, malah berasa malu pula kerana pengaruh material dan tiada ilmu.

"Sedangkan pada zaman Nabi s.a.w dan sahabat, mereka tidak memandang material iaitu harta benda, namun mereka kaya dengan hati dan spritual.

"Contohnya Saidina Ali, pada pagi raya menangis kerana insaf dan bersyukur, tetapi kita bermegah-megah dengan harta benda baru pula, manakala spritual kita begitu sempit dan miskin."

Menyambut raya sebagai ibadat bukanlah bermaksud bersolat dan berzikir sepanjang hari, seolah-olah Islam menutup rapat pintu untuk berhibur. Sesiapapun boleh bergembira dan berhibur pada hari raya asalkan tidak terkeluar dari batas syariat. Ini kerana Nabi s.a.w juga bergembira sebagaimana yang diperlihatkan kepada umatnya mengenai perilaku dirinya pada hari raya, seperti sebuah hadis diriwayatkan Aisyah, bermaksud:

"Rasulullah masuk kepadaku dan di sisiku ada dua anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats (lagu Arab). Lalu baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya.

"Kemudian Abu Bakar as-Siddiq masuk, lalu beliau mengherdikku dan berkata, seruling syaitan di sisi Nabi Muhammad.

"Rasulullah s.a.w menghadap Abu Bakar, kemudian berkata, `biarkan mereka berdua." Mengikut hadis riwayat Hisham, baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, setiap kaum ada hari rayanya dan hari ini adalah hari raya kita."

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)