• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ajaran Al-quran Satukan Ummah Sepanjang Zaman

Oleh Dr Juanda Jaya


KORBAN antara ibadah dalam Islam memberi peluang umat saling mengenali dan merapatkan ukhuwah. - Gambar hiasan



Walaupun berbeza pandangan, kitab suci pandu mukmin jadikan Islam sebagai cara hidup

JIWA yang sakit sentiasa gelisah mencari ketenangan hidup. Sakit akibat tidak berpantang daripada melakukan dosa dan maksiat atau lalai serta lupa tujuan penciptaannya di dunia. Allah Yang Maha Penyayang mengutuskan Rasulullah SAW kepada umatnya, membawa petunjuk menyelesaikan permasalahan manusia hingga ke akhir zaman.

Melalui wahyu yang diturunkan, Rasulullah SAW ditugaskan membersih dan menghidupkan jiwa manusia, menjelaskan yang hak dan batil, memimpin tangan manusia daripada kegelapan ke jalan terang.

Hal ini ditegaskan dalam firman Allah bermaksud: "Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang rasul antara mereka, yang membacakan ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan mereka kitab (al-Quran) dan hikmah (sunah); dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata." (Surah Al-Jumu'ah, ayat 2)



Pengaruh al-Quran amat kuat dalam hati orang beriman, bahkan golongan kufur pun bergoncang hati mereka ketika mengamati ayat Allah ini seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Katakanlah: Berimanlah kamu kepada-Nya atau tidak usah beriman (sama saja bagi Allah). Sesungguhnya orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka sambil bersujud. Mereka berkata: Maha Suci Tuhan kami, Sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi. Mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." (Surah Al-Isra', ayat 107-109)

Kisah sujudnya orang kafir Quraisy secara tiba-tiba ketika mendengar ayat al-Quran diriwayatkan Imam Al-Bukhari daripada Abdullah Mas'ud dan Abdullah Abbas.

Pada Ramadan tahun kelima kenabian, Nabi SAW menuju Masjidil Haram. Di sana ramai orang Quraisy berkumpul. Baginda tiba-tiba bangun lalu membacakan surah al-Najm.

Sebelum itu orang kafir berkenaan tidak pernah mendengar kalam Allah kerana mereka saling berpesan supaya jangan mendengar apa-apa daripada Muhammad. Apabila Rasulullah SAW membacakan surah itu secara mengejut, lalu tembuslah kepada pendengaran mereka firman Allah yang hebat dan memukau.

Ketika itu mereka tidak memikirkan apa-apa lagi kecuali mendengar sehingga apabila Baginda SAW membacakan penamat surah berkenaan, ia bagaikan kegemparan yang menerbangkan hati mereka.

Apabila Baginda membaca ayat terakhir disunatkan sujud tilawah padanya, bermaksud: "Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang menurunkan al-Quran) dan beribadahlah kepada-Nya." (Surah Al-Najm, ayat 62), lalu Baginda sujud.

Melihat itu, tidak ada seorang pun daripada mereka dapat mengawal diri melainkan turut sujud bersama Rasulullah SAW. Al-Walid Al-Mughirah, pembesar Quraisy memberi komen jujur mengenai al-Quran dengan katanya: "Demi Allah, perkataan Muhammad itu sungguh sedap didengar, akarnya semerbak harum dan rantingnya berbuah lebat." (Sirah Ibnu Hisyam)

Namun, kesombongan melampaui akal waras mereka sehingga cuba menafikan kebenaran yang datang melamar jiwa. Bahkan mereka semakin memperhebat usaha menentang al-Quran.

Dalam riwayat Ibnu Abbas menyatakan Nadr Al-Harith, pemimpin kafir Quraisy membeli beberapa penyanyi wanita. Apabila dia mendengar ada orang tertarik kepada al-Quran, dihantarnya penyanyi itu untuk mendendangkan lagu supaya hilang kecenderungannya kepada al-Quran.

Al-Nadr sanggup membelanjakan hartanya untuk memadamkan cahaya al-Quran di bumi Allah.

Turunlah ayat menceritakan kejahatannya itu yang bermaksud: "Dan antara manusia, ada orang yang memilih serta membelanjakan hartanya untuk cerita dan perkara hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah." (Surah Lukman, ayat 6)

Pengaruh al-Quran dalam membentuk keperibadian manusia sudah terbukti dengan lahirnya generasi al-Quran pertama di bawah tarbiah Rasulullah SAW. Dengan sentuhan wahyu, terbentuk pemikiran, perasaan dan perbuatan selari dengan perintah Allah.

Mereka menghayati al-Quran dan beriman kepada-Nya tanpa memilih dan mempersoalkan dengan akal. Hati menundukkan akal sehingga keimanan selesa bergandingan dengan kemampuan akal yang cetek.

Begitulah, keimanan Salafus Saleh, generasi selepas Rasulullah SAW wafat yang mewarisi kegemilangan mereka. Abdullah Mas'ud berkata mengenai keperibadian generasi al-Quran ini: "Siapa yang hendak mengikuti sunah, maka ikutilah sunah orang terdahulu (sahabat). Sesungguhnya orang yang hidup belum tentu selamat daripada terjebak dengan fitnah. Mereka itulah sahabat Muhammad SAW.

Mereka manusia paling mulia di kalangan umat ini, paling baik hatinya, paling dalam pengetahuannya dan paling sedikit memberatkan diri. Allah memilih mereka untuk menjadi sahabat Nabi-Nya dan untuk menegakkan agama-Nya.

Justeru, kenali kelebihan dan ikut jejak mereka. Berpegang sedaya upaya dengan akhlak dan perjuangan hidup mereka. Sesungguhnya mereka itu berada di atas petunjuk jalan yang lurus." (Al-Mubarakfuriy dalam kitabnya Al-Rahiq al-Makhtum)

Amat mendalam cinta sahabat kepada al-Quran, mereka tidak akan melakukan sesuatu sebelum turun ayat yang menjelaskan mengenainya. Apabila al-Quran melaknat orang kafir, gementarlah kulit orang beriman kerana merasai amaran itu juga ditujukan kepada mereka.

Sahabat mengurus dunia dengan petunjuk al-Quran, melembutkan hati dengan ayat azab, meyakini hidup sesudah mati dengan perkhabaran diceritakan al-Quran, mereka tidak mempercayai apa pun selain al-Quran walaupun ia datang daripada cerdik pandai Yahudi dan Nasrani yang lebih dulu bertamadun daripada orang Arab yang buta huruf.

Mereka tidak malu membela ayat Allah walaupun tamadun Kisra Parsi dan Kaisar Rom mentertawakan mereka dengan ejekan orang dari padang pasir yang kurang tersentuh ilmu pengetahuan ketika itu.

Mereka memiliki keyakinan tinggi terhadap wahyu Allah dan apa yang dibawa Rasul-Nya sehingga sedia memperjuangkan nilai al-Quran walaupun harus mengorbankan diri dan kaumnya. Kini, umat Islam berpecah-belah menyebabkan mereka menjadi golongan yang kecil.

Namun, Allah berjanji menjaga al-Quran sehingga ke akhir zaman. Lahirnya hamba Allah yang menghayati hidup dengan persepsi al-Quran secara seratus peratus, maka wujud mukmin yang mempergunakan hati dan fikiran, mata dan telinga untuk mengkaji, beriman dan mengamalkan al-Quran walaupun berbeza pandangan tetapi mereka sedia bersatu kerana kitab, matlamat serta jalan yang satu. Inilah keindahan sepatutnya dimiliki umat Islam.

Penulis ialah Mufti Perlis

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)