• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Al-quran Sumber Perundangan Diiktiraf Perlembagaan Persekutuan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Kitab suci sewajarnya diletakkan di tempat tertinggi dalam sistem kenegaraan

AL-QURAN yang menjadi petunjuk sekalian alam diturunkan pada Ramadan yang mulia dan dalam setiap keadaan, umat Islam wajib mencari penyelesaian bersandarkan al-Quran dan hadis kerana penyelesaian sesuatu perkara sebenarnya sudah digarap oleh al-Quran.

Ayat al-Quran yang tersurat dan tersirat perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian bagi menzahirkan ketaatan serta kepatuhan umat Islam kepada Yang Maha Pencipta.
Al-Quran menggariskan batas sempadan antara yang halal dan haram, menjelaskan tindakan yang boleh serta dilarang, mengajar segala bentuk ilmu, sebagai manual hidup paling sempurna bagi orang Islam, begitu juga bukan Islam.

Al-Quran memiliki pelbagai sifat menarik antaranya ialah cahaya (surah al-Tagabun, ayat 8), petunjuk (surah al-Baqarah ayat 2), rahmat (surah al-A’raf, ayat 203), penyembuh (surah Yunus, ayat 57), pembawa perkhabaran gembira (surah al-Fushilat, ayat 4).

Al-Quran juga pemberi peringatan (surah al-Furqan, ayat 1), penerangan (surah Ali-Imran, ayat 138), keberkatan (surah al-Anbiyak, ayat 50) dan sebagai kitab yang nyata (surah al-Naml , ayat 1).

Kesempurnaan al-Quran tidak ada sebarang syak padanya kerana ia adalah petunjuk kepada orang yang bertakwa. Jika diabaikan, amaran dahsyat sudah diberikan.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (al-Quran), kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkan) lalu jadilah syaitan itu temannya yang renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang yang mendapat petunjuk.” – (Surah az-Zukhruf, ayat 36-37)

Sebagai manual lengkap umat Islam, sewajarnya al-Quran diletakkan di tempat tertinggi dalam sistem kenegaraan Malaysia yang majoriti rakyatnya umat Islam. Malah, susur galur sejarah sudah meletakkan al-Quran dan sunnah sebagai teras perundangan Islam di Malaysia.

Persoalan sekarang, apakah Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi al-Quran? Saya percaya ramai tahu bahawa Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara.

Jika ada sebarang pertentangan antara perlembagaan dengan undang-undang lain, perlembagaan akan mengatasi dan undang-undang itu diisytiharkan tidak sah setakat mana ia bertentangan. Oleh itu, sering dibahaskan bahawa Perkara 4 menghalang pelaksanaan undang-undang Islam yang bersumberkan al-Quran dan sunnah.

Saya tidak bersetuju dengan kenyataan itu kerana ketinggian Perlembagaan Persekutuan menurut Perkara 4 memang tidak dapat dinafikan. Namun Perkara 4 sebenarnya mengangkat keseluruhan peruntukan Perlembagaan itu sendiri termasuk Perkara 3 yang disebut terlebih dulu.

Perkara 3 memperuntukkan Islam agama bagi Persekutuan. Oleh kerana Islam adalah agama Persekutuan, sebarang perkara yang tidak selari dengan agama bagi Persekutuan itu hendaklah dianggap tidak berpelembagaan dan melanggar perlembagaan itu sendiri.

Rakyat sering dimomokkan dengan idea bahawa Islam adalah agama rasmi negara. Adalah menjadi kesilapan besar mengatakan Islam agama rasmi kerana Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan sedemikian.

Perlembagaan Persekutuan menegaskan Islam agama bagi Persekutuan bukan agama rasmi Persekutuan. Dalam hal demikian, Islam tidak hanya boleh diprak-tikkan dalam majlis rasmi saja tetapi wajib diterjemahkan dalam kehidupan seharian sama ada bersifat rasmi ataupun sebaliknya.

Ketinggian agama Islam dikukuhkan lagi dengan jadual keempat Perlembagaan Persekutuan iaitu sumpah Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta. Yang Di Pertuan Agong bersumpah dengan lafaz “wallahi wabillahi wa tallahi” dan kandungan sumpah antara lain, Yang Di Pertuan Agong akan mempertahankan Islam pada setiap masa.

Adalah mustahil jika Islam hanyalah sekadar agama rasmi, Yang di -Pertuan Agong dikehendaki berikrar mempertahankannya pada setiap masa. Malah segala urusan kerajaan juga tertera di sampul surat kerajaan perkataan ‘Urusan Seri Paduka Baginda’.

Oleh itu, segala urusan kerajaan tidak boleh melanggar agama negara itu sendiri seperti diikrarkan Seri Paduka Baginda mempertahankannya pada setiap masa.

Sebagai kesimpulannya, saya mengatakan jika interpretasi perlembagaan dibuat seperti dibincangkan, sudah tentu ruang dan peluang al-Quran dan sunnah diletakkan sebagai sumber utama perundangan amat besar tanpa perlu meminda perlembagaan atau menggubal perlembagaan baru.

Senario politik semasa, sebarang tindakan untuk meminda perlembagaan bukanlah alternatif yang mudah untuk dilakukan.

Pada bulan mulia al-Quran diturunkan, marilah memperbanyakkan bacaan al-Quran, berdoa dan berusaha supaya al-Quran diletakkan di tempatnya yang sebenar. Ketinggian al-Quran sebagai sumber perundangan sebenarnya secara tersirat sudah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)