• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Allah Tegaskan Nabi Bukan Gila

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Mempelajari al-Quran dapat meningkatkan keyakinan kita terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW. - Gambar hiasan

Setelah Allah SWT menjelaskan keadaan hari kiamat berserta keadaan huru-haranya yang mana pada ketika itu manusia termangu-mangu melihat hasil perbuatan mereka ketika di dunia. Ketika itu cukup jelas kepada mereka amalan manakah yang diterima dan mana pula ditolak.

Lalu Allah SWT susuli dengan keterangan bahawa apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada mereka tidak lain adalah al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT kepadanya dan ayat-ayat yang memberi petunjuk.

Segala celaan yang mereka tuduh kepadanya, sebagaimana mereka lontarkan bahawa Baginda seorang ahli sihir, gila, pendusta atau penyair hanyalah satu pendustaan semata-mata. Kedegilanmu dan kesepakatanmu dalam memusuhinya hanyalah kebongkakanmu semata-mata. Padahal dihatimu menyedari kebenaran perkara ini ataupun kebaikan dakwahnya.

Firman Allah SWT: Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul.

Ibn Abi hatim dan Ibn Jarir meriwayatkan dari Ali: Sungguh aku bersumpah dengan bintang-bintang yang beredar dan terbenam. Iaitu bintang-bintang yang terbenam pada siang hari dan muncul pada malam hari.

Firman Allah SWT: Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya.

Dan Ibn Jarir tawaqquf (tidak memberikan pendapatnya) pada maksud firman-Nya. Apakah itu bintang-bintang atau kijang dan sapi liar. Dia mengatakan: Ada kemungkinan semua itu yang dimaksudkan.

Firman Allah SWT: Dan malam, apabila ia hampir habis. Dan siang, apabila ia mulai terang.

Mengenai hal ini terdapat dua pendapat:

Mujahid berkata: Malam telah menjadi gelap. Sedangkan Ali bin Abi Talhah dan al-Aufi meriwayatkan dari Ibn Abbas iaitu jika malam telah meninggalkan gelapnya. Demikianlah yang dikemukakan oleh Mujahid, Qatadah dan al-Dahhak.

Syed Qutb berkata: Sebagai satu kekayaan pengucapan yang mengocakkan perasaan di samping menggambarkan hakikat kejadian alam yang sebenar. Satu kekayaan pengucapan yang amat indah ditambah perasaan manusia yang menyambut fenomena alam itu dengan hati yang sedar dan peka.

Firman Allah SWT: Sebenarnya al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) utusan yang mulia.Iaitu dalam bentuk yang sangat indah dan elok.

Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Sya'bi, Maimun bin Mihram, al-Hasan, Qatadah, al-Rabi bin Anas, al-Dahhak dan lain-lain.

Firman Allah SWT: Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy. Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.

Ibn Kathir berkata: Di mana Allah sebagai Rabb telah menyucikan hamba dan utusan-Nya (Jibril a.s) dengan sifat amanah.

Firman Allah SWT: Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (Wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah ia seorang gila (seperti yang kamu tuduh). Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari tuhan, kerana) Demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.

Ibn Kathir berkata: Nabi Muhammad SAW benar-benar melihat Jibril dalam penampilan aslinya yang mempunyai 600 sayap.

Firman Allah SWT: Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.

Sufian bin Uyainah mengatakan bahawa kata zhaniin dan dhaniin adalah sama. Maksudnya tidaklah dia itu sebagai seorang pendusta atau seorang yang jahat.

Kata al-zhaniin bererti orang yang dituduh sedangkan al-dhaniin bermaksud orang yang kedekut.

Firman Allah SWT: Dan sebenarnya al-Quran itu bukanlah perkataan syaitan yang kena rejam.

Al-Maraghi berkata: Sebenarnya baginda telah dikenali sebagai orang yang sihat akalnya dan jujur menyampaikan berita-berita ghaib.

Oleh yang demikian, penceritaan yang berkaitan dengan alam akhirat seperti syurga dan neraka dan sebagainya bukan berasal daripada perkataan syaitan.

Firman Allah SWT: (dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng daripada jalan al-Quran)? Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam.

Syed Qutb berkata: Iaitu peringatan yang mengingatkan mereka tentang hakikat kewujudan, kejadian dan alam buana di sekeliling mereka.

Maksud peringatan kepada semesta alam ialah dakwah Islam merupakan dakwah global atau antarabangsa sejak peringkat perkembangannya yang pertama lagi sedangkan dakwah di makkah sentiasa ditentang dan diburu sebagaimana dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Mekah.

Firman Allah SWT: Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.

Al-Maraghi berkata: Untuk memperoleh hidayah itu bergantung kepada kehendak Allah SWT terhadap seseorang. Allah SWT mewajibkan kepada-Nya untuk mencari jalan kebenaran, serta bersungguh-sungguh mengerjakan kebajikan mengikut kemampuan.

Firman Allah SWT: Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

Syed Qutub berkata: Tujuan pernyataan ini supaya mereka jangan memahami bahawa kehendak dan kemahuan mereka adalah terpisah dari kehendak dan iradat Allah Yang Maha Agung yang menjadi pokok pangkal kepada segala perkara.

Pengurniaan kebebasan memilih dan kemudahan mencari jalan hidayah adalah berpokok pangkal daripada kehendak dan iradat Allah yang meliputi segala sesuatu yang telah dan akan berlaku.

Penutup

Hakikat agung ini perlu dijelaskan kepada kefahaman orang-orang mukmin supaya mereka dapat memahami hakikat yang sebenar. Ini supaya mereka mencari perlindungan pada kehendak dan iradat Allah SWT untuk memohon pertolongan dan taufik serta berpegang dengan-Nya dalam segala apa yang diambil dan ditinggalkan dalam perjalanan hidup mereka.

Inti sari surah ini ialah:

lPeristiwa huru-hara pada hari kiamat.

lAllah SWT bersumpah dengan bintang-bintang, malam dan subuh. Al-Quran itu diturunkan dari sisi-Nya melalui perantaraan malaikat Jibril a.s.

lMenetapkan kebenaran Nabi Muhammad SAW.

lMenjelaskan bahawa al-Quran itu mengandungi nasihat dan peringatan bagi orang yang inginkan hidayah dan mencurahkan kemahuannya untuk mengerjakan kebajikan.

lKehendak hamba itu mengikut kehendak Allah SWT. Ia tidak bebas melakukan sesuatu.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)