• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Amalan terlarang

RASUAH memusnahkan hidup! Dalam sekelip mata seorang yang dihormati boleh menjadi hina, bahkan maruah bangsa dan negara akan tercalar.

Boleh dikatakan setiap hari akhbar melaporkan mengenai perbuatan rasuah yang dilakukan pihak tertentu termasuk pemimpin politik.

Walaupun masyarakat memahami sebagai amalan biasa, sedar atau tidak rasuah adalah satu bentuk jenayah dan mereka yang terbabit berdepan tindakan serta hukuman.

Sudah ramai menerima akibat daripada amalan rasuah, sehingga ada kehilangan jawatan dan harta, malah terpaksa menghabiskan sisa hidup di penjara.

Mereka yang terbabit dengan rasuah juga akan dikenakan hukuman di akhirat kelak, sebagaimana ditegaskan Nabi s.a.w dalam satu hadis diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud: "Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan di dalam api neraka."

Rasuah selalu disebut dalam masyarakat majmuk di negara ini. Tetapi apakah sebenarnya rasuah dan sejauh mana ia difahami?

Menurut sarjana, ia berasal daripada perkataan Arab (iaitu rishwah, rashwah) bermaksud 'sesuatu penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan.'

Asal perkataan itu daripada 'rasha' yang bermakna 'tali timba yang dipergunakan

untuk mengambil air di perigi.'

Kamus Dewan mendefinisikan rasuah sebagai 'pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap).'

Berasaskan pengertian itu, rasuah boleh diertikan juga dengan istilah makan suap dan memberi/menerima sogokan. Satu lagi perkataan yang selalu digunakan ialah korup/korupsi daripada perkataan Inggeris 'corrupt/corruption'.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan pengertian suapan dalam konteks yang lebih luas, iaitu:

"Wang, derma, alang, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;

"Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;

"Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;

apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;

"Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;

"Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan

"Apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) yang terdahulu."

Menurut suruhanjaya itu, kesalahan rasuah membabitkan perbuatan meminta atau menerima rasuah, menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan jawatan atau kedudukan.

Dalam Islam, amalan rasuah dan segala bentuk salah laku yang bersekutu dengannya seperti penipuan, penyelewengan, salah guna kuasa, penindasan dan pemalsuan dilarang sama sekali.

Ayat 188 daripada surah al-Baqarah bermaksud: "Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."

Rasulullah s.a.w menegaskan dalam satu hadis bermaksud: "Allah s.w.t melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya." (Riwayat Ahmad)

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2008, membabitkan kajian di 180 negara menunjukkan Denmark, Sweden dan New Zealand berkongsi pada tangga teratas dengan skor 9.3.

Somalia ditangga tercorot (1.0), sementara Malaysia berkongsi dengan Jordan, Hungary, Costa Rica dan Cape Verde di tangga ke-47 dengan skor 5.1. Skor 10 menunjukkan sangat bersih manakala skor kosong amalan rasuah yang teruk.

Walaupun tidak diketahui sejauh mana penilaian yang dilakukan pertubuhan terbabit, ia sedikit sebanyak memberikan suatu tamparan kepada dunia Islam kerana gagal mendapat kedudukan sebagai negara yang paling bersih.

Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bidang dengan tidak mengira tempat dan keadaan. Secara umum ia membabitkan empat disiplin iaitu politik, ekonomi, sosial dan persekitaran.

Bagaimanapun, menurut pertubuhan integriti antarabangsa, Global Integrity, tanpa mengira tahap pendapatan, ancaman korupsi pertama mendepani majoriti negara ialah aliran wang tanpa aturan dalam proses politik.

Keputusan itu adalah hasil daripada kajian pihak terbabit di 57 negara di dunia, yang dikeluarkan dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pengarah Urusannya, Nathaniel Heller, berkata ketelusan membabitkan kewangan sangat teruk di kalangan mereka yang terbabit dalam politik.

"Sekiranya kita serius untuk memulihkan kembali penyalahgunaan kuasa dan korupsi di dunia maju dan membangun, kawalan keselamatan lebih berkesan untuk mengawal pengaruh kewangan dalam politik perlu dilakukan bersungguh-sungguh," katanya.

Di Malaysia ketika ini undang-undang baru pencegahan rasuah turut membolehkan saudara-mara terbabit atau bersubahat dengan penerima rasuah akan menerima tindakan dan nasib sama dengan orang dituduh berdasarkan peluasan tafsiran 'saudara'.

Justeru, dengan adanya peruntukan itu, sudah sewajarnya bagi mereka yang 'bercita-cita' untuk mendapatkan kepentingan peribadi melalui cara tidak sah memikirkan akibatnya berkali-kali, mahu atau tidak.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)