• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Amaran Balasan Dosa Bagi Penyebar Hadis Palsu

Oleh Dr Fadlan Mohd Othman

Kewujudan ulama banteras cubaan seleweng sabda Rasulullah dapat pulihara kesucian Islam

SESUNGGUHNYA Allah Taala menurunkan al-Quran kepada hamba-Nya sebagai petunjuk sepanjang jalan untuk mereka di muka bumi ini kembali kepada-Nya di akhirat nanti. Al-Quran mengandungi segala sesuatu yang diperlukan oleh hamba Allah untuk menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat daripada segala bentuk kesengsaraan baik yang sementara mahupun yang kekal.

Antara perkara utama yang ditekankan dan diarahkan oleh al-Quran ialah menjadikan Muhammad bin Abdullah, Rasulullah SAW sebagai ikutan kita di alam ini. Kepercayaan kita kepada al-Quran sebagai kitab petunjuk sejati tidak sempurna jika tidak disulami dengan kepercayaan bahawa Rasulullah SAW adalah wakil Allah kepada kita.

Sebagai wakil Allah, Bagindalah yang paling mengetahui kehendak Allah dalam al-Quran. Justeru, apa saja kefahaman kita terhadap mana-mana saja ayat al-Quran tidak boleh diterima sekiranya tidak melalui pengesahan kefahaman Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat, Ibnu Mas'ud berkata: "Allah melaknati pembuat tatu, orang yang meminta tatu, orang yang mencabut bulu badan dan juga orang yang merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah."

Kenyataan ini sampai ke telinga seorang wanita daripada Bani Asad yang bernama Ummu Ya'qub lalu dia datang lalu berkata: "Saya dengar kamu melaknat sekian dan sekian!" Ibnu Mas'ud menjawab: "Apa salahnya saya melaknat orang yang dilaknat oleh Rasulullah SAW dan juga yang terdapat dalam kitab Allah?" Wanita itu berkata: "Saya sudah membaca keseluruhan al-Quran dan saya tidak menjumpai apa yang kamu sebutkan itu." Ibnu Mas’ud menjawab: "Jikalau engkau benar-benar membacanya pasti engkau akan menjumpainya. Tidakkah engkau membaca (ayat 7 Surah al-Hasyr) yang bermaksud: "Dan apa yang dibawa oleh Rasul maka hendaklah kamu semua ambil dan apa yang ditegah olehnya maka hendaklah kamu tinggalkan?" Wanita itu menjawab: "Sudah tentu." Ibnu Mas'ud berkata: "Sesungguhnya Rasulullah SAW menegah perbuatan itu." (HR al-Bukhari, No. 4886).

Selepas diketahui bahawa tiada perbezaan dari sudut penghujahan antara ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, perlulah diketahui bahawa al-Quran tidak dapat diselewengkan dengan sewenang-wenangnya dari sudut ‘thubut’ iaitu ketetapan. Ini berbeza dengan hadis yang tidak mengalami proses penulisan seperti al-Quran. Dengan itu, masih ada ruang bagi musuh Islam untuk membuat penyelewengan dalam hadis dengan memalsukan kenyataan dan menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.

Walaupun begitu, Allah sudah menjanjikan bahawa agama-Nya akan kekal terpelihara. Kewujudan ulama yang pakar dan mahir dengan selok-belok hadis dapat mengatasi kemelut pemalsuan ini. Dr Subhi al-Salih dalam kitabnya Ulum al-Hadis wa Mustalahuh menyatakan bahawa apabila al-Imam Abdullah bin al-Mubarak ditanya: "Bagaimana dengan hadis palsu?" Beliau menjawab: "Akan muncul pakar yang membanterasnya". Allah telah berfirman (dalam Surah al-Hijr ayat 9) yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan peringatan dan pasti Kami akan menjaganya."

Secara umumnya membezakan lalu membanteras hadis palsu adalah satu-satunya jalan untuk menjaga kemurnian agama Islam daripada diselewengkan dari sudut ini. Semoga Allah memperbanyakkan individu Muslim yang kritis dan cergas dalam mempertahankan agama Islam dengan mempertahankan hadis Rasulullah SAW.

Kerosakan sesuatu perkara hanya akan diketahui dengan tahap dosa yang dikaitkan dengannya. Di sini kita akan menyingkap tahap dosa yang dikaitkan dengan mereka yang menyebarkan hadis palsu. Dr. Syaraf Mahmud al-Qudhah dalam kitabnya al-Minhaj al-Hadis fi ‘Ulum al-Hadis halaman 183, mengkategorikan periwayatan hadis palsu ini kepada tiga bahagian seperti berikut:

Pertama, meriwayatkan hadis palsu secara sengaja. Ulama bersepakat mengatakan bahawa hukum meriwayatkan hadis palsu adalah haram berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menipu ke atas-Ku secara sengaja maka hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka." (HR al-Bukhari, No. 6197)

Kedua, meriwayatkan hadis palsu secara tidak sengaja. Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara tidak sengaja pula, dia dimaafkan dan tidak mendapat apa-apa dosa berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengampunkan maksiat yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau dipaksa." (HR Ibnu Majah, Kitab al-Thalaq, Bab Thalaq al-Mukrah wa al-Nasi, No. 2033. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibnu Majah No. 1675).

Ketiga, meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa. Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa pula, dia tidak dimaafkan dan tetapi akan mendapat dosa menyebarkan hadis palsu walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui mengenai kepalsuan hadis itu.

Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut; pertama, Firman Allah dalam surah al-Isra ayat 36 bermaksud: "Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu mengenainya."

Dalil kedua, hadis Nabi yang bermaksud: "Sesiapa yang meriwayatkan hadis daripadaku sedang ia diketahui oleh para ulama sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu." (HR Muslim dalam Muqaddimah Sahih Muslim).

Dalil ketiga, hadis Nabi SAW yang bermaksud:,"Kadi terbahagi tiga golongan; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Kadi yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Kadi yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Kadi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka." (HR Abu Daud, Kitab al-Aqdiyah, Bab fi al-Qadi Yukhti’, No. 3573. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud No. 3573.)

Penulis ialah Pengerusi Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)