• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

An-nur: Larang Hutang Ke Haji

2009/12/30
SAYA ada mendengar beberapa saranan kerajaan dan institusi kewangan Islam untuk sama ada memberi pinjaman tanpa faedah (Qardhul Hasan) atau pembiayaan secara Islam bagi mereka yang berminat menunaikan fardu haji.

SAYA ada mendengar beberapa saranan kerajaan dan institusi kewangan Islam untuk sama ada memberi pinjaman tanpa faedah (Qardhul Hasan) atau pembiayaan secara Islam bagi mereka yang berminat menunaikan fardu haji.

Dalam isu berkaitan, timbul banyak persoalan seperti sama ada individu yang menanggung hutang wajib atau wajar menunaikan haji.

Pertamanya, elok jika kita melihat firman Allah SWT dalam surah Al-Imran: 97: “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia kepada Allah SWT iaitu (bagi) orang yang berkemampuan dan sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah.”

Ulama sepakat menyatakan hukum wajib tidak akan tertanggung ke atas seseorang lelaki dan wanita selagi syarat ‘istita’ah atau ‘kemampuan’ belum diperoleh.

Pengertian istita’ah secara mudah lagi ringkas adalah SEBAGAIMANA YANG DINYATAKAN OLEH RASULULLAH SAW ketika ditanya akan ertinya, baginda menjelaskan: “Bekalan dan pengangkutan perjalanan (Riwayat At-Tirmidzi; berkata At-Tirmidzi & An-Nawawi: Hadis Hasan: Al-Majmu’, 7/41 [1]).

Jelas melalui hadis berkenaan yang memperincikan erti istita’ah di atas, ada dua perkara utama iaitu:

1. Bekalan



Erti bekalan di sini adalah makanan, minuman dan pakaian yang mencukupi sepanjang pemergian sehinggalah kepulangannya. (I’anah At-Tolibin, 2/281; Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/316)

2. Kenderaan dan Perjalanan

Kenderaan dan perjalanan mesti sesuai dan diyakini keselamatannya. Kenderaan pula mesti diperoleh sama ada dengan membeli atau menyewanya. (Al-Mughni, Ibn Qudamah)

DUA ISU UTAMA

Dua bekalan yang perlu untuk syarat kewajipan haji adalah jelas, namun bagaimana dengan isu berikut:

1. Berhutang melalui pembiayaan Islam untuk menunaikan haji

Berhutang untuk menunaikan haji jika dilihat daripada satu sudut, ia seolah-olah menunjukkan ketidakmampuan seseorang.

Daripada sudut lain pula, ia mungkin juga boleh menunjukkan status kemampuan, cuma kemampuan itu memerlukan sedikit masa.

Jika itu dua kemungkinannya, adakah seseorang dituntut meminjam semata-mata untuk tujuan haji? Apatah lagi pembiayaan daripada institusi kewangan yang akan menyebabkan kos semakin tinggi daripada harga asal kos haji.

Jawapan ringkasnya TIDAK PERLU DAN IA BUKAN KEPENTINGAN UTAMA. Itulah jawapan ringkas diberi Nabi Muhammad SAW apabila ditanya oleh sahabat, Abdullah Bin Abi Awfa: Berkata Abdullah: “Aku bertanya kepada Nabi Muhammad SAW berkenaan seorang lelaki yang belum menunaikan haji, adakah boleh ia meminjam wang untuk haji?” Jawab baginda, “TIDAK.” (Musnad As-Syafie: 1/109: Al-Um, 2/116)

Imam Asy-Syafie berkata selepas itu: “Barang siapa yang tidak mempunyai kemudahan, keluasan (lebihan) harta yang membolehkannya menunaikan haji tanpa membuat pinjaman, ketika itu DIA DIANGGAP TIDAK BERKELAYAKAN (TIADA BEKALAN) UNTUK PERGI HAJI.” (Al-Umm, 2/116)

Islam tidak memberatkan, kecuali kepada mereka yang benar-benar sampai kemampuan dan bukan kemampuan yang dipaksa-paksa sebelum tiba saatnya. Imam Ibn Qudamah menjelaskan, ulama hampir sepakat menyatakan belanja bekalan itu mestilah:

“Dan hendaklah (bekalan ini) adalah harta yang lebih apa yang wajib ke atas tanggungjawabnya daripada nafkah keluarga yang wajib disediakannya ketika pergi dan kembalinya. Ini adalah kerana nafkah berkait dengan hak manusia.

“Dan ia adalah lebih perlu dan diutamakan (dalam hal ini daripada haji yang hak Allah SWT semata-mata), selain mestilah bekalan harta yang lebih daripada mencukupi untuk melunaskan hutangnya. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/317)

Jika hutang baru itu TIDAK menjejaskan keseluruhan tanggungjawab (kewajipan) hartanya kepada yang berhak (seperti anak dan isteri), kerana mempunyai simpanan mencukupi atau hartanah yang boleh dijual apabila perlu, tatkala itu, TINDAKAN BERHUTANG TADI BOLEH MENJADI HARUS. Sebagaimana kata Imam As-Syafie:

“Tetapi jika ia mempunyai harta yang banyak, bolehlah ia menjual sebahagiannya atau berhutang (kerana yakin boleh membayar balik hutang kerana mempunyai harta bukan dalam bentuk wang tunai).” (Al-Umm, 2/116)

2. Hutang belum selesai tetapi ingin menunaikan haji

Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan, seseorang yang masih tersangkut dengan bebanan hutang TIDAK WAJIB menunaikan haji.

Sebagaimana dijelaskan di atas, ulama sependapat ‘bekalan’ dimaksudkan Nabi Muhammad adalah lebihan harta berbanding tanggungan asasinya. Hutang individu yang bersifat jangka pendek mesti diselesaikan sebelum menunaikan haji.

Contoh, ada individu masih berhutang dengan saya RM3,000 sedangkan janji lunas hutang terlewat sekitar setahun dan beberapa bulan. Kesannya, individu berkenaan tidak layak menunaikan haji kecuali sudah melunaskan hutangnya.

Tujuannya supaya pemberi hutang boleh reda jika sesuatu berlaku kepadanya sewaktu di tanah suci sama ada menghalalkan hutang berbaki atau menuntut daripada waris keluarganya. Tanpa izin, ia tidak seharusnya pergi menunaikan haji.

Justeru, jika kerajaan ingin mengeluarkan khidmat pembiayaan Islam bagi mereka yang berhasrat menunaikan haji, seluruh pertimbangan ini mesti diberi dan disemak sebelum kelulusan diberi.

Ia supaya khidmat yang bertujuan baik oleh kerajaan tidak tersilap sasaran sehingga membawa mudarat lalu menjerumuskan mereka ke dalam perkara haram.

Kerajaan Malaysia diketahui ‘cuba’ berpegang dengan mazhab Syafie dalam banyak pendapat Fiqhnya, justeru dalam hal ini Imam Syafie meriwayatkan hadis berkaitan larangan meminjam untuk menunaikan haji.

HUTANG INSTITUSI KEWANGAN

Namun begitu, ada perbezaan di antara hutang individu dengan hutang institusi kewangan yang berpanjangan selama bertahun, malah ada yang mencecah 30 tahun seperti pembiayaan rumah. Seperti kes pembiayaan tersusun kepada institusi kewangan, terutama bagi yang mengamalkan pembayaran melalui pemotongan gaji.

Seorang jutawan Muslim di masjid di Kuala Lumpur pernah berkata kepada saya: “Ustaz, kalaulah berhutang itu menghalang seseorang pergi haji, saya pastinya tidak akan pergi haji sampai bila-bila walaupun saya ada harta yang banyak.”

“Mengapa kata demikian?” tanya saya. Jawabnya: “Kerana saya ada syarikat sendiri dan syarikat sentiasa ada hutang baru. Biasalah ustaz, perniagaan sederhana dan besar tanpa wujud hutang adalah tidak logik. Jadi, adakah kerana hutang syarikat saya menyebabkan saya tidak berkelayakan menunaikan haji?” balasnya perlahan dan sangat berminat mendengar jawapan balas.

“Oh, hutang jenis itu lain sikit cara pengendaliannya, tetapi masih ada syarat,” jawab saya ringkas.

Benar, hutang jenis ini TIDAK menjejaskan kelayakan mereka untuk menunaikan haji DENGAN SYARAT, pemergiannya menunaikan haji itu TIDAK AKAN membawa masalah kepada pembayaran hutang sistematik kepada institusi kewangan berkaitan.

Jika diyakini pemergiannya ke Makkah BAKAL menyebabkan kedudukan kewangannya terjejas sehingga diyakini boleh menjejaskan tanggungjawab wajibnya seperti nafkah dan hutang wajib kepada institusi kewangan, tatkala itu TIDAK WAJAR baginya untuk menunaikan haji.

Malah, pemergiannya boleh membawa kepada haram. Ini kerana sudah sedia maklum apa-apa yang diyakini membawa kepada haram maka hukumnya juga jatuh HARAM. Disebutkan oleh ulama Islam satu kaedah yang dipetik daripada dalil al-Quran dan hadis: “Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adalah haram.” (Majma Al-Anhar, 4/251: Rujuk perincian dalam ‘Ilam Al-Muwaqqi’ien, Ibn Qayyim, 3/137)

Ia juga boleh difahami daripada firman Allah SWT yang mengharamkan segala bentuk dan jenis permulaan kepada zina. Bermakna, bukan hanya zina yang haram, malah segala bentuk tindakan dan perilaku yang boleh membawa zina juga adalah haram seperti peluk, cium, renungan mata dan telefon bersyahwat.

Demikian juga halnya haji dengan keyakinan membawa mudarat kepada hak pemilik hutang di kalangan individu dan institusi kewangan.

KESIMPULAN

Tiada jawapan khusus kedua-dua persoalan di atas kecuali perincian terhadap kemampuan individu dan kiraan semula nafkah wajibnya. Hanya selepas itu baru dapat dipastikan sama ada berhutang untuk menunaikan haji dibolehkan.

Demikian juga halnya bagi mereka yang terikat dengan hutang, perlu ditinjau jenis hutang daripada pelbagai aspek dan hanya selepas itu boleh ditentukan sama ada individu itu boleh menunaikan haji atau sebaliknya.

Tanpa penilaian tepat, seseorang itu mungkin saja pergi mengerjakan haji dengan dosa kerana mengabaikan hak individu lain yang lebih berhak ditunai segera sebagaimana berdosanya seorang isteri yang berpuasa sunat tanpa izin suami.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)