• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

An-nur: Lebih Mudarat

Oleh ZAHARUDDIN ABD RAHMAN

2010/01/03
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, Khamis lalu memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan ‘Allah’ tidak sah.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk mengetepikan larangan terbabit. Hakim Lau Bee Lan berkata, arahan oleh Menteri Dalam Negeri itu adalah ‘tidak sah dan batal’.

Menurut Bee Lan, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan ‘Allah’ dan menegaskan bahawa perkataan itu bukan hanya eksklusif untuk Islam.

Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN akan membolehkan The Herald dan penerbitan bukan Islam lain menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan bagi perkataan ‘Tuhan’ dalam versi Bahasa Melayu mereka.

Hakim Bee Lan berkata, semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan ‘Allah’. Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

SUDUT HUKUM

Petikan di atas adalah sumber berita bertarikh 31 Disember 2009. Isu ini turut menjadi hangat, khususnya apabila beberapa pandangan diberi oleh kumpulan ilmuwan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujah dan nas, demikian juga kumpulan kedua.

Secara asasnya, ini isu cabang dalam bab akidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran. Perbezaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.



Dalil diutarakan kedua-dua kumpulan, masih membabitkan dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh akan berasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza.

Juga tidak wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Selepas melakukan penilaian terhadap pelbagai hujah, pandangan silam dan kontemporari, secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah SWT.

Antara nas yang paling jelas adalah:

“Dan sesungguhnya, jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!” (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah tuhan yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (al-Zukhruf: 87-88)

Ini hanya satu dalil, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandangan seperti mentafsirkan Allah SWT dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH’ dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi tuhan pencipta secara umum.

Namun, kaedah dalam fiqh memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan khususnya masyarakat jahiliah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS dan Allah SWT sudah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini. Hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan itu.

Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama ‘Allah’ kepada pengertian lughah (daripada sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan ‘Allah’ secara istilah yang merujuk kepada Allah SWT yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama ‘Allah’ digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita kerana Bible bukan rujukan kita tetapi al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada Bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah, sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Umat Islam hanya merujuk al-Quran dan hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible, apatah lagi menurut keyakinan Islam, Bible yang wujud hari ini bukan sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa SA beribu tahun lalu.

TETAPI...

Namun demikian, itu dalam konteks penelitian dalil dan nas atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari’yyah khususnya bagi mengelak salah guna dan kekeliruan, khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau KDN.

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, Kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin saja berbeza mengikut penilaian masing-masing dan tentunya ia bakal memberi kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Justeru, penggunaan nama ‘Allah’ oleh pihak Kristian, khususnya dalam penulisan mereka, wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.

Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penganut agama Kristian dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama, seterusnya boleh membawa pergaduhan serius jika gagal dikawal.

Lebih-lebih lagi apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu lemah. Keadaan pendakwah bukan Islam yang galak menggunakannya dengan tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama ‘Allah’ dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam.

Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang. Sekali lagi perlu diingatkan, perlu dibezakan keputusan hukum dan siyasah syar’iyyah.

Sekuat manapun hujah untuk membenarkan Kristian menggunakan nama ‘Allah’, namun hujah daripada sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan sangat patut dilakukan.

Sama ada ia untuk tempoh tertentu, berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat, seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setiap keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian).

Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah dan ruang konflik antara agama yang mudah ternyala api pergaduhan.

Kesimpulannya, secara peribadi saya berharap supaya rayuan keputusan yang akan dilakukan oleh KDN berjaya mencapai keputusan sebaiknya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)