• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Anak Adalah Amanah

20/05/2010
Oleh Hashim Ahmad

Sesungguhnya anak yang dikurniakan Allah kepada suami isteri adalah suatu amanah dari Allah SWT. Anak bukanlah hak kita. Ia adalah hak Tuhan. Tuhan yang memberikannya kepada kita.

Sekiranya anak itu hak kita, tentulah apabila kita berkahwin kita akan terus mendapat anak seperti mana yang kita kehendaki.

Ada pasangan yang 10 tahun kahwin tetapi tidak juga mendapat anak. Ini kerana ia tidak mendapat keizinan dari-pada Allah. Sebaliknya, ada orang yang baru enam bulan saja kahwin tetapi sudah mendapat anak.

Sedar akan hakikat bahawa anak yang dianugerahkan kepada ibu dan bapa itu adalah satu amanah daripada Allah. Maka menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa menjaga amanah Allah itu dengan sebaik-baiknya.

Sebagaimana anak wajib berbakti kepada ibu bapanya, ibu bapa juga bertanggungjawab memenuhi segala yang menjadi hak anaknya.

Anak yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka. Ibu bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap anaknya juga boleh dianggap sebagai derhaka. Tetapi orang tidak biasa menyebutnya derhaka. Mungkin istilah yang lebih tepat adalah berlaku zalim.

Meneliti kisah yang berlaku pada zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah boleh membuktikan adanya penderhakaan ibu bapa terhadap anaknya.

Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Saidina Umar mengadu perihal anaknya yang didakwanya derhaka kepadanya. Umar memanggil anak yang di-katakan derhaka itu. Khalifah mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya.

Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak terhadap ayahnya. Khalifah Umar menyatakan bahawa: "Antara hak-hak anak terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya yang bakal lahir ke dunia.

"Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Dan setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-Quran".

Mendengar yang demikian, si anak lantas berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Itu semua tidak ada yang dia laksanakan. Ibuku dicarinya dari orang Majusi. Namaku dibuatkan Jaklan dan aku tidak diajarnya membaca al-Quran".

Khalifah Omar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan sambil berkata kepadanya: "Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu? Ternyata engkau telah derhaka kepadanya sebelum dia derhaka kepada-mu. Engkau telah berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu".

Begitulah besarnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya. Sebelum anak itu lahir lagi, kita sudah mempunyai tanggungjawab terhadapnya.

Kita mesti mencari ibu yang baik baginya. Kita mesti mencari wanita yang sihat, sempurna dan cantik. Lebih penting lagi, kita mesti mencari wanita yang solehah dan keturunan yang baik.

Ketika anak berada dalam kandungan, kita wajib menjaganya dengan baik. Si ibu mesti memakan makanan yang baik lagi halal.

Jika ibunya memakan benda-benda haram, ia akan menjadi darah daging bagi si anak dan akan mempengaruhi jiwanya setelah dewasa nanti.

Apabila anak lahir, dia berhak untuk diazan, ditahnik, diberi nama yang baik, dicukur rambutnya dan dibuat akikah.

Setelah anak itu nampak sudah faham akan sesuatu, dia mesti diajar mengaji, ditanam kepadanya masalah akidah, diajar masalah halal haram, mengerjakan solat dan sebagainya.

Dengan kata lain, ibu bapa bukan saja diwajibkan memberi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal kepada anak-anaknya. Malah lebih dari itu ibu bapa wajib mendidik dan memberi pelajaran agar mereka membesar dan menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sabda Rasulullah bermaksud: Setiap anak yang di-lahirkan adalah dalam keadaan bersih melainkan dua orang tua-nyalah yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (riwayat Muslim dan Baihaqi)

Daripada hadis di atas kita dapati peranan ayah dan ibu adalah amat besar untuk melahirkan anak-anak berperibadi dan berakhlak mulia. Anak-anak berada di sekolah kira-kira tujuh jam sahaja sehari.

Dalam masa tersebut anak-anak berada di bawah pengawasan guru. Baki 17 jam lagi dalam hari tersebut, anak-anak berada di bawah penjagaan ibu bapa masing-masing.

Sesungguhnya, anak yang masih kecil mudah dibentuk sesuka hati seperti halnya dengan tepung. Seorang tukang kuih yang sedang memegang tepung, sanggup membentuk tepung itu sesuai dengan kehendaknya.

Begitu jugalah keadaan anak yang masih kecil. Dia masih mudah dibentuk, sama ada untuk dijadikan orang baik atau orang jahat.

Dalam memperkatakan tentang pemberian pelajaran kepada anak-anak, satu perkara yang amat mendukacitakan kita ialah sikap dan tanggungjawab ibu bapa serta bentuk pendidikan yang diberikan kepada anak-anak.

Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa ini kesedaran ibu bapa terhadap kemajuan persekolahan anak-anak memang amat ketara sekali.

Mereka rela membayar yuran persekolahan anak-anak hingga berpuluh-puluh ringgit untuk menjamin kejayaan masa depannya.

Bagaimana pula halnya kalau kita bertanya tentang kemajuan pendidikan rohani khususnya kemampuan anak-anak untuk membaca al-Quran dan menulis tulisan jawi.

Jawapannya adalah amat mengecewakan. Boleh dikatakan majoriti belia kini tidak tahu membaca jawi. Jika boleh pun bacaan mereka merangkak-rangkak.

Para ibu bapa tidak sedikit pun merasa runsing dan bimbang dengan anak-anak mereka yang tidak boleh membaca jawi dan tidak tahu membaca al-Quran. Sumbangan ibu bapa terhadap perkembangan rohani anak-anak mereka adalah begitu rendah sekali.

Hati mereka merasa begitu berat untuk memberi sumbangan atau hadiah kepada tok-tok guru yang mengajar al-Quran anak-anak mereka.

Namun, mereka tidak memprotes atau bersungut tentang kadar yuran tuisyen anak-anak yang begitu tinggi.

Melihat kepada keadaan ini, satu persoalan boleh diketengahkan. Apakah sikap ibu bapa sebegini boleh dianggap sebagai ibu bapa yang amanah dan bertanggungjawab terhadap anak-anak yang dianugerahkan Allah itu?

Sedarkah para ibu bapa bahawa pendidikan sekular sedikit sekali dapat membantu dan menjamin hidup yang bahagia kepada anak-anak mereka di akhirat kelak.

Sesungguhnya anak yang baik akan membawa manfaat kepada ibu bapanya. Dia akan meneruskan perjuangan ibu bapanya dan menolong mereka sesudah tua.

Setelah ibu bapa meninggal dunia, anak itu akan mendoakannya dan meminta ampunkan dosanya.

Menyedari hakikat bahawa sifat amanah adalah semulia-mulia sifat di sisi Allah SWT, maka menganggap barang amanah dengan sambil lewa dan cuai dikira sebagai satu perbuatan mencuri. Hukumannya adalah berdosa besar.

Oleh itu awasilah anak dengan sebaik mungkin kerana anak adalah amanah Allah.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)