• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Anak Disisih Akibat Ibu Bapa Tiada Kesedaran Tanggungjawab

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh
salidasuhaila99@yahoo.com
2010/05/27
ANAK kehilangan ibu atau bapa bukan lagi senario baru yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Memang bunyinya menjengkelkan, tetapi hakikatnya, ia berlaku dan semakin berleluasa mutakhir ini. Walaupun ada yang meninggalkan anak dengan baik di rumah orang tua mereka, bukan soal keperluan tempat tinggal saja yang diperlukan oleh setiap zuriat yang dilahirkan ke dunia, malah lebih daripada itu.

Ada pelbagai sebab yang memaksa ibu atau bapa atau kedua-duanya ‘lari dari rumah’ atau menghilangkan diri daripada anak yang masih mengharapkan kasih sayang ibu bapa. Kebanyakannya kerana faktor kewangan. Ini terbukti apabila banyak kisah dipaparkan media, jelas menunjukkan anak ditinggalkan dalam keadaan kesempitan hidup, tiada tempat bergantung atau punca kewangan, malah ada yang tidak menjamah makanan beberapa hari lamanya.
Ada juga yang bertindak meninggalkan anak kerana perselisihan faham dengan pasangan. Walaupun lumrah suami isteri ada ketikanya berjauh hati, tetapi menjadikan anak sebagai mangsa kerana masalah rumah tangga adalah sangat tidak adil kepada mereka.
Malah anak sepatutnya menjadi penghubung kasih antara dua hati yang nekad berkongsi jiwa apabila sanggup berakad setia sebagai suami isteri. Tidak kurang juga yang meninggalkan anak kerana masalah dadah, judi, juga kerana terbabit dalam kancah kehidupan gelap yang memusnahkan kehidupan berkeluarga.

Hal ini amat mendukacitakan kerana sebagai seorang yang bergelar ibu atau bapa, masalah luaran yang berkait rapat dengan kecelaruan jiwa dan terjerumus ke lembah sosial yang hina sepatutnya tidak berlaku kerana rumah tangga adalah syurga yang menjanjikan kebahagiaan buat setiap insan di dunia.

Sudah tentulah persediaan untuk rumah tangga memerlukan kelengkapan rapi dan teratur. Usia dan kemampuan material tidak lagi menjadi asas utama untuk memungkinkan seseorang itu mendirikan rumah tangga sekiranya tidak cukup matang untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemegang amanah Allah SWT.

Tanpa persiapan dan persediaan untuk menghadapi segala kemungkinan dalam perkahwinan, seseorang perlu menangguhkan dulu hasrat itu sekiranya tidak memudaratkan sisi yang lainnya kerana alam rumah tangga adalah dunia baru yang dikongsi dengan orang lain. Ia memerlukan syura, persefahaman, tolak ansur dan kepercayaan yang diasaskan oleh perintah agama, bukan norma dan sosial yang dipengaruhi faktor setempat semata-mata.
Setiap suami perlu sedar bahawa cantiknya isteri adalah terletak kepada dandanan rohani yang disolek olehnya sendiri. Setiap ibu bapa perlu tahu bahawa masa depan zuriat yang mereka lahirkan adalah bergantung kepada tarbiyah dalam rumah tangga yang mereka bina. Allah SWT berfirman dalam Surah Ath-Thuur, ayat 21 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, kami hubungkan dengan mereka zuriat mereka dan kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.

Jika ibu bapa sendiri tidak sanggup mendepani cabaran dalam rumah tangga demi anak yang dilahirkan daripada darah daging mereka sendiri, tentulah tiada siapa yang lebih layak untuk mengasihi anak berkenaan. Tiada seorang anak pun yang lahir ke dunia untuk membenci dan memusuhi ibu bapa, justeru, mengapa pula mereka ditinggal bagaikan sampah-sarap yang tidak akan dikutip sesiapa?

Sungguh menyedihkan apabila melihat wajah mereka yang tandus kasih sayang dan perhatian, apatah lagi apabila mereka hanya mampu melirik daripada jauh apabila terpandang teman dipeluk dan diganding ibu bapa masing-masing. Usahkan hendak dipimpin tangan, air segelas pun anak yang ditinggalkan ini tidak tahu di mana hendak ditadah lagi. Ingin menikmati juadah yang enak jauh sekali, sayup di sudut hati mereka hanya ingin supaya ibu bapa mereka memahami, melihat dan mendengar rintihan setiap anak yang ditinggal pergi, bahawa mereka berhak disayangi.

Mereka tidak mahu ibu bapa mereka terus lalai kerana ada peringatan dari Allah SWT terhadap orang sebegini. Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf, ayat 179 mafhumnya: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya: mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai”.

Penulis ialah Pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)