• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Arak Perosak Ummah

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

ARAK adalah minuman yang mengandungi alkohol dan memabukkan. Dalam bahasa Arab ia disebut al-khamr, bermaksud menutup.

Menutup itu mengambil sifat khamr itu yang menghilangkan kewarasan akal peminum arak (mabuk), menjadikan si peminum terlena dan tidak sedarkan diri.

Islam mengharamkan arak yang terdiri daripada air, karbohidrat (glukos), mineral, vitamin dan etanol. Dalam hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada Ibnu Umar, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Semua yang memabukkan adalah arak dan semua yang memabukkan adalah haram".

Pengharaman itu dibuat sebanyak empat kali iaitu secara berperingkat (tadriji) sebelum ia diisytiharkan haram dan berdosa besar jika meminum arak. Ini membuktikan arak amat berbahaya daripada aspek kesihatan.

Bukan Islam saja mengharamkan arak, tetapi agama lain turut melarang penganutnya menjauhi arak kerana ia memudaratkan kesihatan dan perlakuan mereka.

Arak dihasilkan daripada buah-buahan seperti anggur, tamar dan bijirin seperti gandum melalui kaedah peram atau penapaian. Nama komersialnya seperti wiski dan brandi.

Namun, dalam bidang perubatan, alkohol mempunyai kepentingannya terutama dalam pembuatan minyak wangi.

Bagaimanapun, berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai alkohol dalam minyak wangi, hukumnya harus dan dimaafkan.

Namun, bagi minuman tanpa mengira apa jenis, hukumnya tetap haram.

Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata Ibnu Abbas r.a meriwayatkan Islam mengharamkan arak kerana ia boleh menjadikan manusia rosak akal dan hilang maruah diri.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan daripada buah tamar dan anggur, kamu jadikannya minuman haram dan rezeki yang baik, sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda bagi orang yang mahu menggunakan akalnya." (Surah al-Nahl ayat 67).

"Ayat pertama itu memberi peringatan supaya umat Islam ketika itu berfikir kerana arak daripada tamar dan anggur yang manis itu jika dimasukkan bahan lain seperti ragi lalu diperam boleh mengubah sifatnya serta menyebabkan peminumnya mabuk atau khayal," katanya.

Beliau berkata, ayat itu juga menceritakan tabiat orang Arab ketika itu gemar memproses tamar dan anggur bagi menghasilkan arak yang akhirnya merosakkan akal fikiran.

"Islam menggunakan pendekatan berhemah dengan mendidik umat-Nya meninggalkan sesuatu yang diharam itu secara perlahan-lahan," katanya.

Bagi mengelak anak muda terjebak minum arak, ibu bapa perlu memberikan pendidikan agama.

"Jika bapa sendiri membawa anak ke pusat hiburan dan mengambil arak, jangan salahkan si anak jika suatu hari nanti mereka juga mengambil minuman haram itu.

"Apabila arak menjadi minuman harian, ia akan merosakkan generasi itu dalam tempoh jangka panjang," katanya.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Siapa yang minum khamr seteguk, Allah tidak menerima amal fardu dan sunatnya selama tiga hari. Siapa yang minum khamr segelas, Allah SWT tidak menerima solatnya selama 40 hari. Orang yang tetap minum khamr selayaknya Allah memberinya minum dari Nahrul Khabaal ? Ketika ditanya : Ya Rasulullah apakah Nahrul Khabal itu? Jawabnya: Darah bercampur nanah ahli neraka". (Hadis riwayat Atthabrani).

Dalam ayat kedua, Allah s.w.t berfirman, maksudnya: "Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya..." (Surah al-Baqarah ayat 219).

Seterusnya ayat yang berkaitan dengan pengharaman arak dijelaskan dalam firman Allah s.w.t, maksudnya: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solat sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan (baca)..." (surah al-Nisa' ayat 43).

Sebab turun ayat ini adalah bersandarkan riwayat kepada Saidina Ali bin Abi Thalib yang bermaksud: " Kami diundang Abdul Rahman bin 'Auf untuk makan di rumahnya, dihidangkan bagi kami makanan dan dihidangkan arak, kami minum sehingga mabuk. Kemudian masuklah waktu solat (Isyak), lalu aku diminta menjadi imam. Maka aku bacalah: " Qul ya ayyuha al-kafiruna la a'budu ma ta'buduna, wa nanhnu na'budu ma ta'buduna." (Abu Daud, al- Termidzi, al- Nasaie dan Hakim).

Farid berkata, ketika itu sahabat sedang bersolat yang diimamkan Ali, tetapi disebabkan Ali mabuk dia membaca ayat sedemikian rupa.

Manakala ayat yang terakhir yang secara jelas mengharamkan arak adalah dari Surah al-Maidah ayat 90 yang mana Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: " Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan."

Ayat yang diturunkan di peringkat keempat ini adalah muktamad bahawa hukum minum arak itu haram dan termasuk dalam dosa besar.

Farid kesal kerana kaedah penjualan arak kepada orang ramai masa ini terlalu mudah sehinggakan golongan remaja boleh mendapatkan di kedai serbaneka di tempat tinggal mereka.

"Mula-mula mereka kenal arak kemudian dengan sendirinya mereka melakukan perkara keji seperti seks bebas, pergaduhan dan pembunuhan.

"Perbuatan minum arak adalah amalan syaitan dan makhluk durjana itu tidak pernah menginginkan amal kebaikan manusia.

"Syaitan sentiasa menyuruh manusia melakukan kejahatan kerana itulah janjinya kepada Allah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Sallehudin Abu Bakar, berkata sejarah kejatuhan kerajaan Mesir dan China kuno ada kaitan dengan penggunaan arak berlebihan.

"Terdapat tiga jenis arak seperti bir, wain dan spirits. Setiap satunya mempunyai peratusan kandungan alkohol yang berbeza.

"Minum arak dalam jumlah yang banyak atau sedikit tetap memberi kesan kepada kesihatan.

"Antaranya merosakkan otak, hati, usus kecil dan dinding perut. Akibatnya, tekanan darah menjadi tidak menentu sehingga otot tidak berfungsi sepenuhnya.

"Itu menyebabkan mereka yang mabuk berjalan terhoyong- hayang, mudah marah dan hilang sifat malu," katanya.

Katanya, amalan minum arak melebihi 50 gram sehari boleh menyebabkan kanser mulut, tekak, kerongkong, payudara, hati, paru-paru, perut, hempedu, ovari, prostat dan kulit.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)