• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ayah Perlu Bijak, Berilmu

Oleh Mohd Fadly Samsudin

BAPA adalah pemimpin yang diamanahkan mencari nafkah, menjadi pelindung serta perancang kepada keluarganya.

Sebab itu, bapa perlu membuktikan dirinya sentiasa bekerja keras dan bersemangat menjadi individu terbaik buat anak dan isterinya.

Mereka perlu sentiasa ingat firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu." (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Prinsip kepimpinan melalui teladan harus diterapkan dalam rumah kerana ia antara kaedah berkesan bagi memastikan setiap ahli keluarga berada dalam keadaan baik.

Sikap sesetengah bapa yang sering membela tindak tanduk anak yang melakukan kesilapan adalah tindakan kurang bijak kerana menjadikan anak itu kelak sukar menerima teguran dan akan terus melakukan kesilapan.

Jika mahu isteri dan anak menjadi insan bertakwa, suami atau dan bapa itu terlebih dahulu mesti bertakwa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia ber�tanggungjawab terhadap mereka dan perempuan penjaga ke atas rumah tangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Tugas dan cabaran menggalas amanah sebagai ketua keluarga bukan semudah yang disangka. Sememangnya tugas mendidik anak pada zaman sekarang amat berbeza berbanding dahulu.

Jika ibu bapa gagal menerapkan nilai Islam serta mengekalkan kerukunan rumah tangga, ternyata sukar bagi mereka mendidik anak mengikut acuan hidup Islam.

Namun bapa moden kini, sudah melihat betapa pentingnya mereka turut terbabit secara langsung dalam urusan dan proses penjagaan anak.

Sebagai bapa, didiklah anak mentaati perintah Allah sejak kecil lagi supaya apabila besar nanti ia tidak menjadi masalah besar kepada mereka untuk mematuhi perintah Allah.

Jangan sesekali jadikan bebanan kerjaya sebagai alasan untuk mengurangkan tumpuan bersama antara isteri dan anak. Dalam usaha memantapkan kefahaman Islam dalam kalangan anak, bapa hendaklah mewujudkan persekitaran agama di dalam rumah tangganya.

Malah ketika anak dalam kandungan ibunya lagi, proses pendidikan sudah boleh dimulakan. Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah supaya anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, beriman, berilmu dan bertakwa.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, antara tugas paling besar bagi seorang bapa ialah memastikan anaknya memiliki budi pekerti mulia.

“Gelaran bapa yang dianugerahkan Allah kepada hamba-Nya adalah amanah besar untuk dilaksanakan. Amanah itu kelak pasti akan dipersoalkan.

“Rasulullah mengingatkan kita mengenai hal itu dalam sebuah hadis: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertang�gungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Firman Allah yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

“Sebenarnya, proses mendidik anak bermula sebelum kelahirannya lagi. Ibu bapalah yang membentuk keperibadian seseorang anak yang bakal dilahirkan,” katanya.

Beliau berkata, Islam amat menitikberatkan budi pekerti seseorang insan kerana ia memberi kesan besar terhadap keperibadian zuriat keturunannya.

Tugas membentuk keperibadian ini adalah salah satu misi penting Rasulullah diutuskan sebagai Rasul terakhir. Sekiranya bapa berusaha mendidik anaknya dengan acuan Islam, maka dia sedang meneruskan misi Rasulullah itu.

Sebagai bapa, mereka perlu membuat persediaan yang cukup rapi. Apabila anak dilahirkan, Islam menetapkan beberapa tanggungjawab penting yang perlu dilaksanakan seorang bapa.

"Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memberi nama baik kepada anak.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama-nama kamu." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

"Apabila nama anak itu dipanggil, maka ia menjadi doa kepadanya," katanya.

Menurutnya, bapa akan melalui cabaran getir dalam hidupnya apabila anak memasuki alam remaja.

Tempoh ini merujuk kepada tempoh perubahan anak sekitar umur 15 hingga 20 tahun. Pada tahap itu anak biasanya akan merasakan mereka sudah mampu hidup sendiri, tidak perlu lagi kawalan ibu bapanya.

"Mereka lebih selesa meluahkan isi hati mereka dengan rakan-rakan, serta mula berani melakukan perkara yang menjadi kebiasaan remaja lain seperti merokok, keluar malam, mencari pasangan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, bapa perlu bijak memainkan peranannya serta mempamerkan kemahiran berinteraksi supaya anak sentiasa merasa diri mereka dihargai dan disayangi.

"Apabila kurangnya komunikasi dalam keluarga, menyebabkan anak mencari pihak lain untuk mendengar luahan hati mereka.

Jika bapa mampu mewujudkan hubungan akrab seperti 'rakan' kepada anak, membuatkan mereka selesa berkongsi kisah suka dan duka mereka," katanya.

Katanya, bapa wajar meneliti beberapa perkara bagi mendepani situasi zaman sekarang yang serba moden dan mencabar.

Bapa perlu menguasai ilmu mendidik anak menurut acuan Islam. Di dalam al-Quran, terdapat kisah yang dirakamkan mewakili situasi bapa dan anak, seperti kisah Nabi Ibrahim dan juga kisah Luqman al-Hakim.

Lihatlah bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Budaya nasihat subur dalam keluarganya dan itulah yang patut dicontohi bapa hari ini.

Luqman al-Hakim mendidik anaknya melalui mutiara nasihat. Seperti mana yang dirakamkan di dalam al-Quran: Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman, ayat 13)

"Budaya nasihat ini perlu dilakukan dalam keadaan berkasih sayang supaya ia benar-benar menyerap ke dalam hati anak dan bukannya dalam keadaan marah," katanya.

Mohd Shahrizal berkata, anak sememangnya memandang tinggi kewibawaan bapanya kerana bapalah insan dewasa terdekat dengannya.

"Sekiranya bapa mempersiakan peluang itu, maka anak berusaha mencari orang lain untuk dijadikan contoh. Akhirnya, situasi itu memberi persepsi buruk anak terhadap bapanya," katanya.

Beliau berkata, Rasulullah begitu prihatin terhadap didikan kepada anak, termasuk anak tirinya sendiri.

Daripada Umar bin Abi Salamah, dia berkata: “Ketika masih kanak-kanak, saya berada di bawah peliharaan Rasulullah. Pada waktu makan, saya menghulurkan tangan ke setiap penjuru dulang untuk mengambil makanan. Maka Baginda berkata kepada saya: "Wahai anakku! Bacalah Bismillah, makan dengan tangan kanan dan ambillah yang paling dekat denganmu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Lihat betapa prihatinnya Rasulullah mengenai didikan akhlak yang menyentuh
soal adab ketika makan menurut Islam.

Rasulullah turut mengingatkan setiap bapa supaya tidak alpa dalam mendidik anak berkaitan ibadah solat. Sebagai ketua keluarga yang mencorakkan keperibadian anak, bapa perlu sedar solat itu mempunyai fungsi besar dalam pembentukan sahsiah terpuji.

"Berdoalah kepada Allah supaya amanah (anak) dapat ditunaikan dengan baik.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyenangkan hati (apabila) melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa." (Surah al-Furqan, ayat 74)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)