• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Badan Sihat Mudah Beribadat

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

MELONTAR JAMRAH...dalam keadaan bersesak-sesak jemaah memerlukan kekuatan fizikal.
BERTENAGA...golongan muda disaran menunaikan haji ketika usia muda supaya dapat menjalankan kerja haji dengan lebih sempurna. MUNGKIN ramai di kalangan golo�ngan muda merasakan kesempatan untuk menunaikan ibadah haji tidak tercapai pada usia muda dengan alasan masih tidak memiliki sumber kewangan kukuh atau memberi laluan kepada golongan tua terlebih dulu.

Semua alasan berkenaan perlu diperbetulkan kerana ketika muda inilah masa paling sesuai melaksanakan kewajipan rukun Islam yang kelima itu.


Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah kamu menunaikan fardu haji kerana seseorang itu tidak tahu apa akan berlaku ke atasnya (mati)” (Riwayat Imam Ahmad).

Justeru, umat Islam terutama golongan muda perlu merancang sebaik-baiknya sebelum menunaikan ‘pengembaraan’ hebat mereka di Tanah Suci kelak.



Umat Islam negara ini sepatutnya berasa syukur dan bertuah sekali kerana memiliki institusi seperti Lembaga Tabung Haji (LTH) yang berpengalaman menguruskan jemaah haji setiap tahun.


Institusi berkenaan terbukti antara yang terbaik menyediakan latihan dan kursus intensif kepada bakal haji. Alasan kewangan bukan menjadi perkara utama.

Ini kerana setiap orang perlu berniat dari awal lagi untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda melalui amalan menabung dan membuat simpanan tetap melalui sistem potongan gaji ke dalam akuan Tabung Haji.

Jangan pula kita menanggung hutang membuat pinjaman semata-mata untuk pergi mengerjakan ibadah haji atau umrah.

Perkara itu dirasakan tidak sesuai kerana memperlihatkan kelemahan kita yang terpaksa membuat pinjaman. Setiap orang perlu berazam menunaikan haji ke Tanah Suci setidak-tidaknya ketika berusia 30-an atau lebih muda lagi.

Mulai sekarang, kita perlu mempertingkatkan ilmu pengetahuan supaya ketika melaksanakan ibadah haji dalam keadaan bersedia dan berilmu bagi mendapatkan haji mabrur.

Faktor umur dijadikan ukuran utama dalam ibadah haji kerana ketika badan masih sihat, kuat dan bertenaga inilah antara perjuangan jihad kita dapat dilakukan dengan cukup sempurna.

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Apakah ibadat yang paling baik. Baginda menjawab, beriman kepada Allah dan Rasul. Apa lagi kata pemuda itu, Baginda menjawab, jihad fisabilillah. Apa lagi, Rasulullah bersabda, haji yang mabrur” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Allah berfirman yang bermaksud: Menunaikan haji adalah kewajipan setiap manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang mampu mengadakan perjalanan menuju ke Baitullah. Dan barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam (Surah Ali’Imran ayat 97).

Sekiranya kita sudah berkemampuan menunaikan haji pada usia muda, mengapa mesti menunggu menangguhkannya? Apabila berpeluang menunaikan haji, tumpukan perhatian terhadap pelaksanaannya dengan memutuskan hubungan dengan dunia yang melalaikan.

Peliharalah hubungan baik dengan Allah dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara maksiat, keji serta meningkatkan diri dengan sifat terpuji.

Imam Al-Ghazali berkata, ibadah haji adalah kemuncak ibadat dan pengabdian diri seseorang Muslim kepada Allah. Pengabdian itu perlu diusahakan sebaik mungkin dengan penuh bersemangat.

Penolong Pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain berkata, kelebihan kepada golongan yang menunaikan haji ketika muda adalah mereka lebih realiti dalam menyahut seruan Allah de�ngan keadaan mampu.

“Mampu yang dinyatakan di sini adalah dari segi kekuatan jasmani kerana badan masih kuat membolehkan mereka beribadah dengan lebih selesa, tenang, tiada penyakit dan tidak terdedah kepada bahaya.

“Berbeza dengan golo�ngan haji yang sudah tua, pergerakan mereka terbatas, menghidap beberapa penyakit, mata tidak berapa nampak dan terdedah de�ngan pergerakan fizikal seperti perlanggaran antara jemaah yang menjadi penghalang penghayatan ibadah itu,” katanya.

Zamihan berkata, beliau juga mempunyai pengalaman mengerjakan haji pada usia muda dan dapat merasai kehebatan dan kesempurnaan mengerjakan ibadah haji yang cukup luar biasa.

“Saya mengerjakan haji ketika berusia 22 tahun bersama rakan lain ketika menuntut di Jordan. Kami mengambil peluang musim cuti semester bagi melaksanakan ibadah wajib itu dengan perasaan cukup semangat dan seronok sekali.

“Tidak dinafikan, dalam usia muda sebegitu, kita sentiasa didorong dengan nafsu dan kurangnya daya tahan. Namun bagi mereka yang sudah melaksanakan ibadah haji ini sangat dihormati masyarakat, lebih-lebih lagi jika golongan muda.

“Sebab itu, jika orang muda yang sudah mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan ilmu disarankan menunaikan haji seawal mungkin,” katanya.

Beliau berkata, antara faktor dan sebab mengapa kita menyarankan golongan muda segera menunaikan haji kerana cabaran yang perlu ditempuh jemaah haji sebenarnya cukup mencabar.

“Kerja haji seperti melontar jamrah contohnya memerlukan kekuatan fizikal kerana ketika itu jemaah saling berebut, di tambah lagi kawasan yang terhad sudah tentu menyukarkan jemaah.

“Bagi golongan muda perkara itu tidak menjadi masalah besar kerana mereka memiliki kekuatan tubuh badan yang kuat.

Sama juga halnya dengan tawaf, jemaah masing-masing bersesak-sesak dalam keadaan panas, bertembung sesama sendiri dan jika silap langkah boleh terjatuh atau rebah,” katanya.

Bagi perunding latihan dan motivasi terkenal, Ahmad Fadzli Yusof, peluang menunaikan haji pada 2001 ketika masih dalam pengajian sebagai rezeki daripada Allah yang ‘menjemput’ beliau menjadi tetamu-Nya.

“Ketika itu, saya berusia 23 tahun dan berada dalam tahun tiga dalam pengajian undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Saya terkejut mendapat panggilan telefon daripada pegawai Lembaga Tabung Haji (LTH) yang menyatakan saya terpilih untuk mengerjakan ibadah haji pada
tahun itu.

“Pegawai itu kemudian meminta saya hadir ke pejabat Tabung Haji bagi sesi taklimat sebelum berlepas sehari selepas itu. Ketika itu saya tengah menghadapi peperiksaan akhir di universiti.

“Situasi berkenaan memaksa saya menangguhkan peperiksaan dan mengambil peperiksaan khas selepas pulang dari Tanah Suci. Biarpun masa yang diberikan cukup singkat untuk membuat persediaan, namun Allah permudahkan segala-galanya dan saya bertekad tidak mensia-siakan peluang yang diberikan itu sebaiknya-baiknya,” katanya.

Ahmad Fadzli berkata, peluang menjadi tetamu Allah itu adalah jemputan kerajaan Arab Saudi bagi mengikuti persidangan belia Muslim peringkat antarabangsa di Jeddah.

“Alhamdulillah, saya bersama seorang lagi rakan yang ketika itu memimpin sebuah persatuan di UIAM (Quranic Youth Club) dipilih pihak universiti untuk menghadiri persidangan terbabit dan seterusnya melaksanakan ibadah haji.

“Selain wakil pelajar negara ini, persidangan itu turut disertai wakil dari 15 negara lain antaranya Turki, Mesir, Pakistan dan Indonesia,” katanya.

Ketika dalam penerbangan ke Jeddah, beliau bersama rakan lain tetap menelaah buku panduan haji diberikan pihak Tabung Haji sebagai persediaan.

“Biarpun mendapat jemputan secara ‘mengejut’ namun kami berusaha menggunakan kesempatan yang ada bagi membuat ulang kaji.

“Apa yang boleh dikongsi melalui ibadah yang berjaya dilaksanakan ini adalah mengenai keupayaan tenaga. Dalam usia 20-an ketika itu saya tidak memikirkan soal kesihatan kerana yakin masih diberikan kudrat yang kuat untuk melakukan ibadah.

“Peluang yang diberikan itu memberikan kesempatan kepada saya bertemu pelbagai lapisan masyarakat, selain dapat menziarahi kawasan menarik dan bersejarah di sana,” katanya.

Ahmad Fadzli berkata, bukan mustahil bagi golo�ngan muda melaksanakan ibadah haji dalam usia muda asalkan mereka bersedia untuk menyimpan dan menabung bagi tujuan itu.

“Setiap orang muda perlu berniat mahu melaksanakan rukun Islam kelima ini lebih awal lagi di samping bersedia dari segi kewangan dan ilmu pelaksanaannya.

“Lakukan simpanan setiap bulan ke dalam akaun Tabung Haji sejak mula mendapat pekerjaan. Contohnya menyimpan sebanyak RM150 ketika umur 23 atau 24 tahun, insya-Allah berpeluang menunaikan haji ketika berumur 34 atau 35 tahun kelak,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman berjaya mengharungi pengembaraan selama lebih 30 hari di Tanah Suci itu ibarat proses kelahiran semula yang membina kekuatan dalaman, motivasi serta spiritual lebih mantap.

“Ibadah haji antara proses latihan yang menjadikan umat Islam insan bertanggungjawab, memiliki paradigma serta perspektif yang berbeza-beza kerana di sana mereka bakal menyaksikan umat Islam dari seluruh dunia.

“Dalam usia yang muda ini juga mereka berpeluang memberikan sumbangan idea, visi dan wawasan baru dalam kehidupan,” katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)