• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Banyak Ceramah Agama Belum Mencapai Piawaian Ilmu

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Mufti Negeri Perlis)

DALAM satu persidangan tertutup yang saya diminta membentangkan kertas kerja, beberapa orang ‘yang tidak sebarangan’ dari berbagai-bagai negeri mengkritik program-program agama televisyen (tv) kita. Ada yang menyifatkan ahli-ahli panel ceramah agama itu seakan-akan pelawak atau badut. Ucapan mereka dikatakan sekadar lawak jenaka atau cerita untuk kesukaan budak-budak. Tidak ada nilai ilmiah dan kekuatan menyelesaikan masalah umat yang menampakkan kematangan Islam.

Saya katakan, barangkali kritikan itu terlalu keras, juga tidak semua penceramah yang demikian. Namun kritikan seperti itu tidak boleh dinafikan. Kadangkala penyampaian agama oleh sesetengah pihak tidak memperlihatkan kehebatan isi ajaran Islam. Banyak perbincangan dalam saluran-saluran televisyen amat tidak mencapai piawaian yang sepatutnya bagi agama ini.

Siaran-siaran itu dipancarkan ke seluruh negara. Malangnya standard penerangan sesetengah penceramah belum mencapai tahap ‘sekolah menengah’ sedangkan tahap pendidikan rakyat sudah meningkat.

Rasa-rasanya program agama kita masih ke belakang. Maka jangan hairanlah jika ia kurang mendapat perhatian daripada generasi baru yang sudah terdedah dengan dunia yang rencam dan cabaran yang pelbagai.

Malanglah jika modal sesetengah penceramah agama ialah maklumat yang dikutip dari apa sahaja bahan yang sampai. Ibarat kata, membujur lalu, melintang patah. Mereka tidak mempunyai kekuatan ilmiah dan minda dalam menilai dan menapis fakta. Maka, semua yang dibaca dianggap benar dan disampaikan. Sehingga buku palsu Dialog Nabi s.a.w. dengan iblis dipercayai. Antaranya, konon baginda Nabi s.a.w bertanya iblis, “apakah tempat yang paling engkau suka?” Jawab iblis, “panggung wayang.” Walaupun, penceramah mungkin mempunyai tujuan tertentu namun kepalsuan adalah musuh agama ini.

Pada zaman Nabi belum ada panggung wayang. Bagaimana istilah ini muncul? Sudahlah cerita-cerita dalamnya tidak mempunyai sanad yang diterima, ditambah lagi dengan kebodohan jalan cerita yang boleh menyebabkan generasi berakal menolak agama. Padahal itu bukan fakta agama. Al-Quran tidak menyebut peralatan senjata moden, sebaliknya menyebut kuda, bagi memahamkan senjata terbaik ketika itu. Mana mungkin hadis menyebut istilah yang tidak wujud di zaman tersebut.

Ada yang membawa cerita, kononnya wali tertentu bersolat 1,000 rakaat semalam. Adakah satu malam mempunyai 1,000 minit untuk bersolat 1,000 rakaat selaju seminit satu rakaat? Jika diambil pukul 8 malam sehingga 6 pagi, baru 600 minit! Mampukah dia melakukan 1,000 rakaat? Matematik sekolah rendah pun dapat memikirkannya. Sedangkan Rasulullah menurut Aisyah dalam riwayat yang sahih bahawa solat malam baginda tidak melebihi 11 rakaat.

Benarlah kata sesetengah sarjana hadis: Apabila engkau melihat sesebuah hadis menyanggahi logik, menyalahi manqul (al- Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ia hadis palsu (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, Beirut: Dar al-Fikr).

Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam televisyen bahkan di luar. Masih ramai ustaz yang kadangkala bermodalkan cerita dongeng dan kartun. Di samping riwayat Israiliat dan hadis-hadis palsu yang dibaca di dalam masjid dan surau, mereka menokok tambah kejadian-kejadian pelik.

Cerita mayat jadi itu dan ini menjadi modal murahan. Tidak dinafikan Allah mampu melakukan segala-galanya, namun sejarah menunjukkan Allah tidak bertindak demikian kepada umat Nabi-Nya yang akhir, tidak seperti umat sebelumnya. Kalau Allah mahu, tentu mayat Abu Jahal atau Abu Lahab terlebih dahulu akan menjadi contoh. Dua tokoh kekufuran itu tidak juga mati terkejut atau kerana penyakit misteri disebabkan kejahatan mereka sebaliknya kaum muslimin yang berjihad dan menghapuskan mereka di medan pertempuran.

Islam meminta usaha, bukan menunggu tindakan Allah. Firman Allah mengenai cabaran musyrikin terhadap Nabi (maksudnya): Dan mereka berkata: Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan bagi kami mata air dari bumi. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau engkau gugurkan langit berkeping-keping ke atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?” Dan tiadalah yang menghalang orang- orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: “Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?” (al-Isra’: 90-94).

Demikian dahsyat cabaran mereka, baginda tidak menyahutnya, kerana bukan itu kehendak Allah. Mereka meminta langit berkeping-keping menimpa kepala mereka, namun baginda menjawab, “Aku hanya seorang insan yang diutuskan menjadi rasul.” Allah s.w.t. yang maha bijaksana tidak pula memusnahkan kaum musyrikin dengan apa yang mereka minta.

Apa yang pelik sesetengah ustaz atau penceramah agama membawa cerita yang jauh berbeza dengan tabiat sirah Nabi dan para sahabat. Kononnya mayat jadi begini kerana tidak ke masjid, terlalu kedekut dan seumpamanya. Yang ini pula tangannya lumpuh atau berpenyakit badan kerana tidak pergi haji. Boleh jadi seseorang yang sakit itu kafarah Allah ke atasnya kerana dosa tertentu dan di atas hikmah lain.

Ramai yang beriman lagi soleh juga sakit. Adapun cerita mayat jadi itu dan ini, kebanyakannya andaian atau tokok tambah. Apa yang membimbangkan, ada media massa menjadikan tajuk-tajuk sebegini bagi menarik pembaca. Ada orang bukan muslim membaca dan berkata: “Teruknya orang Islam, mati macam-macam jadi. Kita yang awak katakan kafir pun tidak jadi macam itu. Kalau macam ini takut kita hendak masuk Islam. Bahaya! Nanti tuhan selalu marah, mati pun tak boleh senang.”

Lebih mendukacitakan, sebahagian penceramah menjadikan masjid dan surau sebagai platform mengiklankan barang-barang jualan mereka, yang disokong oleh dalil-dalil yang kebanyakannya tidak benar. Akhirnya masjid menjadi pusat iklan barangan pihak-pihak tertentu sedangkan peniaga-peniaga lain tidak ada peluang. Kalau satu syarikat diizinkan, mengapa syarikat lain tidak? Jika semuanya diizinkan, jadilah masjid bagaikan ‘pasar lambak’. Barangkali inilah hikmat baginda Nabi menyebut: “Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: Allah tidak akan menguntungkan perniagaanmu.” (Riwayat al- Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Malangnya bagi kita, siapa yang dinobatkan sebagai ‘ustaz’, tentulah tahu semua benda dalam agama. Padahal, Islam begitu luas lagi ilmiah. Mana mungkin hanya bergelar ustaz dia menguasai disiplin-disiplin yang hebat tanpa kajian yang mantap. Adakah dianggap pengkaji Islam jika sekadar mencetuskan beberapa lawak jenaka atau petua suami isteri?

Dalam sejarah, para ulama hadis mengingatkan umat Islam tentang bahayanya golongan qussas dan wu’adz. Mereka ini antara yang berperanan mewujudkan hadis palsu atau menyebarkannya. Melalui mereka tersebarnya Israiliat, petua-petua khurafat dan cerita-cerita karut yang disandarkan kepada tokoh itu dan ini.

Secara ringkas kita terjemahkan wu’adz dan qussas sebagai para penceramah agama dan tukang cerita.

Mungkin kita akan bertanya, adakah bahaya? Tidakkah mereka memberi nasihat di masjid dan surau? Orang ramai pula mendapat manfaat. Kita katakan, bahayanya bukan kerana mereka memberi nasihat tetapi isi kandungan agama dalam ucapan mereka banyak yang tidak benar.

Kita sedar bukan semua penceramah begitu. Ramai juga yang berhati-hati dalam penyampaian maklumat dan hadis-hadis. Namun lebih ramai penceramah hanya memikirkan apa yang disukai pendengar.

Kata Dr. Nasir bin ‘Abd al-Karim al-‘Aql: “Qussas mereka itu adalah wu’azd yang mengadakan majlis-majlis untuk memberi nasihat, yang mana ia menyanggahi majlis ilmu. Mereka memberi nasihat kepada orang ramai dengan pelbagai hikayat, israiliat dan seumpamanya yang tidak ada asal-usulnya atau palsu atau apa yang akal tidak dapat memikirkannya.” (Al-Ahwa’ wa al-Firaq wa al-Bida’ ‘ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44, Riyadh: Dar al-Watan).

Sepatutnya majlis-majlis nasihat mestilah berteraskan ilmu yang tulen.

Kata al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) ketika mengulas mengenai tipu daya iblis terhadap wu’adz dan qussas ini: …maka golongan awam dan wanita begitu suka kepada mereka. Lantas orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu sebaliknya berpaling kepada cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh orang yang jahil. Maka timbullah pelbagai bidaah dalam bidang ini… di kalangan mereka ada yang memalsu hadis-hadis dalam al-targhib (menggalakkan ibadah) dan al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat).

Iblis menipu mereka lalu mereka berkata: tujuan kami ialah untuk menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang mereka daripada kejahatan. Ini adalah penambahan mereka terhadap syariat. Justeru dengan perbuatan ini, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan kepada penyempurnaan. Mereka lupa sabda Nabi, Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 143, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Adalah juga menyedihkan jika ada pihak menganggap, ceramah agama sebagai sumber mengumpul kekayaan. Maka dia mencetuskan apa yang dirasakan boleh menghasilkan duit. Lalu dia mengorbankan ilmu dan fakta hanya kerana harta. Kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib: “Kebanyakan qussas (tukang cerita) hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan. Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperoleh habuan dan faedah daripada pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi dan tidak menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya, mendukacitakan – mereka memperoleh pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenar dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian.” (Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, Beirut: Dar al-Fikr)

Inilah hakikat yang berlaku. Entah berapa ramai penceramah tidak meneliti kedudukan fakta-fakta yang dikemukakan. Apa yang mereka pentingkan ialah jemputan orang ramai dan kesudian mereka untuk mendengar. Sebab itulah pada zaman dahulu Ibn ‘Umar mengarahkan agar pihak berkuasa mengeluarkan mereka dari masjid dan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz memenjarakan mereka dan sesiapa yang duduk dalam majlis mereka. (Lihat: Nasir bin ‘Abd al-Karim al-‘Aql, Al-Ahwa’ wa al-Firaq wa al-Bida’ ‘ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44.).

Kesalahan mereka bukan kerana memberi nasihat kepada orang ramai tetapi menyebarkan perkara-perkara palsu.

Menyandarkan maklumat palsu kepada Islam amat haram. Malangnya perkara yang diharamkan berlaku di masjid-masjid. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis). Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis itu. Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai.

“Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan. Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah.” (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadith, m.s. 322, Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)