• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Banyak Iktibar Boleh Dicerna Melalui Peristiwa Israk Mikraj

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

PERJALANAN Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sehinggalah ke Sidratul Muntaha pada malam Israk Mikraj memang tidak tercapai dek akal dan satu cara untuk memahami peristiwa itu ialah dengan merujuk kepada al-Quran.

Pegawai Bimbingan Haji dan Umrah Rayha Travel, Mohd Nizam Kamaruzaman, berkata walaupun Israk Mikraj tidak boleh dicerna oleh akal tetapi umat Islam wajib mempercayainya kerana banyak iktibar boleh dikutip daripada peristiwa luar biasa itu selain disyariatkan solat lima waktu sehari semalam.

"Ayat itu dimulakan dengan memuji zat Allah dan ini menunjukkan betapa istimewanya Israk Mikraj.

"Pengajaran sudah kita ambil ialah setiap kali melihat perkara luar biasa, selalunya kita akan berkata Maha Suci Allah (Subhanallah).

"Sementara perkataan hamba yang digunakan merujuk kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pengiktirafan.

Begitu juga sebahagian kecil tanda kebesaran lain yang berlaku ketika perjalanan itu, semua mempunyai maksud supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa itu," katanya pada majlis sempena Israk Mikraj yang diadakan di surau The New Straits Times Press (M) Bhd, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tetapi malangnya kata Mohd Nizam, ramai yang tidak mempercayai Israk Mikraj kerana masih ramai tidak takut melakukan maksiat dan membuat dosa.

Katanya, jemputan Allah kepada Nabi Muhammad SAW itu menjadi ujian keimanan kepada masyarakat dunia dan untuk melihat keyakinan mereka terhadap agama Allah termasuk syurga, neraka, dosa dan pahala.

Contohnya, apabila Nabi Muhammad SAW diperlihatkan mengenai kumpulan yang menanam sedikit tetapi hasil diperoleh berlipat kali ganda adalah gambaran manusia yang yakin kepada agama Allah berbuat ibadat sedikit tetapi mendapat ganjaran pahala yang banyak.

Begitu juga dengan pengalaman dilalui Baginda SAW ketika dibawa melawat neraka dan melihat bentuk seksaan diterima mereka yang ingkar akan suruhan agama serta lalai menunaikan amanah semasa di dunia.

Beliau berkata, Israk Mikraj melahirkan empat golongan iaitu yang yakin dan terus percaya kepada apa disampaikan Nabi Muhammad SAW seperti Abu Bakar as-Siddiq, yang percaya tetapi tidak yakin seperti Abu Jahal.

Dua golongan lagi ialah mereka yang yakin tetapi inginkan bukti sementara yang akhirnya, golongan tidak ambil kisah langsung peristiwa itu.

"Golongan keempat itu adalah mereka yang tidak mahu berfikir soal agama langsung dan sewajarnya mereka menjadi ayam daging yang tidak kisah apa berlaku di sekeliling sebaliknya hanya memikirkan diri sendiri saja hingga tiba saat untuk disembelih dan menjadi sajian di meja makan," katanya.

Menyentuh pensyariatan solat, Mohd Nizam berkata, Islam tidak berkompromi dalam hal ibadat itu kerana pentingnya solat, untuk menyampaikan suruhan itu Nabi Muhammad dijemput menemui Allah.

Tidak seperti suruhan lain yang diturunkan melalui wahyu.

Katanya, tujuan manusia diwajibkan menunaikan solat bukan untuk menggembirakan Allah kerana setiap amalan dilakukan manusia di dunia ini akan kembali kepada mereka pada hari dikumpulkan bagi dinilai di akhirat kelak.

"Oleh itu, mulai sekarang marilah kita memperbaiki solat kerana manfaat solat ialah untuk menjadikan kita seorang yang tawaduk, ikhlas melakukan ibadat kerana Allah, mendapat ketenangan dan menjauhkan daripada melakukan kemungkaran.

"Hendaklah kita berusaha menjadi hamba Allah yang diiktiraf kerana hubungan kita dengan Allah kerana kemuncak segala nikmat adalah untuk berjumpa Allah Maha Berkuasa suatu ketika nanti," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)