• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Belia Hebat, Cemerlang Mesti Bijak Pilih Rakan

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Generasi muda tonggak masa depan bantu pertahan kesucian, kedaulatan agama

BELIA adalah kumpulan yang menjadi tenaga utama dalam sesebuah negara. Malah jika ditelusuri sejarah syiar Islam sejak era Rasulullah lagi, golongan pemuda atau belia adalah tonggak dalam membantu perjuangan menegakkan agama Islam. Di samping itu, al-Quran banyak menceritakan perjuangan Nabi dan Rasul yang semua daripada kalangan pemuda. Kata Ibnu Abbas: “Tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan Allah, melainkan ia dipilih dalam kalangan pemuda (belia) iaitu yang berumur antara 30-40 tahun. Begitu jugalah tidak seorang alim yang diberikan ilmu, melainkan ia dari kalangan pemuda.” Kita selalu membaca kisah golongan belia yang dipaparkan al-Quran seperti Ashabul Kahfi dan Ashabul Ukhdud. Misalnya Ashabul Kahfi, al-Quran menceritakan nilai iman dan ketakwaan golongan belia yang melarikan diri daripada pemimpin Mustakbirin yang hanya mementingkan aspek material dan keduniaan semata-mata. Mereka berbuat demikian bukan kerana takut sebaliknya kerana ingin memelihara dan menjaga iman dan takwa kepada Allah. Dalam sejarah Rasulullah, sahabat Baginda yang sentiasa membantu dan berada di barisan hadapan mempertahankan Islam adalah belia. Walaupun ada kalangan mereka itu masih muda dan remaja, namun kecintaan mereka terhadap Nabi begitu tebal. Tiada masa dibuang percuma, melainkan dipenuhi dengan amalan yang bermanfaat. Pada zaman Nabi, tidak pernah terdengar atau terbaca catatan menggambarkan golongan muda yang suka melepak dan membuang masa dengan hal yang menyusahkan orang lain. Jauh sekali mereka melakukan sesuatu perbuatan terlarang. Inilah zaman terbinanya generasi belia yang berkualiti tinggi lengkap dengan pakej iman dan takwa yang padu.

Menurut asy-Syeikh Fathi Yakan, usia muda generasi belia adalah usia yang penuh dengan cita-cita unggul yang mengalir darah yang gemuruh serta memiliki idealisme yang luas. Selain itu, mereka berupaya tinggi menabur jasa malah bersikap berani serta cepat mengambil peluang. Jika dilihat pada pendapat Syeikh Fathi, belia adalah aset berharga kepada agama, bangsa dan negara.

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata, tanda pemuda-pemudi Islam yang berhemah tinggi adalah suatu generasi yang mempunyai sifat yang dinyatakan dengan jelas bagi sesiapa yang membaca al-Quran atau mempelajari sunnah Nabawiyyah.

Katanya, antara sifat itu ialah percaya kepada realiti dan mementingkan ilmu pengetahuan, suka beramal dan hidup berjemaah yang kukuh. Selain itu, mereka ikhlas melaksanakan sesuatu amal kebajikan, saling berinteraksi dengan komuniti serta hidup dalam keseimbangan dunia akhirat yang sejati. Mereka mengamalkan hidup bersederhana dan qanaah dengan apa yang dikurniakan Allah.
Namun kini, arus pemodenan dan globalisasi semakin mencengkam jiwa golongan belia, kekukuhan rohaniah dan sahsiah mereka terhakis sedikit demi sedikit sehingga berlaku pelbagai gejala negatif. Banyak sebab terjadi fenomena sedemikian. Antaranya kerana pengaruh rakan sebaya. Mereka gagal memilih rakan yang baik dan beragama sempurna. Kebanyakan gejala negatif seperti melepak dan merempit malah penyalahgunaan dadah kebanyakannya berpunca daripada pengaruh rakan.

Ingatlah pesanan Nabi Muhamad yang bermaksud: “Perumpamaan teman yang soleh dan teman yang jahat ialah laksana pembawa wangi-wangian dan tukang besi. Adapun pembawa wangi-wangian, sama ada dia memberimu sedikit ataupun kamu membeli daripadanya sedikit, ataupun kamu dapat mencium daripadanya bau-bauan yang wangi. Adapun tukang besi sama ada dia membakar bajumu, ataupun kamu mencium daripadanya bau-bauan yang busuk.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Inilah pesanan Nabi kepada kita semua supaya bijak memilih rakan kerana kesannya sangat buruk terhadap masa depan dan pembentukan sahsiah.

Daripada pengaruh rakan juga maka merebak nilai negatif seperti pergaulan bebas yang berakhir dengan perlakuan zina. Rakan yang buruk akhlak akan menjebak seseorang memiliki jiwa tidak takut Allah dan tidak ingat kepada kematian.

Sebaliknya jika seseorang itu memiliki rakan yang soleh, sudah pasti akan membawa kepada pembinaan iman dan pemantapan takwa yang utuh sekali gus memperkasakan jati diri sebagai seorang mukmin yang unggul. Jadi, kepada golongan muda belia Islam, diharap bijak memilih rakan supaya diri tidak terjerumus ke lembah yang bertentangan agama.

Belia seharusnya segera bangkit membina sahsiah diri terpuji. Jadilah generasi yang mampu mendokong tamadun ummah dan negara. Bangkit menjadi golongan yang bermanfaat kepada orang lain dan memberikan pengaruh baik dalam lingkungan sekitarnya dan sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Contohilah peribadi Hassan al-Bana, yang memimpin gerakan Ikhwanul Muslim ketika baru berusia 23 tahun.

Teladani jati diri Usamah bin Zaid yang pada usia baru mencecah 18 tahun sudah dipilih memimpin barisan perang. Ikutilah jejak mulia Saidina Ali bin Abi Talib serta Zubair bin Awwam yang ketika berusia 8 tahun pintar, cerdas akal fikiran malah berani di medan perang. Inilah beberapa contoh generasi muda yang hebat. Bagaimana dengan anak muda belia kita sekarang?

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)