• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Belia Islam Perlu Bangkit Rebut Ilmu, Peluang Majukan Diri

Oleh Nordin Abdullah

BUDAYA membaca dan mencari ilmu wajar diterapkan dalam jiwa dan fikiran umat Islam untuk maju dan hidup berjaya, apatah lagi berdepan kancah dunia dihambat dengan persaingan dari segenap bidang dan ruang.

Umat Islam jangan biasakan diri senang dan mudah alpa kerana ditakuti diri sendiri yang akan dihambat kerugian. Persediaan perlu dibuat sejak awal lagi. Berkaitan hal ini, remaja dan belia Islam harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

Mereka perlu mengelak terjebak angkara mungkar termasuk merempit atau menagih dadah dan membuang masa dengan perkara menjelekkan atau perlakuan terlarang yang patut dihindari.

Dalam hidup ini, banyak perkara baik dan manfaat yang boleh dilakukan. Cuba lihat anak muda bukan Islam yang bijak menghitung masa sebab itu mereka hidup senang dan berjaya dalam kerjaya diceburi. Jarang kedengaran mereka terjebak dengan angkara hidup songsang.

Inilah perlu dipelajari, seterusnya diikuti generasi muda Islam. Fikirkanlah kehidupan pada masa depan. Bacalah episod kehidupan untuk apa kita dihidupkan di dunia ini.

Apakah manfaat belia Islam terus hanyut dengan budaya hidup yang salah dari sisi undang-undang, apatah lagi ajaran agama.

Kalau nak diikutkan, dalam konteks kehidupan di Malaysia, anak muda Islam disediakan pelbagai kemudahan dan peluang untuk membina kehidupan melalui bidang dan minat yang mereka ada.

Melalui agensi dan kementerian berkaitan, kerajaan terus menyalurkan pelbagai kemudahan, selain bantuan kewangan dalam usaha melihat pemuda Islam terus maju, seiring dengan perkembangan hidup dunia semasa.

Mereka mesti bersedia merebut segala peluang yang disediakan itu. Sahut cabaran diberikan untuk diri berusaha dan terus bekerja, dalam membina kehidupan hebat dan cemerlang pada masa yang akan datang.

Ironinya jika pemuda Islam terus alpa dan bodoh sombong, mereka sengaja menempah kehidupan merugikan. Mereka jelas tidak bijaksana dalam mengurus kehidupan harian. Sedang, pelbagai pihak terus berganding bahu untuk melihat mereka berjaya dan bahagia.

Mereka harus celik minda dan mata. Lihatlah harapan emak dan ayah yang mahukan mereka hidup seperti selayaknya. Tidak ada emak dan ayah yang mahu melihat anak kecundang dalam hidup ini.

Bacalah riwayat perjuangan manusia yang berjaya dalam kehidupan. Tidak mudah untuk mereka merangka segala yang dihajatkan. Semua memerlukan pengorbanan dan perjuangan yang bukan sedikit.

Kata orang bijak pandai, orang yang bijaksana dalam hidup ialah yang menghargai kehidupan dalam erti kata sebenar dan tidak melepaskan segala peluang yang di depan mata.

Umat dan remaja Islam perlu belajar daripada kehidupan nyata. Timba ilmu sebanyak mungkin, selain melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran, demi kelangsungan hidup pada masa akan datang.

Nabi Muhammad SAW berpesan: “Tuntutlah ilmu walau sehingga ke negeri China.” Makna di sebalik pesanan itu ialah menuntut kita terus aktif dalam proses mencari ilmu. Selagi hayat di kandung badan, ilmu dunia dan akhirat terus dicari dengan minat yang mendalam dan penuh keikhlasan. Semuanya dilakukan dalam usaha agar kehidupan kita terus selamat dan gemilang untuk jangka waktu panjang.

Umat Islam harus bangun daripada tidur yang panjang. Belajar daripada perjuangan hidup umat Islam zaman silam. Mereka menempa kegemilangan, kerana ada usaha dan kegigihan untuk menuju ke arah itu.

Jangan buang masa dan hargai kehidupan dengan kesedaran dalam diri. Nescaya diri akan menang dan terus menang dalam apa hajat yang dicita-citakan. Janji Allah amat pasti dan Allah ada berfirman yang maksudnya: “Tidak akan aku ubah nasib sesuatu umat, kecuali umat itu mengubahnya sendiri.”

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)