• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Bencana Alam Kafarah Bagi Orang Beriman

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

TUNTUTAN solat berjemaah antara amalan fardu kifayah untuk kebaikan masyarakat keseluruhannya.

Manusia sentiasa diuji pelbagai dugaan untuk beri kesedaran elak kemungkaran

APAKAH gempa bumi melanda Sumatera Barat, Indonesia minggu lalu balasan Allah SWT kepada penduduk Padang atau bumi Minangkabau yang semakin jauh menyimpang daripada jalan dibawa Nabi Muhammad SAW seperti didakwa seorang wanita di pekarangan Masjid Raya Ganting, Padang, baru-baru ini?

Wanita bertudung labuh dalam lingkungan 30-an yang ditemui wartawan Berita Harian, Mohd Ifwan Tun Tuah yang membuat liputan di bandar malang berkenaan berpendapat, musibah itu adalah peringatan Allah SWT supaya penduduk di Padang dan bumi Minangkabau insaf dan kembali ke jalan-Nya.

Penceramah bebas, Zahazan Mohamed, berkata musibah atau tragedi seperti banjir besar, gempa bumi serta bencana alam lain yang berlaku memang ada sebab musababnya dan semua dapat difahami dengan mengkaji ayat Allah SWT yang menjelaskan kejadian berlaku itu.

Katanya, dalam konteks gempa bumi di Sumatera Barat yang mengakibatkan kemusnahan teruk kebanyakan berlaku di Padang, kota pentadbiran wilayah itu dan ia perlu dilihat sebagai ujian didatangkan sebagai azab bagi yang kufur dan musibah kepada golongan beriman.

Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (terhadap musuh), kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Sampaikan berita gembira kepada orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah: 155)

"Allah SWT memberitahu manusia akan diuji dengan pelbagai cara dan ini sedang dilalui masyarakat di Sumatera Barat yang kehilangan keluarga, tempat tinggal dan punca pendapatan. Bagi mereka yang sabar dengan ujian Allah SWT ini, ada ganjaran menanti mereka," katanya.





Zahazan berkata, tanggapan bahawa mereka yang ditimpa bencana disebabkan tindakan tidak mengamalkan suruhan Allah SWT atau melakukan kejahatan perlu diperbaiki kerana bukan semua yang menerima nasib malang itu berdosa.

Sebaliknya, ia adalah fitrah dijanjikan Allah SWT termasuk dalam bentuk bencana alam yang didatangkan tanpa pengecualian kepada sesiapa pun sama ada yang melakukan kemungkaran atau beriman dengan suruhan Allah SWT.

Justeru, katanya, apabila berlaku bencana dan tragedi di sesuatu kawasan atau terhadap sekumpulan masyarakat, tidak wajar timbul tanggapan negatif pihak lain terhadap mereka yang ditimpa musibah itu.

"Manusia ini ada dua, satu yang kufur dan satu lagi beriman. Apabila satu kawasan dilanda bencana kita tidak boleh katakan semua masyarakatnya melakukan kejahatan dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

"Bagi yang kufur, memang ia azab Allah SWT di dunia ini dan mereka tidak akan terlepas di akhirat tetapi yang beriman, ini adalah musibah mereka terima di dunia dan terlepas di akhirat. Jadi jangan ada pandangan negatif jika berlaku azab di satu-satu tempat," katanya.

Beliau berkata, Firaun yang ditenggelamkan Allah SWT di tengah Laut Merah adalah azab yang Allah SWT turunkan atas kekufuran pemerintah zalim itu dan untuk menghapuskannya dari dunia ini tetapi bagi umat yang beriman serta sabar dengan ujian, musibah yang didatangkan sebagai kafarah untuk dosa mereka.

Hakikat itu boleh difahami daripada firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahulilah bahawa Allah Maha Berat azab-Nya." (Surah Al-Anfal: 25)

Katanya, tiga kategori manusia yang akan dibangkitkan di akhirat iaitu mereka yang melakukan maksiat, degil serta ingkar perintah Allah SWT yang mendapat dua kali pembalasan azab iaitu di dunia dan di akhirat.

Kedua, orang baik dan membiarkan kejahatan berlaku yang akan dibalas di dunia serta akhirat kerana tidak menjalankan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan, melarang perbuatan mungkar.

Ketiga ialah orang salih yang melakukan amal ibadat dengan tekun tetapi berdepan musibah di dunia dan mereka ini akan mendapat pelepasan di akhirat kerana kesabaran menerima ujian Allah SWT ketika di dunia.

Zahazan berkata, sebaiknya bencana yang berlaku menjadi peringatan serta memberi kesedaran terutama kepada mereka yang belum diuji untuk mengelak daripada melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan kerosakan.

Katanya, tidak dinafikan kejadian yang berlaku juga adalah amaran Allah SWT terhadap sikap manusia yang suka melakukan pelbagai kerosakan di darat dan laut tanpa memikirkan kesannya pada kemudian hari nanti.

"Sekarang kita tidak ada Nabi yang boleh beritahu bila azab Allah SWT akan datang. Macam dulu contohnya, Nabi Lut sudah beritahu kaumnya mengenai amaran Allah dan apa yang berlaku selepas itu adalah benar.

"Oleh itu, apa yang berlaku kepada saudara kita di Sumatera Barat hendaklah menjadi pengajaran bukan saja kepada masyarakat di sana malah kita juga kita di tempat lain, kerana kita tidak tahu bila Allah SWT akan mendatangkan azab-Nya," katanya.


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)