• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Berguru, Rujuk Ulama Elak Ayat Al-quran Disalah Tafsir

Soal Jawab Agama: Berguru, rujuk ulama elak ayat al-Quran disalah tafsir
Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh
zaman@nstp.com.my

Soalan:

KINI ada pelbagai tafsiran ayat al-Quran yang mengelirukan. Apakah sebab perkara ini berlaku? Bagaimana cara mengelakkan diri daripada fahaman salah ini. Apakah benar Yahudi dan Nasrani juga akan masuk syurga kerana agama mereka berasal daripada Allah? Kamaruddin Shahab Jawapan:

ALLAH mengurniakan mukjizat yang kekal kepada Nabi Muhammad iaitu al-Quran. Oleh demikian, Allah memberi jaminan kitab itu terpelihara daripada tangan khianat terhadap ayat dan tafsiran di dalamnya. Firman Allah: “Sesungguhnya kami yang menurunkan al-Quran dan kamilah yang akan memeliharanya.” (Al-Hijr: 9).

Ia jelas menunjukkan ayat dan makna al-Quran tetap terpelihara sehingga hari kiamat. Al-Quran terpelihara kerana ia kitab terakhir diturunkan kepada nabi terakhir. Allah memberi jaminan ia tidak dapat diubah kerana jika al-Quran diseleweng maka tiada lagi nabi yang akan datang membetulkan penyelewengan ini.

Namun, ada manusia yang bersifat hasad dan iri hati mentafsirkan al-Quran menurut hawa nafsu mereka sendiri. Firman Allah: “Adapun mereka yang hatinya condong kepada kesesatan, mereka mengikuti ayat-ayat yang samar (mutasyabihat) dalam al-Quran dengan andaian yang membawa kepada fitnah kerana maksud ayat tidak diketahui melainkan Allah. Dan orang yang berilmu berkata kami beriman dengan apa yang diturunkan Allah.” (Al-Imran: 7).
Ini menunjukkan ulama saja diberi kefahaman menguasai ilmu. Hanya mereka mempunyai autoriti untuk mentafsir al-Quran berdasarkan ilmu asas tafsir yang dimiliki mereka.

Berkenaan ayat yang saudara sebutkan tadi ada pada ayat yang bermaksud : “Sesungguhnya orang beriman, orang Yahudi dan Nasrani dan golongan yang hidup terdahulu (sebelum Nabi SAW) yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan beramal salih akan mendapat ganjaran dari Allah SWT.” (Al-Baqarah: 62)

Dalam ayat lain juga, Allah berfirman: “Sesiapa yang tidak menganut Islam sebagai agama, maka anutan mereka adalah tertolak dan mereka adalah golongan yang rugi”. (Al-Imran: 85)

Allah menjelaskan hal ini dalam ayat yang nyata bahawa Yahudi dan Nasrani yang tidak beriman dengan Nabi Muhammad termasuk golongan sesat.

Ayat itu menunjukkan Yahudi yang beriman dengan Nabi Musa dan mengamalkan Taurat yang diturunkan serta percaya hari akhirat saja akan masuk syurga. Begitu juga Nasrani yang beriman dengan Isa dan Injil yang sebenar.

Firman Allah: “Kufurlah mereka yang mengatakan bahawa Isa adalah Tuhan.” dan satu lagi firman-Nya: “Sesungguhnya kufurlah mereka yang mendakwa bahawa Allah itu tiga di dalam satu”. (Maidah: 72 dan 73)

Antara contoh tafsiran yang menyimpang ialah :


Firman Allah: “Dia (Allah) mengalirkan dua laut dan keduanya bertemu”. (Surah Maryam 19). Maksud dua laut di sini ialah Saidina Ali dan Fatimah.


Firman Allah: “Pergilah kamu (Musa) kepada Firaun sesungguhnya dia adalah manusia yang ingkar.” (Taha: 24). Maksud Firaun ialah hati manusia.


Firman Allah: “Maka nikahilah perempuan yang kamu senangi dua, tiga atau empat.” (Surah Nisa’ ayat 3). Maksudnya perkahwinan bermula dari dua. Ada yang mencampurkan 2+3+4 = 9 isteri.

Oleh itu, berguru atau merujuk kepada ulama muktabar adalah cara mengelak daripada terjebak dalam kancah fahaman salah terhadap ayat Allah dan tafsiran melampau. Belajar bersendirian tanpa bimbingan guru adalah diragui. Mungkin pendapat ini ada kebenarannya. “Sesiapa yang tidak mempunyai guru, maka gurunya ialah syaitan”. Kecuali mempunyai asas ilmu yang kuat untuk berbuat demikian.

Penulis ialah Eksekutif di Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi melalui e-mel zaman@nstp.com.my

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)