• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Berlumba buat kebaikan

BANYAK ayat al-Quran yang menyeru manusia melakukan kebaikan dan berlumba-lumba ke arahnya, kerana dengannya akan membawa kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan.

"Wahai orang yang beriman, rukuk serta sujudlah (mengerjakan solat) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat." (al-Haj:77)


Bukan saja manusia umum, malah nabi dan rasul yang diutuskan juga diperintahkan supaya melakukan kebaikan, seperti yang dapat dilihat pada ayat 73, surah al-Anbiya, antara lain bermaksud: "Dan kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan..."

Mereka yang segera melakukan kebaikan dan sentiasa mengutamakannya mendapat pujian, bukan hanya sesama manusia, bahkan dari Allah, yang turut menjanjikan ganjaran tidak terhingga.

Kebaikan yang digesa oleh Allah merangkumi segala amalan yang baik. Mentaati Allah adalah kebaikan, beriman kepada Allah adalah kebaikan, mengamalkan sifat kemuliaan adalah kebaikan serta keikhlasan niat dan amalan adalah kebaikan.

Melakukan kebajikan sesama manusia adalah kebaikan, bicara baik yang keluar dari mulut juga kebaikan dan usaha untuk meningkatkan taraf hidup dan masyarakat adalah kebaikan.

Tabiat semulajadi manusia yang bersih menuju kepada kebaikan. Semua manusia suka kepada kebaikan dan tertarik kepadanya, termasuk mereka yang kerap melakukan kesalahan, terpendam kebaikan di dalam nalurinya.

Kebaikan mempunyai takrifan yang luas dan ukuran tersendiri berdasarkan subjek. Selalunya ia mengikut pertimbangan akal, dengan pengaruh adat dan budaya masyarakat.

Disebabkan itu juga kadangkala sesuatu yang baik bagi sebuah masyarakat, dianggap sebaliknya bagi masyarakat lain.

Acap kali dalam menilai kebaikan, manusia dilanda kebuntuan, sehingga tidak mampu dirungkai kecerdikan akalnya, membuatkan sistem hidup mereka kucar-kacir dan tiada keseimbangan.

Justeru itu, al-Quran dan sunnah menjadi rujukan dan petunjuk dalam menilai kebaikan yang luas itu, malah memperincikan lagi bagi memberikan kefahaman kepada manusia.

Kebaikan akan menjadi hambar jika tiada pedoman, galakan dan ganjaran.

Justeru itu, kebanyakan mereka yang menganuti ideologi bertentangan dengan Islam merasakan tidak kisah dengan kebaikan.

Al-Quran menegaskan mereka yang berbuat kebaikan walaupun seberat zarah akan dilihatnya, sebagaimana dijelaskan melalui surah al-Zalzalah.

Dalam kitab al-Muwatta' diriwayatkan satu hadis bermaksud: "Seorang miskin telah meminta makanan dari Aishah r.a dan di hadapannya ada beberapa biji anggur, lalu Aishah berkata kepada seseorang: Ambil sebutir dan berikan kepadanya! Orang yang disuruh itu hanya memerhatikan sebutir anggur terbabit kerana kehairanan. Maka Aisyah pun berkata: Apakah engkau hairan! Berapa bezanya antara sebiji ini dengan sebesar zarah."

Setiap amalan baik yang dihulurkan kepada manusia, bahkan kepada haiwan makhluk lain yang hidup di muka bumi ini, sekalipun kecil adalah diredai Allah.

Melemparkan wajah yang manis, senyum bila bertemu, membuang sesuatu yang berbahaya di jalanan dan memulakan langkah ke masjid adalah kebaikan.

"Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia dari kejahatannya. Bahagialah orang yang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebajikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan dari kata-katanya." (Hadis riwayat Tabrani)

Kebaikan tidak semudah dikata, malah bagi sesetengah orang sukar untuk melaksanakannya. Oleh itu, usaha ke arah kebaikan perlu kepada latihan dan kebiasaan sehingga ia sebati dan mesra dengan hati.

Melatih dan membiasakan amalan baik sejak kecil, seperti dilakukan guru terhadap kanak-kanak di pusat asuhan dan sekolah kini adalah asas terpuji dan baik untuk pembentukan akhlak yang mulia.

Islam menyuruh kita supaya mendidik anak dengan keperibadian Muslim yang mulia, membiasakannya dari kecil supaya mengamalkannya apabila meningkat remaja.

Kebaikan adalah medan akhlak Islam dan seperti dikatakan daerahnya cukup luas, tetapi melalui wahyu ia dijelaskan secara terperinci.

Oleh kerana keluasan dan perinciannya, ia tidak perlu kepada suatu pengertian khusus, kerana pengertian seperti itu akan mengundang kedangkalan dalam menilai kebaikan.

Semua orang mampu melakarkan potret kebaikan, tetapi tidak semestinya ia mencerminkan kebaikan sebenar, yang unggul dan bersifat universal, sekiranya tidak mendasarkannya dengan manhaj Ilahi.

Waktu cepat berlalu kerana matahari dan bulan tidak bersifat menunggu. Justeru, usaha dan tindakan kebaikan sewajarnya tidak ditunggu, malah patut berlumba-lumba untuk melakukannya.

Jika lalai dari mengisi hidup dengan amalan baik lagi terpuji, seseorang mendedahkan dirinya kepada kerugian dalam usia dan masa hidupnya yang tidak akan dapat ditebus kembali.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (al-Asr:1-3)

Mungkin banyak rintangan yang menghalangi manusia daripada melakukan kebaikan dan tetap dengan kebaikan. Bahkan, banyak godaan dan fitnah yang menyekat kebaikan, sehingga manusia tertipu dan tertewas.

Justeru, menjadi kewajipan bagi seseorang mengatasi halangan terbabit sebaik saja tersedar, mempunyai waktu terluang dan suasana yang mengizinkan.

Rasulullah menegaskan: "Bersegera kepada amal soleh kerana akan berlaku fitnah seperti di waktu malam yang gelap gelita, yang mana seorang itu beriman pada waktu pagi dan akan kafir pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan akan kafir pada waktu paginya, menjualkan agamanya dengan kebendaan dunia yang tidak berharga." (Hadis riwayat at-Turmudzi)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)