• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Berusaha Bahagiakan Rumah Tangga

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

MENGHAYATI ayat al-Quran di atas menyerlahkan tanggungjawab suami dan isteri dalam kehidupan berumah tangga. Pastinya, setiap pasangan yang berkahwin mengimpikan kehidupan yang sejahtera, tenang dan bahagia.

Bagaimanapun, untuk mencapai tahap kebahagiaan itu memerlukan kepada ilmu rumah tangga. Ia pula amat berkait dengan kefahaman keagamaan yang ada pada pasangan suami isteri.

Sebabnya, antara langkah awal menentukan kebahagiaan berumah tangga adalah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW dalam bab memilih pasangan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Wanita dinikahi kerana empat faktor: hartanya, kedudukannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu pilih wanita yang bagus agamanya (keislamannya), agar dirimu selamat. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati perkahwinan dalam tempoh 10 tahun pertama amat terdedah kepada keruntuhan rumah tangga sekiranya tiada kesabaran.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha berkata, kajian Jakim pada 2008 itu mendapati, pada tempoh berkenaan perkahwinan menghadapi cabaran hebat seperti rumah tangga mudah goyah sehingga berlakunya perceraian.

Dalam pada itu, katanya, dalam kajian pada 2007 pula mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian.

Selain itu, 27.7 peratus perceraian berlaku untuk tempoh enam hingga 10 tahun pertama perkahwinan.

"Kajian juga menunjukkan 44.9 peratus perceraian berpunca daripada pasangan gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing selain masalah akhlak, kewangan, seksual dan campur tangan orang ketiga," kata Othman.

Oleh itu, penting untuk kita meletakkan matlamat utama perkahwinan adalah mencari reda Allah, insya-Allah rumah tangga akan selamat dan bahagia ke akhir hayat.

Demikian ditegaskan oleh pendakwah bebas yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria dalam Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk 'Memperkasa Institusi Keluarga' di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Ia adalah anjuran bersama Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor dan Masjid An-Nur.

Seorang lagi ahli panel ialah Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Negeri Selangor, Aluwi Parman.

Ia dipengerusikan oleh Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk, Bahagian Undang-undang Keluarga JAIS, Zainal Abidin Yusof.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Selangor, Hashim Muhamad dan Nazir Masjid An-Nur, Harun Abd. Rahman.

Kamaruddin berkata, satu lagi perkara penting dalam mengekalkan kerukunan rumah tangga adalah cara berkomunikasi suami isteri.

Beliau berkata, suami perlu bijak mengurus rumah tangga agar berupaya memimpin isteri dan anak-anak mendapat ketenangan dan kegembiraan.

Menurutnya, sesuai dengan ayat Allah yang suami itu pemimpin, mereka perlulah membuktikan 'kepemimpinan' dalam rumah tangga.

"Untuk itu, paling kurang seminggu sekali suami kena jadi imam di rumah. Jangan pula dah kahwin 20 tahun tetapi tak pernah sekali pun mengimamkan solat dengan keluarga.

"Tidak kisahlah kalau setiap kali solat baca surah al-Kauthar dan al-Ikhlas asalkan sekurang-kurangnya mampu mengimamkan isteri dan anak-anak.

"Apabila suami mencapai tahap begini, barulah isteri dan anak-anak lebih hormat. Anak-anak pun turut bangga kerana bapa mereka boleh jadi imam," katanya.

Sementara itu, Aluwi berkata, Nabi SAW telah memberi panduan bagaimana mengikat kasih sayang dan mencapai bahagia dalam rumah tangga.

Antaranya, suami isteri hendaklah solat berjemaah sekurang-kurangnya satu waktu dalam sehari semalam.

"Suami juga hendaklah makan makanan yang dimasak oleh isteri selain suami isteri selalu tidur bersama," jelasnya.

Menurut Aluwi lagi, antara tanda rumah tangga bahagia adalah mempunyai isteri atau suami yang soleh.

Isteri yang soleh kata beliau, adalah apabila dipandang, suaminya rasa terhibur dan hilang penat, kalau disuruh dia taat dan apabila ditinggalkan musafir oleh suami, dia menjaga kehormatannya.

"Tanda-tanda lain adalah mempunyai anak-anak yang baik dan mempunyai rakan-rakan yang terdiri daripada golongan yang baik-baik akhlaknya," tambah beliau.

Forum yang julung kali diadakan itu dihadiri oleh lebih 800 orang terdiri daripada anak-anak kariah Masjid An-Nur dan juga taman berdekatan.

Kepetahan berhujah ahli-ahli panel yang diselang seli dengan contoh kes-kes sebenar dan lawak jenaka menyebabkan para hadirin tidak kering gusi dan 'melekat' daripada awal hingga majlis tamat pada kira-kira pukul 11 malam.

Sebelum forum diadakan, para hadirin dihiburkan dengan alunan lagu-lagu nasyid dan zikir oleh Amaluddin Mohd. Napiah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amal.

Sebagai memeriahkan lagi majlis, penduduk bergotong-royong memasak untuk sajian makan malam kepada 1,000 tetamu.

Turut diadakan adalah majlis akikah seekor lembu dan dua ekor kambing sebagai menu utama makan malam.

Kerja-kerja memasak bermula seawal pukul 8 pagi dan selesai pada kira-kira pukul 2 petang.

Dalam pada itu, Harun merakamkan penghargaan kepada anak-anak kariah dan tetamu yang sudi melapangkan masa menghadiri forum tersebut.

"Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat menjayakan forum ini.

"Dengan kehadiran yang begini ramai, insya-Allah kita akan mengatur lain-lain program seumpamanya di masa depan," jelas beliau.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)