• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Bicara Buat Yang Menang Dalam Merebut Jawatan

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Mufti Negeri Perlis)

SEPERTI biasa, setiap pagi Sabtu selepas solat subuh dan memohon kekuatan daripada Allah, saya akan menghadap komputer untuk menulis Pena Mufti bagi keluaran setiap hari Ahad. Sabtu pada waktu artikel ini ditulis (semalam) saya begitu mengejar waktu.

Maklumlah hari Pilihan Raya Umum Ke-12 negara kita. Tempat mengundi saya pula di Seberang Perai, bukan di Perlis. Selepas tulisan ini disiapkan, saya bergegas ke sana, untuk memilih calon yang paling berkualiti dari sudut kemampuan kepimpinan dan nilai peribadinya. Itulah pegangan saya. Bukan pakaian; serban atau songkok, atau jenis kereta; murah atau mahal, atau gaya; berjenama atau biasa dan seumpamanya.

Itu semua bukan penentu kemampuan seseorang memimpin dan menyampaikan hasrat rakyat. Sebaliknya, kualiti calon itulah yang patut dilihat. Jika semua kita berfikir sebegini, saya percaya lima tahun lagi, tidak ada siapa pun yang berani tampil dengan selamba menawarkan diri, atau ditawarkan oleh partinya sedangkan dia amat tidak berkualiti. Rakyat hanya akan memilih yang terbaik.

Hanya begini sahaja, fikiran kita akan maju dan menjadikan masyarakat kita matang dan terus membangun ke hadapan. Ini sikap Ulul Albab yang kita sebutkan dahulu. Firman Allah: (maksudnya) ...oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang disampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul albab (al-Zumar: 17-18).

Ketika tulisan ini ditulis, saya belum tahu apakah keputusan pilihan raya kali ini. Siapakah yang menang, siapa pula yang tewas? Siapakah yang kecewa, siapa pula yang bahagia? Sudah pasti pada saat artikel ini dibaca, keputusan sudah diketahui oleh rakyat. Apa pun, saya ingin mengingatkan kepada yang menang beberapa perkara dalam tulisan ini. Secara khusus bagi parti dan para wakil rakyat baru di kalangan kaum muslimin:

Saudara, ketahuilah, bahawa kemenangan dalam memperoleh jawatan bukanlah suatu perkara untuk dibangga-banggakan. Ia mesti diterima dengan kerendahan diri kepada Allah, syukur dan memohon pertolongan daripada-Nya. Jawatan yang anda peroleh bukanlah harta rampasan perang, atau lubuk emas yang dirayakan. Ia adalah ujian dan amanah Allah untuk melihat sejauh manakah anda mampu melaksanakannya. Pada hari akhirat terlalu beban dan berat tanggungannya. Ingatlah baik-baik apa yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w.: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya (riwayat al-Bukhari).

Hanya mereka yang melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab yang akan terlepas daripada penyesalan itu. Pada hari ini ramai yang bersorak-sorai buat meraikan anda, namun pada hari kiamat nanti suara-suara itu sudah tidak kedengaran lagi. Anda dan semua manusia akan mendatangi Allah dengan membawa diri masing-masing. Tanpa pengawal, tanpa pengikut, tanpa pengampu. Firman Allah: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu dakwa bahawa mereka ialah sekutu-sekutu (bagi Allah) dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu dakwa (surah al-An‘am: 94).

Sejarah Islam

Ketahuilah saudara, telah menang Rasulullah dalam pembukaan Kota Mekah, satu kemenangan yang amat penting dalam sejarah Islam. Mekah adalah pusat ibadah peninggalan Nabi Ibrahim. Padanya ada Masjidilharam dan Kaabah. Dari sudut perasaan pula, ianya adalah tempat lahir Nabi s.a.w. tanah air baginda yang dicintai. Baginda tidak keluar daripadanya, melainkan setelah diburu dan dianiayai oleh penduduknya yang terdiri daripada pembesar Quraisy yang sombong dan zalim. Pembukaan Mekah amatlah jauh lebih utama dan agung untuk dibandingkan dengan kemenangan pilihan raya sesiapa sahaja, termasuklah saudara.

Kegembiraan jiwa umat Islam dapat menawan Mekah tidaklah dapat dibayangkan oleh sebarang kalimat bicara dengan apa bahasa mahupun pena. Namun, baginda telah memasuki Mekah semasa kemenangan tersebut dengan merendah diri kepada Allah, membaca surah dalam keadaan yang tenang dan lunak. Kata ‘Abd Allah bin al-Mughaffal mencerita keadaan Nabi s.a.w. ketika masuk ke Mekah semasa pembukaannya: Aku melihat Nabi s.a.w. membaca surah al-Fath, atau ayat-ayat dari surah al-Fath ketika baginda di atas untanya yang sedang berjalan dengan bacaan yang lembut dan baginda (tarji’) mengalun bacaannya (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sambutlah kejayaan anda dengan penuh tawaduk dan merendah diri kepada Allah. Takutlah akan ujian-Nya itu. Bimbanglah jika anda tidak menepati kehendak-Nya. Janganlah anda berpesta sehingga lupa hakikat kepimpinan adalah amanah, bukan ghanimah atau harta rampasan perang. Hanya tabiat orang Qarun yang bermegah dengan kejayaan sehingga melupakan nikmat Allah.

Allah menceritakan tentang ucapan Qarun yang penuh kesombongan, firman Allah: (maksudnya) Qarun berkata: “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan kepandaian yang ada padaku. Tidakkah dia (Qarun) mengetahui bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, umat-umat yang telah lalu, mereka itu yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? dan (ingatlah) orang-

orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya). Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik.” Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerimanya melainkan mereka yang sabar. (Surah al-Qasas: 78-80).

Jangan berlagak sombong dengan kejayaan. Sesungguhnya rakyat tidak mengharapkan kesombongan dan ketakburan. Mereka mengharapkan pembelaan dan sifat yang amanah dalam pengurusan negara dan kepimpinan. Seorang muslim patut merenung ucapan insan yang terbaik selepas Rasulullah, iaitu Abu Bakr al-Siddiq. Khalifah selepas Rasulullah. Insan paling layak untuk menjawat jawatan tersebut. Namun beginilah ucapan pertamanya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku.” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Sedarlah saudara para pemimpin yang baru sahaja mendapat mandat! Kita semua tidak lebih baik daripada Abu Bakr. Jika beliau insan terbaik yang dipuji oleh Allah dan Rasul – bukan sekadar pujian rakyat atau pemimpin parti – menyatakan: “sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku,” apakah saudara ingin mendakwa lebih daripada itu?

Saudara, ya! seperti kata Abu Bakr: “Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.” Jika saudara menunai janji, tidak munafik dalam ucapan dan sikap maka saudara seorang yang bercakap benar. Justeru itu saudara seorang yang amanah. Jika saudara tidak jujur, tidak menepati janji dan manifesto, bersikap hipokrit maka saudara telah berbohong kepada rakyat. Justeru itu saudara adalah seorang pengkhianat.

Matlamat

Saudara, lihatlah kejelasan matlamat seorang pemimpin seperti yang diucapkan oleh Abu Bakr: “Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak, insya-Allah.”

Itulah tanggungjawab pemimpin, mempertahankan hak rakyat. Sehingga yang lemah dan miskin terbela dan tidak ditindas. Sementara yang kuat, tidak boleh bermaharajalela dengan kekuatan harta dan kuasanya. Namun jika saudara hanya didampingi para tauke dan pembodek yang kaya-raya, sehingga melupai rakyat jelata, maka saudara lupa hakikat kepimpinan. Jika pemimpin hanya menguatkan yang kuat dan menindas yang lemah, maka itu bukanlah pemimpin rakyat. Jika terpilih sedangkan dia demikian rupa dan cara, maka – maaf untuk ungkapkan – seorang kaki buli, atau kepala gengster atau seorang samseng telah dipilih. Pastikan anda tidak sedemikian. Pemimpin tidak dikenang kerana banyak membela tauke, tetapi akan dikenang kerana banyak membela mereka yang ditindas dan lemah.

Saudara, lihatlah kejujuran dalam ungkapan khalifah agung ini: “Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku.” Jika anda kecewa rakyat anda tidak taatkan saudara, terlebih dahulu sedarlah bahawa anda lebih buruk dari rakyat anda jika anda tidak mentaati Allah Pencipta dan Tuhan anda, bukan sekadar seorang wakil rakyat.

Maka fahami hukum-hakam Allah supaya anda tahu bagaimana hendak mentaati-Nya. Kata ‘Umar bin al-Khattab: “Fahamilah benar-benar ilmu, sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin.” (Riwayat al-Bukhari).

Ingatlah bahawa arahan Allah kepada rakyat: (maksudnya) Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya (surah al-Nisa’ 59) ayat ini datang selepas Allah memerintah pemimpin pada ayat sebelumnya iaitu firman Allah (maksudnya): Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaikbaiknya kepadamu.

Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat. (Surah al-Nisa: 58). Maka pemimpinlah yang terlebih dahulu diwajibkan melakukan keadilan dan menunaikan amanah, kemudian barulah rakyat akan taat. Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib bahawa beliau menyebut: “Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah).” (Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).

Saudara, semoga Allah merahmati kepimpinan anda serta diberikan bimbingan ke jalan-Nya yang penuh adil dan saksama. Dahulu ada sarjana menyebut: “Jika aku mempunyai hanya satu peluang doa yang makbul, nescaya aku doakan kepada pemimpin agar adil, kerana keadilan mereka kebaikan untuk semua.” Saya dan rakyat anda yang lain juga demikian. Selamat bertugas sebagai wakil dan pemimpin rakyat. Anda akan memimpin kami di dunia ini. Akhirat nanti Allah akan bertanya kami mengenai anda semua. Seperti hari ini kami diberi peluang untuk mengundi anda, berilah juga kami peluang untuk menjawab yang terbaik mengenai anda pada hari kiamat kelak. Kami tidak ingin mendakwa anda di sana nanti, maka adillah kepada kami di dunia ini.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)