• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Bila Masyarakat Rosak

Kalau satu generasi itu, apabila lahir sahaja di satu zaman, membesar di zaman itu dan melihat masyarakatnya sudah terlalu kusut di semua aspek, semua golongan sudah rosak, yakni sebagai contoh, sudah wujud krisis, pepecahan, jatuh menjatuhkan, sudah wujud pendedahan aurat, dadah, sumbang muhram, jenayah yang berbagai bentuk, pergaduhan, perkelahian dan peperangan di mana-mana, biasanya generasi yang hidup di waktu itu, secara umumnya, sudah tidak pandai menilai lagi penyakit masyarakat itu dari mana datangnya, dari mana sumbernya, siapa yang membawanya dan bila ia mula berlaku. Ini antara fikiran umum waktu itu. Biasanya generasi ini, kalau lahir sahaja, sudah begitu rupa masyarakatnya, maka setidak-tidaknya ada 3 kategori masyarakat dalam menilai dan berhadapan dengan situasi masa itu.

1. Golongan yang tidak susah hati dan boleh menerima keadaan itu

Golongan ini yang paling ramai. Mereka tidak susah hati dan boleh menerima keadaan. Seolah-olah apa yang berlaku itu sudah jadi satu budaya. Kalau orang hendak dedah aurat, dedahlah. Orang hendak bergaduh, bergaduhlah. Ikut sahaja apa yang dicorak oleh masyarakat. Kalau masyarakat penipu, dia pun tipu sama. Kalau masyarakat jahat, dia pun jahat sama. Kalau masyarakat khianat, dia pun khianat sama. Kalau masyarakat amalkan rasuah, dia pun rasuah sama. Begitu juga kalau masyarakat jatuh menjatuhkan, dia pun kalau berpeluang, buat juga. Sudah begitu keadaannya. Dia lahir sahaja, hidup masyarakat sudah begitu. Seolah-olahnya, budayanya sudah begitu. Ikut sahaja lah. Ini satu golongan. Bahkan golongan ini yang paling ramai.

2. Golongan yang rasa sedih berhadapan dengan situasi itu
Golongan ini tidak boleh terima apa yang sedang berlaku.

“Bukan begini masyarakat Islam. Masyarakat yang tidak ada harmoni dan kasih sayang. Menakutkan dan membimbangkan.” Ini golongan yang kedua. Golongan ini, walaupun tidak terpengaruh dengan suasana masyarakat tetapi tidak ada cita-cita hendak membaikinya. Kalau dia tidak tahan, dia carilah tempat-tempat yang dia agak boleh selamat. Dia memencilkan diri dan bawa diri. Kurang berada di tengah masyarakat. Ini golongan yang kedua. Golongan ini sangat sedikit.

3. Golongan yang tidak boleh menerima keadaan masyarakat, bercita-cita dan berusaha membaikinya

Golongan ini tidak boleh terima keadaan masyarakat yang begitu rupa. “Bukan begini yang dibuat oleh Rasulullah. Bukan begini berlaku di zaman salafussoleh. Bukan begini masyarakat yang Tuhan hendak.”

Datang satu cita-cita dan kemahuan yang kuat untuk baiki semula masyarakat Islam yang sudah rosak. Dia pun mencari kawan-kawan yang sealiran lalu menyatu padukan kawan-kawan yang seia sekata. Kemudian dia susun barisan perjuangan, datang ke tengah mastarakat, berdakwah, memberi ilmu dan pendidikan untuk pulihkan semula masyarakat yang sudah begitu kronik. Ini golongan yang paling sedikit. Ini golongan yang ada cita-cita. Biasanya, kalau masyarakat itu sudah di puncak kronik penyakitnya, orang yang ada cita-cita begini, mesti bermula dari seorang pemimpin yang yang mengumpul kawan-kawannya yang juga ada cita-cita, datang ke tengah masyarakat untuk membaiki semula masyarakat yang sudah rosak. Biasanya bila di kemuncak kejahatan, maka pemimpin yang Tuhan lahirkan itu, kalau waktu ada Rasul, maka Rasul-lah. Kalau waktu itu sudah tidak ada Rasul, maka pemimpin yang Tuhan lahirkan itu ialah mujadid. Mujadid datang 100 tahun sekali yakni di setiap awal kurun Hijrah.

Bila satu generasi itu melihat gambaran hidup yang saya telah katakan tadi, mereka yang sedar dan insaf, yang hendak membaik pulih semula masyarakat Islam yang telah rosak, dia mesti mengkaji, dari mana sumbernya penyakit ini, bila bermulanya dan siapa pencetusnya. Jadi pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan, pasti Tuhan beri dia faham. Di antara yang Tuhan fahamkan, ada dua sebab terbesar mengapa masyarakat itu jadi begitu, sudah begitu dirosakkan. Kebanyakan orang tidak tahu sumbernya. Pemimpin yang ditunjuk Tuhan itu, dia dapat melihat mengapa masyarakat itu jadi sampai begitu rupa. Pemimpin yang dipimpin oleh Tuhan, dia sempat melihat apa yang disebut oleh hadis yakni bila masyarakat itu sudah begitu rosak, ada dua sebab terbesar yakni ada dua golongan penting dan berpengaruh di tengah masyarakat sudah rosak iaitu ulama dan pemimpin.

Ini memang dijelaskan oleh hadis. Ada dua golongan manusia yang apabila mereka baik, maka baiklah masyarakat. Tetapi apabila dua golongan ini rosak, maka rosaklah masyarakat. Mereka ialah ulama dan pemimpin.

Golongan yang pertama adalah ulama.

Bila ulama sudah rosak, oleh kerana dia adalah contoh maka rosaklah rakyat. Ulama ibarat benteng masyarakat. Bila benteng rebah, masyarakat ikut rebah. Yang kedua adalah pemimpin. Pemimpin itu ada berbagai-bagai peringkat. Samada bertaraf negara, bertaraf bangsa, bertaraf etnik, bertaraf jemaah atau bertaraf puak, pokoknya dia pemimpin. Pemimpin itu adalah bayangan masyarakat. Pemimpin adalah orang yang disegani dan berpengaruh di kalangan masyarakat. Apabila dia rosak, mudah sahaja masyarakat rosak. Bila pemimpin semua peringkat sudah rosak, maka rosaklah masyarakat.

Dari sini baru kita faham, bila masyarakat itu rosak, puncanya bukan dari masyarakat tetapi ia adalah berpunca dari dua golongan ini iaitu ulama dan para-para pemimpin. Ini diberitahu oleh Tuhan melalui lidah Rasulullah SAW.

Hadis juga beritahu, sebab yang kedua mengapa berlakunya kerosakan masyarakat adalah kerana umat Islam ini sudah cinta dunia dan takut mati untuk Tuhan. Untuk dunia, umat Islam sanggup mati. Untuk pangkat, sanggup mati. Untuk duit dan untuk perempuan, sanggup mati. Tetapi untuk Tuhan, tidak. Jadi faktor kedua ialah cinta dunia dan takut mati.

Bila cinta dunia, ertinya tidak cinta Tuhan. bila cinta dunia, ertinya tidak takut Tuhan. Bila tidak takut dan tidak cinta Tuhan, ertinya jati diri umat Islam sudah roboh. Rohnya sudah kiamat. Sudah terdedah kepada segala maksiat. Bila tidak takut dan cinta Tuhan, seolah-olah hati itu sudah ternganga untuk menerima berbagai-bagai kejahatan. Bila begitu keadaannya, musuh ambil peluang. Yahudi ambil peluang setelah mereka faham jati diri umat Islam sudah tumbang. Maka Yahudi masukkan berbagai perkara negatif seperti bahan-bahan lucah, bahan-bahan yang boleh merosakkan akhlak, perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu jahat, sesuai dengan hati umat Islam yang sudah terdedah kepada kejahatan kerana tidak takut dan tidak cinta Tuhan lagi.

Orang Yahudi ambil perhatian. Orang Islam tidak ambil perhatian. Termasuklah para ulama. Orang yahudi menunggu. Dari masa ke masa dia baca umat Islam. Bila dia lihat umat Islam sudah cinta dunia dan takut mati kerana Tuhan, dari situlah dia masukkan berbagai perkara negatif untuk rosakkan iman, rosakkan akhlak, rosakkan nafsu dan perpaduan umat Islam. Akhirnya makan masa beratus tahun, maka terjadilah masyarakat sebagai mana yang saya gambarkan tadi. Bila satu generasi itu lahir-lahir sahaja sudah berada dalam masyarakat yang tidak sihat itu, mereka tidak tahu apakah puncanya.

Dengan kasih sayang Tuhan, Dia tidak biarkan keadaan itu berlama-lama. Maka Tuhan lahirkan seorang pemimpin.Begitulah yang disebut oleh Rasulullah. Sebab itu Rasulullah pesan, waktu ini kena cari walaupun terpaksa susah payah dan berkorban. Bila jumpa, wajib ditaati. Begitulah anjuran Allah melalui lidah Rasulullah SAW. Malangnya umat Islam lupakan pesanan hadis. Dia terpengaruh dengan pejuang-pejuang yang ada. Terpengaruh dengan politik, dengan militan, terpengaruh dengan ajaran-ajaran ekonomi yang ada hingga terlupa pesanan Allah melalui lidah RasulNya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)