• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Bilakah Nabi Menikahi Aisyah?

Soalan:
BarU-BARU ini saya terbaca kisah sirah dalam Utusan Malaysia yang memetik umur Saidatina Siti Aishah dikatakan enam tahun semasa berkahwin dengan Nabi SAW. Benarkah demikian kerana ada pandangan mengatakan umur itu terlalu muda dan dijadikan bahan oleh golongan kuffar membidas Nabi SAW?

Jawapan:

Sebahagian besar riwayat yang menceritakan hal ini terdapat dalam hadis di mana keseluruhannya hanya diriwayatkan oleh Hisham bin Urwah.

Asal periwayatan ini adalah daripada orang Iraq, di mana Hisham tinggal di sana dan pindah dari Madinah ke Iraq pada usia tua iaitu 71 tahun.

Menurut Ya’qub bin Syaibah: “Hisham seorang perawi yang dipercayai, riwayatnya dapat diterima, kecuali apa-apa yang dia ceritakan setelah dia berpindah ke Iraq”.

Dalam pernyataan yang lebih lanjut dinyatakan bahawa Malik bin Anas menolak riwayat Hisham yang dicatat daripada orang Iraq: “Saya pernah diberitahu bahawa Malik menolak riwayat Hisham yang dicatat dari orang-orang Iraq”. (Tahzib al-Tahzib, Ibn Hajar Al-Asqalani, Dar Ihya al-Turath al-Islami jil.2 hlm. 50).

“Ketika mencapai usia tua, ingatan Hisham semakin berkurangan”. (Mizan al-I’tidal, Al-Zahabi, Al-Maktabah al-Athriyyah, Pakistan, Jil. 4, hlm. 301).

Justeru, berdasarkan pernyataan dan sumber di atas, Hisyam mengalami masalah ingatan atau ingatannya kurang baik setelah dia berpindah ke Iraq dan periwayatannya diragui.

Sehingga riwayatnya mengenai umur pernikahan Aisyah adalah tidak tepat. Adapun pandangan mengatakan umur itu terlalu muda dan ia sebenarnya dijadikan bahan oleh golongan kuffar sebagai propaganda menjauhkan umat Islam kepada Rasulullah SAW.

Pertanyaan seperti ini akan mudah menipu bagi orang-orang yang awam mempercayainya. Sehingga, orang yang lemah imannya akan mudah goyah keimanannya dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW.

Dalam sejarah hidup Rasulullah disebutkan bahawa Aisyah dan Hafsah adalah puteri-puteri dua orang pembantu karibnya, Abu Bakar dan Umar.

Faktor inilah yang membuat Rasulullah memeterai ikatan dengan kedua-dua puteri Abu Bakar dan Umar.

Rasulullah meminang Aisyah melalui Abu Bakar tatkala Aisyah berusia sembilan tahun dan dibiarkannya selama dua tahun sebelum perkahwinan dilangsungkan (11 tahun).

Hal ini diperkuat lagi melalui perkahwinan Rasulullah dengan Hafsah binti Umar yang juga bukan kerana dorongan nafsu, dengan ayahnya sendiri sebagai saksi.

Peristiwa ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah mengahwini Aisyah atau mengahwini Hafsah bukan kerana cintanya atau kerana dorongan berahi, tetapi bertujuan memperkukuhkan tali persaudaraan Islam yang baru terbina dalam diri dua orang pembantu dekatnya (Abu Bakar dan Umar).

Justeru pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah mengahwini Aisyah pada umur enam tahun adalah pendapat yang tidak benar dan tidak tepat.

Menurut Tabari (juga menurut riwayat Hisham bin ‘Urwah, Ibn Hanbal and Ibn Saad), Aisyah dipinang pada usia tujuh tahun dan mulai berumah tangga pada usia sembilan tahun. Tetapi, di bahagian lain, Al-Tabari mengatakan: “Semua anak Abu Bakar (empat orang) dilahirkan pada zaman Jahiliah daripada dua isterinya”. (Tarikh al-Umam wa al-Mamluk, Al-Tabari jil. 4 hlm. 50, Dar al-fikr, Beirut, 1979).

Jika Aisyah dipinang 620M (Aisyah berumur tujuh tahun) dan berumah tangga tahun 623/624 M pada usia sembilan tahun, ini menunjukkan bahawa Aisyah dilahirkan pada tahun 613 M.

Berdasarkan tulisan Al-Tabari, Aisyah seharusnya dilahirkan pada 613M, iaitu tiga tahun sesudah zaman jahiliah (610M).

Al-Tabari juga menyatakan, Aisyah dilahirkan pada zaman jahiliah. Jika Aisyah dilahirkan pada zaman jahiliah, sewajarnya Aisyah berumur sekurang-kurangnya 14 tahun sewaktu dinikahkan. Tetapi al-Tabari turut mengalami pertentangan dalam riwayatannya.

Menurut Ibn Hajar: “Fatimah dilahirkan ketika Kaabah dibangunkan semula, ketika Nabi SAW berusia 35 tahun. Usia Fatimah lima tahun lebih tua daripada Aisyah”. (Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, Ibn Hajar al-Asqalani, jil.4,hlm. 377, Maktabat al-Riyadh al-Haditha: 1978).

Jika pendapat Ibn Hajar adalah yang tepat, Aisyah dilahirkan ketika Nabi berusia 40 tahun. Jika Aisyah dinikahkan oleh bapanya pada saat usia baginda 52 tahun, usia Fatimah sekurang-kurangnya 17 tahun, maka usia Aisyah ketika berkahwin adalah 12 tahun.

Melalui pernyataan Ibn Hajar, Tabari, Ibn Hisham, dan Ibn Hanbal menunjukkan riwayat mengatakan bahawa Aisyah berkahwin dengan Rasulullah ketika berusia enam tahun adalah tidak benar. Ia adalah fitnah dan tuduhan tidak berasas yang sengaja dilontarkan golongan yang hendak mengganggu-gugat kredibiliti Rasulullah sebagai insan terbaik pilihan Allah di dunia ini.

Menurut Abdul Rahman bin Abu al-Zinad: “Asma lebih tua 10 tahun berbanding Aisyah”. (Siyar A’lam al-Nubala, Al-Zahabi, Jil. 2, hlm. 289, Mu’assasat al-Risalah, Beirut, 1992).

Menurut Ibn Kathir: “Asma lebih tua 10 tahun daripada adiknya Aisyah”. (Al-Bidayah wa al-Nihayah, Ibn Kathir, Jil.8, hlm. 371,Dar al-Fikr al-Arabi, 1933).

Menurut Ibn Hajar Al-Asqalani: “Asma hidup sehingga usia 100 tahun dan meninggal pada 73 atau 74 H”. (Taqrib al-Tahzib, Ibn Hajar Al-Asqalani, hlm. 654, Bab Fi al-Nisa’, al-Harf al-Alif, Lucknow) Menurut sebahagian besar ahli sejarah, Asma, saudara tertua daripada Aisyah berbeza usia sebanyak 10 tahun. Jika Asma wafat pada usia 100 tahun pada tahun 73 H, Asma seharusnya berusia 27 atau 28 tahun ketika hijrah (622M).

Jika Asma berusia 27 atau 28 tahun ketika hijrah (ketika Aisyah berumah tangga), Aisyah seharusnya berusia 17 atau 18 tahun. Jadi, Aisyah, berusia 17 atau 18 tahun ketika hijrah pada tahun di mana Aisyah berkahwin. Berdasarkan pendapat Ibn Hajar, Ibn Katir, dan Abdul Rahman bin Abu al-Zinad, usia Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah adalah 19 atau 20 tahun.

Justeru, melalui pendapat ini juga menolak pendapat yang mengatakan bahawa Aisyah bernikah dengan Rasulullah ketika berusia enam tahun.

Kesimpulannya, riwayat (Hisham bin Urwah) yang mengatakan bahawa Aisyah berkahwin dengan Rasulullah ketika berusia enam tahun tidak benar dan bertentangan dengan riwayat-riwayat lain.

Selain itu, tiada alasan kuat untuk menerima riwayat Hisham bin Urwah sebagai riwayat yang boleh dipercayai kerana Hisyam mengalami masalah ingatan atau ingatannya kurang baik setelah dia berpindah ke Iraq dan periwayatannya diragui.

Seterusnya bertentangan dengan pernyataan-pernyataan ulama lain seperti yang telah dikemukakan. Golongan kuffar dan seumpama mereka sentiasa mencari ruang-ruang kosong dalam agama Islam sebagai bahan fitnah dan propaganda mereka.

Sebagai umat Islam yang sentiasa memandang dan mempertahankan baginda sebagai ikon dan insan teladan, kita perlu bangkit menepis fitnah daripada golongan kuffar dan terpengaruh dengan tipu helah mereka.

Sesungguhnya perkahwinan Rasulullah bersama-sama para isterinya merupakan sebuah perkahwinan yang suci yang tidak berasaskan hawa nafsu dan perkara duniawi.

Malah perkahwinan baginda terbina di atas landasan iman dan Islam sebagai suri tauladan buat umat Islam sejagat.

Wallahu a’lam.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)