• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Budaya Ukhuwah Landasan Eratkan Perpaduan Umat Islam

CIRI utama ibadat dalam Islam berpaksikan ukhuwah dan persaudaraan. Kewajipan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji antara lain membina ukhuwah serta perpaduan.

Justeru, Allah mengisyaratkan setiap mukmin adalah bersaudara seperti firman Allah bermaksud: "Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Orang beriman diikat oleh tali kekeluargaan seagama, satu ikatan yang mengatasi hubungan darah dan keluarga. Mereka berkewajipan memelihara persaudaraan dengan saling menghormati, bekerjasama dan membantu dalam kehidupan seharian.

Inilah ciri persaudaraan Islam unggul dibina Nabi SAW ketika berhijrah ke Madinah. Persaudaraan berasaskan akidah itu berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai pegangan agama dan kabilah.

Sejarah mencatatkan kehebatan tahap persaudaraan ketika itu antara Ansar dan Muhajirin. Dinyatakan keluarga Ansar yang memiliki dua pakaian memberikan sehelai kepada saudaranya daripada golongan Muhajirin.

Mereka yang memiliki dua rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin dan mereka mempunyai dua bidang tanah, sebidang diwakafkan kepada Muhajirin. Demikianlah tingginya tahap persaudaraan dan kasih sayang yang dihayati masyarakat Islam pada zaman Nabi SAW.

Sesungguhnya persaudaraan Islam yang bercirikan roh kekeluargaan dan semangat kekitaan semakin berkurangan, malah ada sesetengah keluarga tidak mengenali saudaranya serta jarang berjumpa.

Sesetengah jiran tetangga pula tidak mengenali dan bertegur sapa dengan jiran, peniaga memeras pengguna, majikan mengabaikan kebajikan pekerja atau fakir dan miskin yang lemah tidak dipedulikan golongan berada.

Fenomena hasad dengki, khianat, dendam dan buruk sangka berleluasa dalam masyarakat. Dalam perkembangan semasa, apa yang membimbangkan lagi ialah berlaku permusuhan dan perbalahan di kalangan pemimpin serta pengikut parti politik yang pasti mengancam kekuatan dan kedaulatan umat.

Persoalan besar timbul dan terus menjadi tanda tanya ialah mengapa umat Islam terus berpecah walaupun kekuasaan kita semakin mengecil? Antara sebabnya ialah pegangan akidah dan takwa umat Islam sedang dilanda krisis.

Kehidupan harian sebahagian umat Islam tidak dikuasai iman dan akhlak, tetapi dipengaruhi nafsu yang mengutamakan kepentingan peribadi, bukan kepentingan agama, masyarakat dan negara.

Menangani permasalahan membimbangkan ini, segenap lapisan masyarakat Islam diseru menghayati budaya ukhuwah dan perpaduan dengan kaedah digariskan Allah antaranya:

l Mengikis perbuatan saling mencaci, mengeji, mengadu domba dan berprasangka buruk antara satu sama lain yang menjadi punca perselisihan dan perbalahan.

Ini selaras dengan perintah Allah dalam firman bermaksud: "Wahai orang beriman! Jangan sesuatu puak merendahkan puak lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan jangan pula wanita ke atas wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan jangan kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amat buruk sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Sesiapa tidak bertaubat, maka merekalah orang yang zalim." (Surah al-Hujurat, ayat 11)

l Memastikan hak sosioekonomi dan politik dalam masyarakat dipenuhi dengan adil serta saksama. Hindari diskriminasi dalam apa juga aspek menyentuh kepentingan individu.

Dengan terlaksana keadilan, timbul kepuasan mewujudkan persefahaman, penghormatan dan kerjasama yang sekali gus mengukuhkan perpaduan. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Maidah, ayat 8)

l Setiap individu perlu menjadi anggota masyarakat yang berfikiran positif iaitu bersedia bekerjasama dan saling membantu dalam apa juga kebajikan dilakukan oleh sesiapa saja selagi kegiatan itu berlandaskan tuntutan syarak, berkebajikan dan mendatangkan maslahah umat.

Hindari sikap ego atau fanatik kepada fahaman sendiri serta serba tidak kena dengan pendapat dan usaha orang lain. Mari kita ambil iktibar dan cermin diri pada masa ini ada tanda kekuatan politik umat Islam semakin lemah, penguasaan ekonomi juga tertinggal di belakang kaum lain dan kualiti sosial umat merosot.

Oleh itu, kita tiada pilihan kecuali kembali bersatu menguatkan persaudaraan berdasarkan ketaatan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Khutbah online Jakim

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)