• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Bunuh Diri Dosa Besar

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

SEMAKIN moden kehidupan yang dinikmati, semakin cetek pemikiran manusia terutama menghadapi kesukaran dan cabaran dalam hidup.

Setiap orang pasti tidak terlepas dihimpit masalah cuma mereka perlu bijak mengawal dan mengurusnya supaya ia dapat diselesaikan cara baik.

Gejala bunuh diri kini antara penyumbang besar kepada kematian di seluruh dunia. Ia gejala yang sukar dimengertikan kerana individu yang membunuh diri biasanya mempunyai sikap berbeza-beza.

Mungkin di kalangan mereka pada awalnya sudah menunjukkan tanda dalam keadaan trauma, muram, bersendirian dan sering menangis.

Namun, ada kes mangsa tidak menunjukkan tanda, malah dilihat sebagai seorang peramah, periang tetapi mengakhiri hidup dengan membunuh diri.

Golongan yang sering dikaitkan dengan bunuh diri biasanya mempunyai masalah besar seperti berhutang, konflik rumah tangga, merasakan diri tidak berharga, dipinggirkan keluarga, menjadi mangsa buli selain mengalami gangguan mental kronik seperti skizofrenia.

Malah, ada kejadian langsung tidak masuk akal terutamanya golongan remaja belasan tahun membunuh diri kerana cinta monyet mereka tidak berbalas.

Berdasarkan rekod dikeluarkan Daftar Statistik Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM), bagi tempoh tiga tahun dari 2007 hingga 2010, seramai 731 membunuh diri.

Daripada statistik itu, 545 lelaki dan 186 perempuan. Statistik juga menunjukkan 321 kes membabitkan pasangan berkahwin, 29 bercerai, 34 balu, 298 belum berkahwin.

Di seluruh dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati setiap hari purata 3,000 kes bunuh diri dilaporkan dan setiap tahun jumlah itu mencapai purata satu juta orang.

Jika hendak diikutkan, bukan satu perkara mudah untuk membunuh diri di mana kita sendiri yang merancang bila dan bagaimana pelaksanaannya.

Contohnya, mereka menggunakan cara menggantung diri, terjun dari bangunan tinggi, meminum racun atau menembak menggunakan senapang atau pistol. Bagi mereka yang sihat akal fikiran pasti tidak sanggup melakukan perbuatan itu.

Sebab itu sebagai seorang Muslim, jika berhadapan sebarang kesulitan, kita kembali memohon pertolongan Allah.

Islam tidak mengajar umatnya cepat berputus asa dan menyerah kalah. Jika berlaku tekanan hebat perkara demikian perlu dirawat dengan kaedah sewajarnya.

Setiap manusia wajar menghargai kehidupan mereka sebaik-baiknya. Bunuh diri walau dalam keadaan apa sekalipun tetap dilarang dalam Islam.

Rasulullah bersabda: "Sesiapa membunuh dirinya dengan benda tajam, benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka jahanam. Hal itu akan berlaku selama-lamanya. Sesiapa yang minum racun hingga mati, dia akan minumnya dalam neraka jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, dia akan menjatuhkan dirinya ke neraka jahanam selama-lamanya." (Riwayat Abu Hurairah).

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata dalam Bahasa Arab perbuatan bunuh diri dinamakan al-Intihar iaitu perbuatan sengaja oleh individu untuk menamatkan hayatnya.

"Melihat dari kes yang berlaku sejak-akhir-akhir ini, saya berpandangan tahap keimanan masyarakat Muslim terlalu lemah sehinggakan alasan remeh dijadikan sebab untuk menderhaka kepada Allah.

"Mungkin masyarakat Muslim hari ini dilihat maju, moden dan berpendidikan tinggi namun hakikatnya pengisian rohani amat kosong dan lemah," katanya.

Beliau berkata akal yang dikurniakan Allah perlu digunakan untuk berfikir mencari kebenaran bukan menambah kefasikan.

Ini tidak semakin maju ke depan, semakin lemah iman dan keyakinan kepada Allah. Itu sebab wujudnya ramai golongan intelek Muslim yang sudah pandai mempertikaikan hukum-hakam yang ditetapkan Allah dengan pelbagai alasan dan justifikasi logik akal semata-mata.

Dalam Islam sudah jelas mengenai larangan membunuh diri. Di dalam Surah An-Nisa’ ayat 29 Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat Penyayang kepada kamu."

Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia ini, maka dia akan diazabkan dengannya pada hari kiamat nanti." (Hadis riwayat Muslim, al-Darimi, dan Ahmad)

"Berdasarkan nas itu kita dapat membuat beberapa kesimpulan berkaitan dengan kedudukan nyawa dan sejauh mana manusia mempunyai hak terhadapnya. Nyawa adalah milik Allah dan Dialah yang menghidup atau mematikan seseorang bukannya orang itu sendiri yang menentukan hidup matinya," katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata, membunuh diri adalah perbuatan terkutuk yang dilarang Allah biarpun dalam situasi di mana diwajibkan mengorbankan nyawa sendiri.

Namun itu tidak dikira sebagai membunuh diri kerana mempunyai sebab lain yang lebih besar mengharuskannya.

"Malah, kita diwajibkan berkorban seperti berjihad kerana mempertahankan agama, negara dan kehormatan diri dari serangan musuh," katanya.

Beliau berkata, perbuatan membunuh diri berdosa besar kerana di akhirat kelak mereka akan diseksa sebagaimana mereka membunuh dirinya di dunia.

Daripada Jundub bin Abdillah r.a katanya, Rasulullah bersabda: "Dahulu di kalangan umat sebelum kamu ada seorang lelaki mengalami kecederaan, lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati."

Firman Allah: "Tergesa-gesa hambaku kepada-Ku (dengan membunuh diri), aku haramkan untuknya syurga." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Walaupun perbuatan ini pada asalnya tidaklah me�ngeluarkan diri seseorang dari agama atau murtad, namun jika dia menghalalkannya dia dihukumkan sebagai kafir atau murtad,” katanya.

Beliau berkata, membunuh diri adalah dosa besar di mana perhitungan amalan terserah kepada Allah sama ada diampunkan atau diseksa.

Menurut Engku Ahmad Zaki, terdapat perbezaan pendapat ulama berkaitan hukum membunuh orang lain dengan mengebom dirinya.

Syaikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin berkata, tatkala menerangkan hadis kisah 'Ashabul Ukhdud' (orang-orang yang membuat parit), ketika menyebutkan hikmah pengajaran dalam kisah itu, seseorang dibenarkan mengorbankan dirinya untuk kepentingan orang ramai, kerana pemuda ini memberitahu kepada raja cara membunuhnya iaitu dengan mengambil anak panah milik pemuda itu.

"Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata: Hal ini adalah jihad fisabilillah, yang menyebabkan ramai orang akan beriman, sedangkan pemuda tadi tidak rugi kerana dia mati dan memang dia akan mati sama ada cepat mahu pun lambat," katanya.

Beliau berkata, mengorbankan diri dengan cara membawa bom kemudian pergi kepada kaum kuffar lalu meletupkannya itu adalah bunuh diri.

Jika dia membunuh dirinya serta membunuh 10, 100 atau 1,000 orang hal itu tidak mendatangkan manfaat bagi Islam dan pasti tidak ada orang yang mahu masuk Islam.

Bahkan boleh jadi hal itu menyebabkan kemarahan di hati musuh sehingga membinasakan kaum Muslimin. Contohnya, apa yang dilakukan oleh orang Yahudi terhadap orang-orang Palestin.

"Jika penduduk Palestin mengorbankan dirinya dan membunuh enam atau tujuh orang. Maka orang Yahudi akan membalasnya sehingga mengorbankan 60 orang atau lebih. Hal ini tidaklah memberikan manfaat bagi kaum Muslimin," katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata, bunuh diri adalah golongan yang tidak reda kepada ketentuan Allah.

Kehidupan ini pada hakikatnya adalah medan perjuangan dan arena pertarungan sengit yang menuntut pengorbanan dan kesabaran.

Dengan kesabaran seseorang akan memiliki keteguhan hati, keyakinan diri dan keimanan dalam menghadapi apa jua cabaran.

Imam Al-Ghazali dalam kitab tersohornya, Ihya' Ulumiddin berkata, kehidupan kita di dunia ini, terdapat dua hal yang selalu mengiringi hidup manusia.

Pertama, sesuatu yang sesuai dan selari dengan kemahuan dan kehendak hati kita seperti memiliki harta kekayaan, pangkat, penghormatan dan lain-lain lagi kenikmatan hidup.

Kedua, sesuatu yang tidak sesuai dan berlawanan dengan keinginan hati, bahkan amat dibencinya seperti segala bala bencana dan penderitaan termasuk kemiskinan, kesakitan, kehinaan dan sebagainya.

"Setiap manusia wajib menyimpul kemas tali kesabaran untuk menghadapi dua kemungkinan yang bakal menghiasi hidup ini," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)