• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Cara Jawab Salam Bukan Islam


ISLAM tidak melarang umatnya menjalin hubungan yang baik dengan penganut agama lain terutama dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia.

--------------------------------------------------------------------------------
Soalan:

SAYA selalu mengalami masalah di dalam pergaulan dengan rakan-rakan yang bukan Islam. Mohon penjelasan ustaz pendekatan terbaik yang disyorkan Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW agar kekurangan yang ada tidak menimbulkan salah sangka terhadap agama yang suci ini akibat dari kejahilan saya.

Apa yang perlu dilakukan bila bertemu dengan sahabat yang bukan Islam, selalu kedengaran ucapan assalamualaikum tidak dibolehkan dan ucapan selamat dalam bahasa orang bukan islam tidak dibolehkan contohnya Vanakam (Tamil) Sastriakal (Punjabi) dam sebagainya?

Jawapan:

Seperti yang dijelaskan oleh para ulama di antaranya Sheikh Muhammad bin Shalih Al-Uthaimin menjawab: Mendahului ucapan salam kepada orang bukan Islam adalah haram hukumnya.

Sebab Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu memulai salam kepada orang Yahudi dan Nasrani. Apabila kamu bertemu mereka di suatu jalan, maka paksalah mereka kepada jalannya yang paling sempit. (riwayat Muslim)

Tetapi apabila mereka mengucapkan salam kepada kita, maka kita wajib menjawabnya, berdasarkan kepada umumnya firman Allah yang bermaksud: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (An-Nisa': 86).

Soalnya, salam yang diucapkan oleh orang bukan Islam adalah lafaznya bermaksud baik, bukan cercaan dan bukan pula doa kehancuran seperti yang ucapkan oleh segelintir yahudi terhadap Rasulullah SAW.

Orang Yahudi mengucapkan salam kepada nabi SAW dengan ucapan: As-Samu 'alaika ya Muhammad! As-samu maksudnya kematian. Bererti mereka mendoakan mati kepada baginda. Lalu baginda menjawab: wa alaikum yang maksudnya, "dan ke atas kamu jugalah kematian".

Hari ini hampir kebanyakan orang bukan Islam fasih memberi salam. Sehingga kadang-kadang orang Islam yang mendengar menjawab secara spontan tanpa berfikir panjang akan hukumnya.

Kadang-kadang dah jawab baru perasaan yang bagi salam itu kawannya yang bukan beragama Islam.

Apabila bukan Muslim mengucapkan salam: Assalamualaikum, maka kita harus membalasnya dengan ucapan: Wa'alaikum. Perkataan beliau: Wa'alaikum, merupakan dalil bahwa apabila mereka mengucapkan: Assalamualaikum, yang bererti pada diri mereka ada keselamatan, maka kita juga membalas dengan ucapan yang sama.

Maka sebahagian ulama berpendapat apabila orang-orang Yahudi dan Nasrani mengucapkan secara jelas: As-salaamu 'alikum, maka kita juga boleh membalas dengan ucapan: Alaikum salam.

Kesimpulan jawapan ini dapat saya katakan: "Orang muslim tidak boleh memulai ucapan salam kepada bukan Muslim. Sebab Nabi SAW melarang hal itu, di samping hal itu merendahkan martabat orang muslim bila harus mengagungkan orang bukan Islam".

Orang muslim lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah. Maka tidak selayaknya dia merendahkan diri dalam hal ini. Tetapi apabila mereka yang lebih dahulu mengucapkan salam kepada kita, maka kita boleh membalasnya seperti salam yang mereka ucapkan.

Namun di sini saya mempunyai cadangan salam diharus diucapkan kepada kawan-kawan kita yang bukan beragama Islam. Ucapan salamnya adalah: Assalamulaikum man ittaba' al-Huda' yang bermaksud: salam sejahtera ke atas mereka yang menurut (mengikut) petunjuk (Islam).

Maksudnya salam sejahtera yang diucapkan itu tertangguh sehingga dia mendapat hidayah dalam masa yang sama kita memohon hidayah daripada Allah SWT.

Salam inilah yang menjadi pembuka bicara dalam surat-surat yang dihantar oleh Rasulullah SAW kepada pembesar-pembesar negara dalam misi menyebarkan empayar Islam. Cuma di negara kita dan mana-mana negara Islam yang lain juga tidak digunakan ucapan ini.

Saya pernah mengucapkan demikian kepada seorang kawan yang bukan beragama Islam, lalu dia tanya. Apa maksudnya, dan kenapa lain?

Saya jelaskan bahawa kesejahteraan sebenarnya bagi seseorang itu ialah apabila dia menjadikan agama Islam sebagai cara hidup, dan itu satu-satunya jalan selamat bagi kesejahteraan.

Saya dapati dia berfikir panjang dan meneruskan soalan berkaitan Islam dengan penuh minat. Hari ini dia bergelar seorang muslim.

Manakala ucapan good morning dan selamat sejahtera tidaklah haram hukumnya. Kita juga tiada ucapan lain dalam uruf (suasana atau kebiasaan) hari ucapan selain itu.

Ada segelintir ulama mengharamkan ucapan salam sejahtera dan hampir sama maknanya dengan alasan orang Islam lebih mulia dan tinggi dari orang bukan Islam maka kita tidak seharusnya merendahkan diri dengan memberi ucapan kepada orang bukan Islam.

Mungkin ada benarnya dari konteks hukum tapi tidak dari konteks dakwah. Maka tidak salah dan harus kita mengucapkan salam sejahtera, very good morning dan seumpamanya, mudah-mudahan kerahmatan Islam lebih menyerlah.

Orang bukan Islam juga berhak menerima ucapan-ucapan yang baik dari orang Islam sebagai jambatan keharmonian dan kesejahteraan.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)