• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Cara Rasulullah atasi krisis ekonomi

Oleh Ibrahim Abdullah

SEBENARNYA persoalan krisis ekonomi pernah terjadi pada masa Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Namun dengan metod, kerjasama dan kesabaran, krisis tersebut dapat ditangani dengan jayanya terutama pasca hijrah Baginda dan sahabat di kota Madinah (Yathrib) yang terkenal dalam sektor pertanian dan perniagaan.

Di sana terdapat pasar yang mengandungi segala sektor perekonomian, perindustrian, penternakan serta perdagangan telah berjalan dengan baik dan lancar.

Madinah adalah sebuah kota lokasi sangat strategik yang sebahagian besar berorientasi bahan pertanian. Oleh kerana itu, sebahagian besar penduduknya bergantung pada sektor pertanian dan perdagangan.

Produk pertanian yang utama adalah buah anggur dan kurma. Situasi Madinah dapat dilihat dari gambaran yang diinformasikan al-Quran yang maksud-Nya: Dan di bumi terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanam-tanaman dan pohon kurma yang bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (al-Ra'du: 4).

Selain itu, kota Madinah juga kaya dengan produksi dari hasil tanaman gandum, sayur-sayuran, buah-buahan dan juga barli. Tidak hanya itu, kota ini juga adalah pengeluar terbesar buah kurma atau tamar terutama menjelang musim kemarau. Daripada penghasilan ini saja, kota Madinah dapat memainkan peranan penting dalam perekonomian di kawasan sekitarnya.

Kurma adalah suatu jenis pohon yang mempunyai multi fungsi, sebab seluruh bahagian pohon tersebut mempunyai manfaat, buahnya sebagai makanan, batangnya dapat dijadikan tiang-tiang rumah, sedangkan daunnya dapat dijadikan bahan penguat dan juga makanan haiwan.

Gambaran strateginya lokasi Madinah juga dapat dilihat dari kebun-kebun yang dipagari serta dipenuhi dengan telaga-telaga kandungan air mineral yang banyak. Tegasnya Madinah adalah kota yang sangat strategik ditambah penghuninya sangat mahir dalam bidang pertanian.

Dengan banyaknya infrastruktur ekonomi yang ada di Madinah, para pelaku pasar telah menerapkan berbagai sistem ekonomi pada ketika itu. Di antaranya sistem perekonomian yang dijalankan seperti sistem al-Muzara'ah, al-Mu'ajarah, al-Muzabanah, al-Mu'awamah.

Sistem--sistem yang ada itu sebahagian digunakan sebagai sistem ekonomi Islam dan sebahagian lainnya dimurnikan oleh ajaran Islam.

Sebagai kota penting pada masa itu, walaupun Madinah adalah kota yang kaya dengan bahan makanan pokok, namun tetap mengimport beberapa produk sebagai tambahan makanan yang sedia ada. Misalnya tepung gandum, lemak sapi, madu dan beberapa jenis makanan lainnya diimport dari negara jiran seperti Jordan dan negara sekitarnya.

Peristiwa ini dirakam oleh hadis dari Qatadah bin Nu'man yang diriwayatkan Imam Tirmizi. Makanan pokok masyarakat Madinah adalah kurma dan gandum. Kadang-kadang mereka bawa masuk barang dari luar dengan menggunakan dafitah (alat pemikul barang diletakkan di kiri kanan belakang unta, kuda dan sebagainya).

Madinah yang mempunyai sumber daya dan letaknya yang sangat strategik, ternyata tidak menjamin terjadinya kemakmuran di negeri itu. Bahkan sebaliknya Madinah pernah diterpa dan terlibat krisis ekonomi yang berpanjangan.

Kesejahteraan tidak terjadi secara merata, perbezaan taraf ekonomi masyarakat sangat ketara. Sebahagian masyarakat sangat kaya, namun sebahagian lainnya miskin. Lebih dari itu, ditambah dengan krisis politik yang disebabkan terjadi pertikaian dan konflik para elit politik waktu itu. Keadaan ini memberi impak negatif terhadap pengurusan sumber daya alam dan manusia di kota Madinah.

Di samping itu, ketika kaum Muhajirin berhijrah dari Mekah ke Madinah sebenarnya tidak membawa bekal yang cukup seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Namun sebagai seorang pemimpin yang bijak, keadaan ini telah dikuasai Rasulullah SAW.

Justeru sebelum berangkat berhijrah ke Madinah, sesungguhnya Rasulullah telah melakukan penyelidikan, mengumpulkan data hasil pemerhatian awal yang dilakukan para sahabat.

Sebelum berhijrah ke Madinah, Rasulullah mengutus Mus'ab bin Umair untuk melihat keadaan sosio politik dan sosio ekonomi Madinah sebagai bekal sebelum memasuki tempat kota berhijrah tersebut.

Lagi pula dalam sektor ekonomi, pada waktu itu di Madinah telah berada dalam cengkaman sistem kapitalis Yahudi, di mana mereka telah memegang sumber-sumber ekonomi yang berdasarkan sistem riba yang berleluasa. Sistem monopoli telah merosak norma-norma kemanusiaan.

Kaum Yahudi juga telah melakukan berbagai propaganda dalam menghancurkan dakwah Islam yang dijalankan Rasulullah dan para sahabat.

Mereka juga melakukan usaha penghasutan dengan pemboikotan agar tidak memberikan bantuan makanan kepada kaum Muhajirin yang datang dari Mekah.

Krisis ekonomi juga ketika itu disebabkan peperangan antara suku Aus dan Khazraj yang berpanjangan. Peperangan yang memakan waktu cukup lama itu tentunya mengeluarkan biaya perang yang bukan sedikit, seperti membeli peralatan senjata dan alat perang lainnya.

Kaum Muhajirin juga sedang mengalami masa transisi ekonomi akibat perpindahan yang mereka lakukan. Kemampuan ekonomi mereka sangat terbatas, apa lagi krisis ekonomi bawaan dari Mekah yang telah mereka hadapi sebelumnya. Tentunya keadaan ini menjadikan krisis ekonomi di Madinah semakin parah dan bertambah.

Keadaan yang sangat ketara ini juga, ditambah lagi terjadi pada tahun sembilan hijrah, iaitu berhadapan dengan tentera Romawi pada perang Tabuk. Di mana waktu itu berlaku musim panas yang berpanjangan di Madinah, tentera Romawi lebih bersiap sedia dengan peralatan dan gendangan perangnya.

Berbagai himpitan situasi krisis ekonomi yang dihadapi Rasulullah SAW dan para sahabat dengan segala faktor yang melingkunginya. Namun Rasulullah sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan bijaksana mengatasi krisis tersebut dengan tekun dan jayanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)