• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Cari Jalan Dekati Anak-anak

TIMBULNYA pelbagai gejala sosial sejak akhir-akhir ini amat menggusarkan kita. Lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang masih mempunyai anak remaja yang meningkat dewasa.

Dr. Mastura Badzis

Gejala remaja terlibat dalam kegiatan Mat Rempit atau Samseng Jalanan dan juga buli, amat tidak sedap didengari oleh halua telinga.

Sayang sekali, usia muda yang datang hanya sekali itu disia-siakan dengan melakukan aktiviti yang boleh membawa mudarat kepada diri sendiri, keluarga dan juga negara.

Biarpun yang terlibat rata-ratanya adalah golongan remaja, tetapi tidak dinafikan pokok permasalahannya berpunca daripada pendidikan awal pada zaman kanak-kanak.

Nabi SAW ada bersabda yang maksud-Nya: Setiap anak yang lahir itu adalah fitrah, maka ibu bapanya yang menentukan sama ada ia menjadi yahudi, nasrani atau majusi. (riwayat Bukhari).

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SHAIFUDIN MOHD. NOR menemu bual Penolong Profesor Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mastura Badzis bagi mengupas isu ini.,/div>

MEGA: Hadis Nabi SAW di atas tadi menunjukkan kaitan penting antara ibu bapa dan tingkah laku anak-anak. Apakah kepentingan alhal bilhal atau mendidik jiwa dengan jiwa dalam konteks ini?

DR. MASTURA: Hadis di atas menjelaskan bahawa tidak ada anak yang dilahirkan sebagai jahat. Yang silap ialah ibu bapa atau pengasuh yang menganggap seolah-olah anak itu jahat.

Sebabnya, jahat itu bukan sifat seorang anak tetapi ia berlaku disebabkan beberapa faktor seperti persekitaran dan pendidikan ibu bapa.

Imam al-Ghazali misalnya berkata, setiap anak itu adalah permata. Mereka belajar melalui pemerhatian dan mudah meniru.

Berdasarkan teori imitation ini sesuatu itu menjadi kebiasaan kepada anak-anak. Imam al-Ghazali begitu menekankan peri pentingnya ibu bapa dan pendidik perlu menjadi role model atau ikutan yang baik kerana sikap atau tingkahlaku yang ditunjukkan oleh ibu bapa sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang kanak-kanak.

Bersesuaian dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka meniru perilaku atau apa sahaja yang ada di hadapannya, dan seperti yang ditegaskan oleh Imam al-Ghazali, kanak-kanak belajar melaui pemerhatian yang jika dibiarkan ia akan menjadi kebiasaan atau i’tiyad dan sukarlah untuk dibentuk.

Dalam menangani masalah ini ibu bapa atau pendidik diberi pilihan antara memberi pengukuhan dan ganjaran baik atau hukuman. Jalan terbaik adalah memberi nasihat yang pendekatannya adalah mendidik jiwa dengan jiwa atau alhal bilhal. Seperti yang tertera dalam kitab karangannya Ayyuha al-walad.

Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin mengemukakan lima aspek utama dalam pendidikan kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan: Qudwah (contoh teladan), Mulahazah wa mutaba’ah (pemerhatian dan batasan), i'tiyad (kelaziman/kebiasaan), isu Al-thawab wa al iqab (ganjaran dan hukuman) dan nasihat sebagai penyelesaian.

Berapakah usia anak yang paling kritikal dalam membentuk sahsiah mereka?

DR. MASTURA: Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, di peringkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding tahap umur yang lebih dewasa.

Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat, lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun.

Kajian oleh pakar neurologi mendapati bahawa 80-85% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-kanak. Peringkat perkembangan yang paling pesat ialah di peringkat umur yang terawal dalam tempoh enam tahun tersebut.

Justeru, boleh dikatakan bahawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.

Hasil-hasil kajian ilmiah sama ada di timur, di barat malah seantero dunia, dapatan kajian membuktikan pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembinaan kekukuhan sesuatu bangsa dan pemangkin kepada visi wawasan hala tuju negara.

Kajian di Amerika Syarikat misalnya menunjukkan, setiap nilaian dolar yang dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti tinggi dapat memberi pulangan yang tinggi sama ada dari segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan sosial kehidupan masyarakat di negara tersebut.


Tidak dinafikan, semua ibu bapa mahu anak mereka menjadi orang yang berguna. Namun, adakalanya ibu bapa gagal menunjukkan contoh teladan yang baik. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

DR. MASTURA: Saidina Umar r.a ada berkata, bermainlah dengan anak kamu selama 7 tahun, umur 7 ke 14 tahun masa untuk mendisiplinkan anak dan apabila berusia 14 ke 21 tahun, berkawanlah dengan mereka.

Ini menunjukkan bahawa adalah penting bagi ibu bapa memahami psikologi anak-anak. Ibu bapa juga perlu mempelajari kemahiran keibubapaan. Ilmu ini perlu dipelajari dan kita tidak boleh buat trial and error kerana kesannya akan dilihat untuk jangka panjang.

Kasih sayang adalah kunci kepada melahirkan anak-anak yang baik tingkah laku. Ibu bapa juga perlu melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak. Ini bukan bermakna hanya menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sahaja.

Sebaliknya, kita perlu menjadi ibu bapa yang profesional. Walau sesibuk manapun kita di pejabat, jangan lupa anak di taska atau sekolah. Kita perlu sentiasa mengambil berat tentang mereka termasuk ‘belajar’ mengenali siapa rakan-rakan mereka.

Dalam perkembangan psikopatologi, anak-anak yang bermasalah dari segi emosi seperti terlibat dalam membuli gangster dan tingkah laku anti sosial, pengkaji akan melihat tempoh 1 ke 6 tahun kanak-kanak itu dengan keluarga. Selepas itu, bagaimana hubungannya dengan kawan-kawan dan sebagainya.

Jangan pula kita menjadi ibarat ‘ketam mengajar anak berjalan betul’. Ada bapa yang melarang anak merokok tetapi mereka sendiri pun merokok. Demikian juga guru-guru disiplin. Jangan hanya pandai menasihatkan anak murid berhenti merokok tetapi anda sendiri juga perokok.

Jangan lupa menyentuh anak-anak walaupun jika mereka sudah dewasa. Rasulullah SAW sendiri pun masih mencium dahi anaknya Fatimah walaupun selepas mempunyai dua cucu.


Bagi anak-anak yang sudah menjadi ‘buluh’ apa lagi cara untuk mengubah sikap negatif mereka kepada yang positif?

DR. MASTURA: Selagi anak-anak masih mahu mencium tangan ibu bapa kita jangan berputus asa. Kita juga hendaklah berbicara dengan mereka mengikut kemampun akal mereka. Sebab itulah juga sabda Nabi SAW yang bermaksud, suruhlah anak kamu solat apabila umurnya 7 tahun dan pukullah mereka jika tidak solat apabila sudah berusia 10 tahun.

Pada usia 7 tahun sesuai dengan perkembangan kognitif anak-anak meeka sudah boleh memahami benda-benda yang abstrak. Pada umur sebelum 7 tahun, jika anak-anak kita solat pun dia hanya meniru tetapi tidak faham mengapa perlu solat.

Ibu bapa perlu sedar bahawa cara mendidik anak dahulu dan sekarang adalah berbeza. Zaman dulu, anak-anak suka meneroka dengan cara seperti memanjat pokok, melompat dan sebagainya. Kanak-kanak kini pula dikelilingi oleh alat sofistikated yang saya gelarkan sebagai ‘Generasi Nintendo’ atau X-Box. Mereka duduk dikelilingi pelbagai alat canggih.

Ibu bapa juga perlu mengubah sikap. Jangan hanya mewarisi kaedah mendidik anak secara turun temurun. Jangan sekadar menghukum kesalahan anak-anak sebaliknya perlu memberi ruang kepada mereka untuk meluahkan perasaan. Jadilah kawan kepada anak-anak biarpun setelah usia mereka muda belia.

Malah, ada sebuah hadis yang bermaksud, siapa yang ada anak kecil kena buat-buat perangai macam anak. Pendek kata, ada kalanya ibu bapa kena jadi ‘gila-gila’ ikut perangai anak.

Ibu bapa yang suka berleter setiap kali anak pulang atau semasa mereka berada di rumah akan mendorong mereka mencari ‘ibu bapa’ di kalangan rakan sebaya di luar. Golongan ini akan menjadi tempat mereka berkongsi masalah dan berkongsi segala suka dan duka. Ini bermakna ibu bapa perlu berusaha dan mencari jalan untuk mendekati anak-anak.

Kita perlu mengajar anak-anak membuat pilihan yang betul. Jangan hanya mahu anak mematuhi arahan kita. Kalau memilih baju, pastikan kita sediakan dua pasang supaya anak kita juga boleh memilih maju yang disukainya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)