• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Cari Maslahat Agung, Elak Mudarat Lebih Besar

Tajdid Iman oleh Dr Juanda Jaya

POLITIK sering dituduh sebagai dalang kejahatan dan kezaliman yang merosakkan umat manusia dari zaman berzaman. Hakikatnya, politik bersifat berkecuali, yang mengotorkannya adalah orang berdiri mewakilinya dengan sikap dan niat yang buruk.

Seperti sistem ekonomi, ia bergantung kepada mereka yang mengamalkan sistem pelbagai itu. Bagi sistem sosialis dan kapitalis, yang menjadikan ia zalim adalah kerakusan pejuangnya, maka ia mewujudkan ekonomi yang zalim.

Sedangkan Islam tetap menawarkan sistem adil lagi syumul dan kesempurnaannya. Seperti ekonomi, politik diperlukan untuk membina tamadun yang maju. Alangkah silapnya jika manusia menuduh Islam menghalalkan politik cacamarba mencampuradukkan yang hak dan batil.

Islam tetap menang walaupun tanpa taktik kotor, rasuah atau bahasa indahnya ‘tawaran hadiah projek’, caci maki dan fitnah, umpat serta mengaib sesama insan. Benarkah politik itu jahat, kejam, dan yang duduk di dalamnya adalah orang berdosa lagi zalim.

Bukankah Rasulullah SAW, sahabat, tabiin juga bergiat aktif dalam gelanggang politik? Jadi, jangan menuduh secara melulu, biarlah Allah menilai keikhlasan amalan masing-masing. Adalah silap dan berdosa memisahkan politik daripada Islam kerana politik sebahagian Islam yang syumul.

Masalahnya, sekali lagi adalah insan yang mewakili Islam itu, ada yang jahat dan berselindung di sebalik Islam serta tidak dinafikan ramai juga ikhlas semata-mata memperjuangkan agama serta keadilan kerana Allah.

Kadang-kadang pada awal perjuangan, hati mereka suci daripada kepentingan diri tetapi berapa ramai berjaya mengekalkan kesucian hatinya dan keikhlasan perjuangannya kerana Allah. Akhirnya, antara orang yang kononnya mewakili Islam dengan parti lawannya, semuanya sama saja daripada sudut sikapnya yang rakus kepada kuasa, dua kali lima, lima kali dua.

Jika kuasa itu hilang, tidak hairan dengan serta-merta kedengaran ada orang politik yang bunuh diri seperti diberitakan media baru-baru ini. Bunuh diri menjadi pilihan orang kafir untuk menyatakan protes mereka terhadap keputusan takdir.

Yang takut mati pula mencuba pelbagai gaya untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan diterima. Ada mencuba nasib dengan mogok lapar, membuat ritual menyalakan lilin sebagai tanda kematian politik demokrasi dibela setengah mati sampai mengalahkan usaha membela Tuhan mereka.

Menyalakan lilin serupa dengan amalan orang Nasrani dan Majusi. Apabila ada penganut Nasrani meninggal dunia maka agama mereka mengajarkan untuk membakar lilin sebagai tanda kematian. Orang Islam dilarang sama sekali mengikuti amalan jahiliah yang bertentangan dengan Islam dalam bentuk apapun seperti larangan umum dalam hadis haramnya tasyabbuh dengan orang musyrik.

Daripada Qais bin Abi Hazim beliau berkata: “Abu Bakar As-Siddiq masuk ke rumah seorang perempuan dari suku Ahmas yang bernama Zainab. Abu Bakar melihat perempuan itu tidak mahu bercakap kemudian Abu Bakar bertanya: Kenapa perempuan itu tidak mahu bercakap? Orang yang berada di situ berkata: Dia berhajat untuk berdiam diri (mogok bercakap). Kemudian Abu Bakar berkata kepadanya: Bercakaplah kamu, kerana perbuatan seperti itu tidak halal, ia termasuk perbuatan orang jahiliah. Kemudian perempuan itu pun bercakap.” - (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Al-Khattabi mentafsirkan hadis ini bahawa diam atau puasa bercakap adalah salah satu perbuatan ritual jahiliah. Kemudian selepas Islam datang, ritual itu dilarang dan diperintahkan supaya berzikir atau bercakap yang baik. Jika puasa bercakap pun diharamkan, inikan pula perbuatan memudaratkan diri dengan melakukan perbuatan lebih berat lagi daripada itu seperti mogok lapar.

Rasulullah SAW tidaklah menjalani dakwahnya dengan kemenangan semata-mata bahkan bersilih ganti menang dan kalah ketika berhadapan kezaliman kuffar. Sekali lagi, Allah mahu mengajar manusia hanya Dia Yang Maha Mengetahui perkara ghaib.

Tugas manusia hanya berusaha dan serahkan baik buruknya kepada Allah. Bukan bermakna manusia disuruh menyerah kalah, tapi mereka disuruh untuk menerima kegagalan itu dengan mencari kesilapan sendiri, membina langkah baru yang lebih kreatif, dinamik dan gagah.

Islam sama sekali tidak membenci ahli politik, bahkan mereka diperlukan sebagai pejuang di jalan-Nya untuk menegak amar makruf nahi mungkar. Tidak semestinya ahli politik Muslim itu sempurna dan bersih tanpa silap.

Sikap mahu membela diri dan parti walaupun sedar ia suatu kesilapan adalah perbuatan bertentangan nilai Islam. Perbuatan sebegini adalah semangat asabiyah jahiliah. Semangat perkauman yang menafikan hak orang lain.

Sedangkan Islam melarang sekeras-kerasnya melakukan kezaliman kepada seluruh umat tidak kira suku bangsa dan kepercayaan. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mengambil hak orang lain walaupun sekadar sejengkal tanah, nescaya dia akan diseksa dengan dibenamkan sejauh tujuh lapis bumi.” - (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kecenderungan membela diri dan golongan secara membuta tuli sehingga menzalimi orang tidak sehaluan dengan mereka dirakamkan dalam ayat Allah sebagai amalan Bani Israil yang pernah berkuasa dulu.

Maksudnya: “Kemudian kamu (Bani Israil) membunuh dirimu (saudaramu sebangsa) dan mengusir segolongan daripada kamu dari kampung halamannya, kamu bantu membantu terhadap mereka dengan membuat dosa dan permusuhan; tetapi jika mereka datang kepadamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka, padahal mengusir mereka itu (juga) terlarang bagimu. Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripada mu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat.” - (Surah Al-Baqarah, ayat 85)

Keadilan perlu ditegakkan tetapi mestilah digandingkan dengan keamanan. Jika menuntut keadilan dengan cara merobek keamanan, adakah ini berbaloi?

Umat Islam yang terbabit dengan politik eloklah bercermin pada sejarah agung cucunda Rasulullah SAW, al-Hasan yang memilih untuk mengalah demi menjaga darah dan kesatuan kaum muslimin yang hampir tumpah kerana perselisihan dengan kumpulan Saidina Muawiyah bin Abi Sufyan.

Dengan bersangka baik kepada keperibadian dan keimanan sahabat, Saidina Muawiyah atas peristiwa itu kerana ramainya golongan munafik yang memainkan isu di sebalik tabir, sepatutnya umat Islam mencari maslahat agung untuk kepentingan agama dan menghindari mudarat lebih besar lagi.

Berusaha dan cekal dengan idealisme adalah baik tetapi berapa ramai yang kecundang kerana menyangka langkah diambil itu betul padahal sebaliknya, disebabkan terburu nafsu dan tidak mengambil kira pandangan Islam, mereka mengorbankan maslahat umum umat yang lebih besar.

Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu mengenai orang yang paling merugi perbuatannya? Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka mereka berbuat sebaik-baiknya.” - (Surah Al-Kahfi, ayat 103-104)

Jika setiap pemimpin politik memiliki sifat wali, maka tidak seronoklah gelanggangnya pada kaum munafikin dan kafirin kerana sunyi daripada huru-hara, tetapi pada zaman Umar al-Khattab, seluruh rakyat bebas bersuara sehingga beliau terpaksa menunggu seorang wanita yang lantang memberi nasihat dan bangkangan kepadanya: Wahai Umar, takutlah kepada Allah dalam urusan umatmu. Sehingga menitis air mata khalifah menerima teguran itu.

Maknanya, sifat wali dalam diri ahli politik bukanlah duduk diam dan taat, mengalah pada kezaliman dan reda dengan kejahatan manusia, tetapi menegakkan amar makruf nahi mungkar dengan cara lembut atau pun lantang mengikut keadaan serta situasi semasa.

Dia hendaklah berwaspada terhadap penasihat yang jahat dan mencari penasihat yang ikhlas dan suka mendengar teguran daripada orang tidak berkepentingan terhadap harta dan kuasanya.

Menceburi bidang politik adalah jihad dan berbaloilah dengan ganjaran akhirat bagi wali Allah, mereka tidak pernah gentar dengan tipu daya jahat penentangnya kerana sentiasa mengingati firman Allah dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, dia telah mengisytiharkan perang terhadap-Ku.” - (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Semua pasti akan mengaku bahawa golongan merekalah yang membela Islam. Sebenarnya mereka tidak berhak mengaku bahkan Allah saja yang Maha Mengetahui siapa sebenarnya yang bersih hati daripada kepentingan dunia.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)