• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Chef Muslim Mesti Dalami Hukum Halal, Haram

Oleh Mohd Amri Abdullah

BERWASPADA menjamu selera di restoran ala Barat kerana dikhuatiri menggunakan alkohol dalam masakan. - Gambar hiasan


Ramai tukang masak restoran Barat salah faham mengenai campuran alkohol, wain dalam makanan

MAJORITI restoran atau hotel yang menyediakan makanan Cina menggunakan wain beras dalam kebanyakan masakan mereka. Begitu juga segelintir restoran yang menyediakan makanan Barat, ala Perancis atau Jepun menggunakan alkohol termasuk cuka wain (wine vinegar) bagi menepati cita rasa masakan berkenaan. Terdapat juga penggunaan alkohol secara tidak langsung seperti perasa dan pewarna (pembuatannya menggunakan alkohol sebagai bahan pelarut) yang digunakan secara meluas di dalam pembuatan kek, roti, biskut, coklat dan ais krim.

Alkohol (etanol) akan meruwap apabila mencapai suhu takat didih 78 darjah Celsius. Walaupun ketika proses memasak akan menyebabkan alkohol meruwap daripada makanan, tetapi ia tetap meninggalkan sedikit rasa pada makanan. Contohnya, wain akan ditambah ke dalam sos di akhir proses masakan dan dibiarkan 20 hingga 30 saat sebelum api dipadam. Semua pakar masakan di dunia menyatakan alkohol yang ditambah akan hilang daripada makanan tetapi fakta ini didapati salah dan tidak benar.

Mereka membuat anggapan sebegitu kerana tiada lagi pembentukan api yang membara dalam makanan, yang menunjukkan semua alkohol terbakar dan hilang daripada makanan, namun sebenarnya ia meninggalkan kesan kepada makanan. Ini dibuktikan kajian Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM).



Pengalaman Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terbabit secara langsung dalam pengurusan pensijilan halal membuktikan ada pengusaha restoran, hotel mahu pun produk menggunakan bahan berasaskan alkohol. Seorang chef Muslim terkenal mengakui menggunakan wain beras dalam masakannya sebagai bahan penyedap. Beliau menggunakan alasan hanya mencampurkan sedikit dan tidak menyebabkan mabuk dan akan hilang apabila dipanaskan. Seperti dijelaskan, arak walaupun sedikit dan tidak memabukkan tetap haram. Sabda Rasulullah SAW: "Apa yang banyaknya memabukkan maka yang sedikitnya pun haram". – (Hadis Abu Daud dan An-Nasai'i)

Dalam hal ini, kita tidak harus menyalahkan chef berkenaan keseluruhannya mungkin kerana kekurangan ilmu berhubung hukum alkohol dan arak. Ilmu masakan ini kebiasaannya adalah dari barat yang tidak melihat syarak sebagai asas. Oleh itu, tanggungjawab chef Muslim adalah penting dalam penentuan halal haram dalam masakan.

Mazhab Syafie berpendapat najis boleh suci dengan istihalah dalam tiga keadaan:


•Arak yang bertukar dengan sendirinya menjadi cuka


•Kulit binatang yang disamak


•Bangkai binatang yang dicernakan melalui pereputan dan bertukar menjadi ulat dalam kitaran baru kehidupan.

Istihalah ialah perubahan dan pertukaran sesuatu benda kepada benda lain meliputi pertukaran hakikat dan bentuk benda berkenaan atau perubahan yang berlaku ke atas sesuatu benda daripada sifat asalnya kepada sesuatu bentuk lain dan menjadi benda yang lain. Dengan kata lain, proses tindak balas kimia yang merubah unsur daripada satu benda kepada benda lain. Contohnya: arak bertukar menjadi cuka, darah kijang bertukar menjadi kasturi, bangkai berubah menjadi garam, tahi binatang menjadi abu dengan sebab pembakaran dan proses saintifik transgenik dalam tumbuhan. Najis babi yang sudah reput dan berubah menjadi tanah maka ia tidak lagi dihukum najis mughallazah.

Sayyid Muhammad Rizvi dalam artikelnya bertajuk The Ritual and Spiritual Purity menyatakan kajian sains mengakui kebenaran pendapat ulama fiqh bahawa pembersihan secara semula jadi boleh juga berlaku dengan tanah dan cahaya matahari. Najis boleh berubah menjadi suci apabila disucikan dengan tanah dalam proses yang dipanggil istihalah.

Apabila arak berubah dengan sendirinya menjadi cuka maka ia menjadi suci dan halal memakannya. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW: "Sebaik-baik yang dicampur dalam hidangan adalah cuka" (Hadis Muslim)

Namun Al-Syafie dan jumhur ulama berpendapat, arak yang dimasukkan sesuatu seperti bawang atau ragi (yis) untuk mempercepatkan menjadi cuka akan kekal hukum najisnya dan tidak suci. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Anas Malik bahawa Rasulullah SAW ditanya hukum arak yang diproses menjadi cuka, Rasulullah menjawab: "Tidak Harus".

Ini bermakna arak bertukar menjadi cuka tanpa dimasukkan sesuatu bahan ke dalamnya maka arak itu menjadi suci walaupun ia bertukar atau diubah tempat letaknya dari bercahaya kepada teduh atau sebaliknya. Jika arak itu menjadi cuka disebabkan percampuran bahan tambah walaupun tidak memberi kesan atau dibuang bahan tambah itu sebelum menjadi cuka maka ia najis (tidak suci).

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada April 2006 memutuskan: "Haram menggunakan cuka wain yang diproses dan dicampur dengan bahan luar. Bagaimanapun, jika perubahan daripada cuka wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya, maka ia adalah halal"

Dapat difahami bahawa alkohol yang dihasilkan bukan melalui proses arak atau terbitannya, dan ia adalah penghasilan proses kimia serta tidak memabukkan adalah tidak najis. Bagaimanapun pada pandangan penulis, untuk mengelakkan kekeliruan umat Islam maka perkataan khamar perlu dikekalkan dan ia merujuk kepada arak.

Justeru, tanggungjawab halal bukan hanya terletak pada agensi terbabit tetapi fardu kifayah semua pihak terutama penganut Islam. Apa juga yang dimakan akan menggambarkan tingkah laku yang boleh menjejas hubungan dengan Allah, manusia dan alam. Paling penting menjaga generasi Islam. Sehubungan itu, Jakim mempermudahkan pengguna mencari makanan halal lagi baik dalam laman web www.halal.gov.my.

Penulis ialah Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Hub Halal, Jakim.


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)