• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Dahulukan Perkahwinan Jika Takut Lakukan Maksiat

Ibu bapa kena penuhi keinginan anak dengan adakan majlis kenduri secara sederhana

DALAM kekecohan kita mendengar berita anak-anak muda masa kini terbabit dalam kegiatan maksiat yang berkaitan dengan seks bebas dan rambang, penyelesaian yang diajar oleh Islam perlulah diteliti untuk difahami dan diguna pakai. Apa yang nyata terbabitnya seseorang dalam perzinaan kerana gagal mengawal nafsu seks yang memuncak.

Budaya berzina terus menjadi isu panas kerana sering dikaitkan dengan kes pelacuran, kegiatan melanggan GRO, rumah urut, kelab malam, video porno, laman web lucah, pengguguran kandungan, pembuangan bayi, rasuah seks dan pembunuhan.

Walaupun budaya keji ini dibenci semua agama, tetapi hanya Islam yang mengenakan hukuman paling berat kepada penzina iaitu direjam sampai mati jika pernah berkahwin dan disebat 100 kali jika dilakukan oleh mereka yang belum pernah berkahwin. Hukuman keras yang dikenakan Islam ini amat tepat kerana perbuatan berzina ialah perbuatan yang menjatuhkan harga diri manusia serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.

Pada Jumaat yang mulia ini mimbar mengingatkan, pergaulan bebas adalah punca utama perzinaan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati wanita pada dasarnya telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati perzinaan. Begitu pula dengan mereka yang senang melayari gambar porno di internet, menonton video lucah, filem yang mengghairahkan, hiburan melampau adalah mendorong kepada perzinaan. Termasuk juga mereka yang bukan muhrim berdua-duan di tempat yang sunyi akan mendatangkan kemaksiatan pada dirinya. Firman Allah dalam surah al-Israk ayat 32 bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.”

Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab seksa yang sangat pedih di neraka Jahanam. Kepanasan api neraka adalah 70 kali ganda kepanasan api yang ada di atas dunia ini. Dalam beberapa hadis disebutkan di akhirat kelak, Allah SWT tidak menegurnya, tidak menyapanya dan tidak memandangnya. Ketika perbuatan berzina berleluasa dan pintu menuju perzinaan juga terbuka luas yang kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah bersiap sedia datang menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pintu menuju perzinaan, sedekat itulah musibah yang akan diturunkan oleh Allah SWT. Musibah mungkin tidak menimpa diri kita, tetapi akan menimpa anak cucu kita misalnya turut terjebak dengan amalan perzinaan.

Nafsu seks ialah fitrah anugerah Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan. Bagaimanapun, hawa nafsu hendaklah disalurkan secara halal iaitu melalui perkahwinan yang sah. Hadis daripada Muslim meriwayatkan Abu Zarr al-Ghifari berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya setiap kali seseorang itu bertakbir adalah satu sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyeru yang makruf itu adalah sedekah, dan menghalang yang mungkar juga sedekah, melakukan hubungan kelamin suami isteri juga adalah sedekah”. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah: “Adakah kami mendatangi isteri kami baginya mendapat pahala? Rasulullah bersabda: “Tidakkah kamu sedar jika melakukan syahwat kepada yang haram itu berdosa, maka sebaliknya apabila melakukan perbuatan yang halal itu pastilah mendapat pahala”.
Sahabat RA apabila mendengar sabda Rasulullah SAW itu agak terkejut kerana mereka tidak terfikir sebelum itu dan agak pelik juga. Lantaran itu mereka pun segera menyusulkan pertanyaan kepada Rasulullah dengan kehairanan: “Melakukan hubungan kelamin antara suami isteri pun diberi pahala”. Rasulullah SAW menjelaskan dengan mudah: “Jika seseorang melakukan zina maka mereka berdosa, dimasukkan ke dalam neraka kerana persetubuhan haram. Tentulah tidak adil jika tidak diberi pahala bagi seseorang yang berusaha melakukan pernikahan yang halal bagi menghindarkan daripada melakukan zina. Jika orang yang berzina itu menerima padah masuk neraka, maka logiknya orang yang melakukan persetubuhan halal itu diberi pahala dan seterusnya memasuki syurga Allah”.

Selari dengan mengawal pintu nafsu, maka pada dasarnya hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah wajib kepada mereka yang berkemampuan dan mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskan ke lembah maksiat. Berdasarkan kepada pandangan ahli-ahli fiqh dan hadis Rasulullah SAW bahawa mereka yang berkemampuan dari segi zahir dan batin hendaklah mendahulukan perkahwinan daripada ibadah yang lain kerana dikhuatiri maksiat akan berlaku pada dirinya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya daripada syahwat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan al-Shafie golongan pemuda yang dimaksudkan di dalam hadis itu ialah mereka yang sudah baligh dan belum mencapai usia 30 tahun. Penekanan kepada usia ini kerana ia berada pada peringkat segala-gala memuncak kecuali kematangan. Kebiasaan pada peringkat umur ini, nafsunya tinggi, semangatnya kuat, tenaganya berlebihan, hasrat ingin mencuba timbul di dalam pelbagai perkara namun malangnya kebanyakan perhitungan mereka itu singkat belaka.

Justeru berdasarkan kepada tuntutan kehidupan ini, mimbar menyeru kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang seusia sebegini memberi perhatian kepada keperluan mereka. Ingatlah bahawa dasar hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan. Berdasarkan sirah Rasulullah SAW bahawa sekurang-kurangnya majlis walimah atau kenduri kahwin ialah menyembelih seekor kambing, kadar mas kahwin dan hantaran yang rendah adalah dituntut kerana membawa keberkatan dalam perkahwinan dan perlu mengelakkan pembaziran. Begitu juga kepada pihak berkuasa agar dipermudahkan segala urusan bagi pasangan yang telah mencukupi segala syaratnya demi menutup segala pintu kemaksiatan.

Mimbar ingin berpesan kepada jemaah dan umat Islam sekalian, apabila seseorang itu berkemampuan membina rumah tangga maka hendaklah ia bersegera bernikah. Perkataan al-nikah itu sendiri sebenarnya daripada lafaz yang mengandungi maksud mengharuskan bersuka-suka pasangan suami isteri dalam bentuk yang diizinkan syarak. Justeru, tekanan perasaan keinginan dan nafsu yang terkumpul dalam diri dapat diluahkan dengan cara yang diredai Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seseorang kamu terpaut (rasa kagum) dengan seseorang perempuan lalu memberi kesan dalam hatinya maka hendaklah dia mendapatkan isteri dan menyetubuhinya kerana itu boleh menghilangkan apa yang ada dalam dirinya” (Riwayat Muslim). Oleh itu dengan kewujudan pasangan yang sah dapatlah memelihara larangan Allah SWT dari segala kemungkaran yang bersangkutan dengan kemaluan dan mata serta dapat mengawal pintu nafsu. - Sumbangan JAKIM

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)