• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Dakwah Pemimpin Lebih Berkesan

Mega: Berpandukan hadis Nabi SAW, sampaikan dariku walaupun satu ayat, dakwah itu tugas siapa?

DR. FUAD: Pada pandangan dan kefahaman saya, dakwah adalah tugas setiap Muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul SAW mengikut kemampuan dan kebolehannya.

Seperti suruhan Nabi SAW, setiap Muslim yang menjadi pengikut Nabi SAW haruslah menyampaikan mesej Islam yang dibawa oleh baginda SAW walaupun sepotong ayat sahaja.

Sebenarnya tiada siapapun yang dapat mengatakan bahawa dia tidak mampu berdakwah dalam erti kata menyampaikan yang semampunya mengenai mesej atau risalah Islam itu.

Saya percaya setiap Muslim, termasuk saudara baru telah mengetahui sedikit sebanyak tentang ajaran Islam. Paling tidak, tahu mengenai kepercayaan orang Islam tentang keesaan Allah yang disembah dan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah.

Juga sekurang-kurangnya tahu bahawa solat lima waktu dan puasa Ramadan itu wajib dan bercakap benar serta berlaku jujur itu adalah ajaran Islam. Maka bolehlah ia menyampaikan perkara sedemikian kepada yang berkenaan.

Demikian juga suruhan Allah dalam ayat 104 surah ali-'Imran yang jelas meminta dakwah dilaksanakan.

Walaupun perintah berdakwah ini ditujukan kepada segolongan dari kalangan Muslim, namun tanpa wujudnya pelaksanaan kerja dakwah yang sempurna, suruhan itu kembali dipikul oleh setiap Muslim mengikut kemampuannya.

Oleh itu setiap Muslim yang akil dan baligh iaitu mukalaf hendaklah berdakwah menyampaikan mesej dan ajaran Islam dengan semampunya.

Selain itu berdakwah mengajak kepada jalan Allah adalah cara hidup Nabi SAW seperti pernyataan firman Allah yang bermaksud: Katakan (wahai Nabi) inilah jalanku, aku berdakwah kepada Allah dengan ilmu pengetahuan yang jelas. (Yusuf: 108)

Oleh kerana pada diri nabi SAW itu ada contoh teladan yang paling baik, maka mengikut cara baginda dalam berdakwah ke jalan Allah adalah natijah yang semestinya bagi setiap Muslim.

Apa yang dilakukan oleh pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, 17 November lalu amat menarik. Berdakwah kepada 200 wanita Itali. Adakah dakwah 'dari atas ke bawah' ini lebih berkesan berbanding cara biasa?

DR. FUAD: Tanpa bersandarkan kepada apa yang dilakukan oleh pemimpin Libya itu, saya berpendapat peranan pemimpin dalam dakwah memanglah amat penting.

Sejarah kedatangan Islam ke rantau ini dengan penerimaan Islam oleh pemerintah Melaka jelas menunjukkan bahawa dakwah 'dari atas ke bawah' memang amat berkesan.

Nabi SAW sendiri menyedari akan hakikat ini apabila terlalu menumpukan perhatian dakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada pimpinan Quraisy Mekah sehingga diberi peringatan oleh Allah SWT dengan turunnya surah 'Abasa (memasamkan muka).

Surah itu mengajar kita bahawa dakwah kepada Islam hendaklah dilaksanakan kepada semua manusia baik yang atasan mahupun yang bawahan.

Walaupun penerimaan Islam oleh orang atasan lebih memberi kesan positif kepada perkembangan Islam selanjutnya oleh kerana pengaruh dan kedudukan mereka.

Sejarah di tanah air kita juga sedikit sebaik memberi gambaran yang sama apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman memainkan peranan besar dalam berdakwah kepada para pemimpin bukan Islam seperti Tun Omar Yoke Lin Ong.

Pemimpin dan pembesar negara memang dapat memberikan impak jika mereka dapat menjalankan tanggungjawab dakwah ini dengan efektif.

Di negara kita, usaha berdakwah kepada bukan Islam masih belum meluas termasuk dialog antara agama. Bagaimana mengatasi hal ini?

DR. FUAD: Saya berpendapat orang Islam secara umumnya di Malaysia ini tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada tanggungjawab dakwah ini.

Maka kita dapat lihat ketandusan semangat dakwah ini dalam hampir semua urusan seharian masyarakat baik dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

Semangat dan kesedaran mengenai tanggungjawab dakwah ini sememangnya dapat mendorong setiap individu Muslim untuk berurusan secara berbudi bahasa dan bersopan santun, jauh dari suasana dan keadaan menindas, dendam, dengki dan hasad.

Budi bicara yang dibenarkan oleh peraturan tentu akan digunakan untuk membantu dan menyenangkan urusan dalam semangat dakwah.

Saya pernah berada di sebuah pejabat pendaftaran negara di mana pendaftaran kahwin sivil dilakukan. Sambil menunggu saya memerhatikan pegawai yang bertugas, seorang wanita Muslim yang bertudung memarahi sepasang orang tua yang mengiringi 'merpati sejoli' membuat pendaftaran.

Pegawai itu marah sambil mengarahkan dengan nada suara yang agak tinggi kepada orang tua berkenaan untuk beredar dari kaunter. Sebabnya, hanya yang hendak didaftarkan sahaja boleh berada di kaunter.

Akibat tidak tahan dengan tindakan pegawai itu, yang langsung tidak mencerminkan roh dakwah dan muamalah Islam, saya memberanikan diri berhadapan dengannya untuk memberi pandangan saya.

Setelah meminta izin darinya saya katakan, "Puan, alangkah baiknya dalam suasana kegembiraan bagi pasangan yang baru berkahwin, puan sama-sama menunjukkan kegembiraan dengan mengucapkan tahniah kepada mereka dan meminta kedua ibu bapa pasangan itu duduk dengan bahasa yang lembut".

Alhamdulillah pegawai itu menerima teguran saya dan mengucapkan terima kasih lagi. Sepatutnya setiap Muslim di mana sahaja dia berada, jawatan apa pun dia pegang, setinggi mana pun pangkatnya, hendaklah dia menyedari tanggungjawab dakwahnya dan memainkan peranan setakat kemampuannya.

Saya pernah diberitahu bahawa sekumpulan pensyarah beragama Kristian di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ligat menggerakkan pelajar-pelajar bukan Islam menyertai kegiatan Kristian.

Mereka rapat dengan pelajar tersebut dan senang memberi bantuan. Malangnya di IPT yang sama, pensyarah beragama Islam lesu dalam menjalankan tanggungjawab dakwah mereka.

Jika insiden keadaan yang saya sebutkan itu digandakan, saya kira pemerhatian tuan bahawa dialog antara peradaban masih belum meluas amatlah tepat.

Saya tidak menafikan adanya dialog sedemikian namun ia adalah terhad.

Antara rungutan yang biasa kedengaran adalah Jabatan Agama selalu menyusahkan dan tidak memudahkan. Sekali gus menyebabkan ada yang murtad. Di mana silapnya?

DR. FUAD: Kegiatan dakyah Kristian dalam era moden ini telah lama bermula. Sejak zaman penjajahan besar-besaran oleh Barat ke atas dunia Islam dalam kurun 16, strategi dakyah Kristian telah mula difikirkan dan wasilah untuk penyebaran Kristian ke seluruh dunia telah mula dikaji dan dilaksanakan.

Para pegawai Inggeris yang mahu dihantar bertugas di Tanah Melayu dikehendaki mengikuti kursus khas yang diadakan di School of Oriental and African Studies (SOAS) London.

Malah institusi itu dikatakan ditubuhkan bagi melatih pegawai kerajaan Inggeris sebelum dihantar mentadbir di tanah jajahan Inggeris di seluruh dunia.

Sebaliknya, strategi dakwah kita belum begitu mantap. Dakwah Islam hanya diperkatakan secara serius di zaman moden ini setelah pembubaran khilafah Othmaniah tahun 1928. Perhatian umat Islam kepada dakwah era moden juga berkembang hanya sejak dari itu.

Buat sekian lama penulisan dan fikrah dakwah juga banyak dihasilkan oleh ulama di Timur Tengah sehingga dakwah dalam masyarakat majmuk kepada bukan Islam jarang-jarang menjadi topik yang diperkatakan.

Pemikiran mengenai metodologi dan cara berdakwah juga hampir keseluruhannya bertumpu kepada suasana dan keadaan masyarakat di Timur Tengah yang lebih homogeneous (sama), sehinggakan aplikasinya dalam keadaan majmuk di Malaysia perlu kepada penilaian dan penyesuaian.

Dengan latar belakang sedemikian, tidak hairanlah jika terdapat kekurangan dan kelemahan dalam pentadbiran agama Islam. Malah ada yang berpendapat struktur pentadbiran agama Islam yang ada sekarang ini tidak sesuai dengan pentadbiran Islam. Ini kerana ia dicipta oleh Inggeris demi kepentingan dan objektif pentadbiran penjajahan mereka.

Kita telah mewarisi satu legasi yang sukar diubah dalam sekelip mata. Saya menggesa mereka yang bertanggungjawab dalam urusan dan pentadbiran agama Islam untuk terus membuat perubahan dan pembaharuan agar pentadbiran Islam dapat dilaksanakan mengikut tasawwur Islam sebagai satu cara hidup dan bukan setakat relevan dalam hal-hal berkaitan undang-undang keluarga sahaja.

Selagi struktur pentadbiran agama Islam masih seperti yang dikehendaki penjajah Inggeris, kerumitan dan kecelaruan akan berterusan.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)