• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Dakwah Secara Rahsia

Susunan SITI AINIZA KAMSARI



DI ZAMAN AWAL ISLAM, SEMBAHYANG BERJEMAAH TELAH DISYARIATKAN TETAPI TERPAKSA DILAKUKAN SECARA BERSEMBUNYI ATAU TERTUTUP bukan SEPERTI YANG DIlakukan PADA HARI INI. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------



SAFIYYU Al Rahman Al Mubarakfuri yang bukunya Sirah Nabawiyyah SAW yang menjadi rujukan utama penulis bagi mengisi ruang rencana ini mungkin mempunyai kisah yang tersendiri bagi menentukan pemuda mana yang pertama memeluk Islam selepas Siti Khadijah, isteri Rasulullah.

Menurutnya, di hari pertama, tidak sahaja isteri baginda malah sepupu Nabi, Ali bin Abi Thalib bersama-sama anak angkat, Zaid bin Harithah dan sahabat baik baginda sendiri, Abu Bakar Al Siddiq, sekali gus memeluk Islam ketika baginda mula melancarkan dakwah.

Jika Abu Bakar turut termasuk dalam senarai paling awal ini, perkara ini bukan sesuatu yang menghairankan. Ini kerana baginda dan Abu Bakar seperti yang kita ketahui, mereka adalah sahabat karib!

Maka seorang sahabat akan menuruti jejak langkah sahabat karibnya terutama dalam perkara-perkara kebaikan dan tentunya risalah nabi dapat diterima baik oleh Abu Bakar.

Bagi menjayakan misi sahabat baiknya itu, Abu Bakar kemudiannya membantu Rasulullah menyebarkan Islam. Beliau dapat menjalankan tugas itu dengan baik kerana tidak sahaja beliau lahir daripada kalangan bangsawan Arab.

Namun yang ketara, beliau juga mempunyai akhlak yang mulia dan disenangi oleh semua orang.

Dalam hal membuat kebajikan dan membantu mereka yang dalam kesusahan beliau juga orangnya yang paling terkehadapan. Kesemua ini menyebabkan ramai yang menyukai Abu Bakar atau nama sebenarnya Abdullah bin Abi Qahafah itu.

Seorang ahli perniagaan yang berjaya, Abu Bakar yang juga sering digelar dengan panggilan Atiq telah berjaya membawa beberapa orang sahabat menganut Islam. Ini termasuklah Uthman bin Affan Al Umawi, Al Zubair bin Al Awwam Al Asadi, Abdul Rahman bin Auf@Awf Al Zuhri, Saad bin Abi Waqas al Zuhri dan Talhah bin Ubaidullah al Taymi.

Pengikut terawal

Menurut al Mubarakfuri, mereka berlapan ini mendahului orang lain dalam menerima Islam dan merekalah kumpulan pengikut terawal dan terkehadapan dalam perkembangan syiar dan dakwah Islam.

Di kalangan golongan terawal memeluk Islam ini termasuklan Bilal bin Rabbah al Habshiy. Diikuti Ubaydah Amir bin al Jarrah, Abu Salamah bin Abdul Al Asad Al Makhzumi, Al Arqam bin Abi Al Arqam Al Makhzumi, Uthman bin Mazun dan dua adik-beradiknya Qudamah dan Abdullah, Ubaydah bin Al Harith bin al Al Muttalib bin Abdul Manaf, Said bin Zayd Al Adawi dan isterinya Fatimah al Khattab Al Adawiyyah (adik perempuan Umar bin al Khattab), Khabbah bin Al Aratt, Abdullah bin Masud al Hudhaliy dan ramai lagi.

Kesemua mereka tergolong dalam kalangan Al Sabiqun Al Awwalun yang rata-rata daripada kabilah Quraish yang sebenarnya dikatakan bilangannya melebihi 40 orang.

Ibnu Ishaq dalam riwayatnya menyebut, beberapa orang lelaki dan wanita kemudiannya berturut-turut memeluk Islam sehingga tersebar berita mengenai perkembangan agama itu di Mekah dan mula menjadi bualan orang ramai.

Namun kesemua mereka ini memeluk Islam secara rahsia atau bersembunyi. Ini bukan sahaja kerana atas permintaan baginda, tetapi rata-rata mahu menyembunyikan anutan agama baru itu kerana bimbang akan ditentang oleh kaum keluarga dan pembesar-pembesar Quraish yang kebanyakannya begitu kuat menyembah berhala.

Dakwah secara bersembunyi itu menyaksikan tidak sahaja baginda mengajarkan mengenai Islam itu secara tertutup malah termasuk untuk melakukan ibadat solat itu sendiri, ibadat itu juga terpaksa dilakukan jauh daripada pandangan orang ramai.

Ini kerana solat jemaah itu menjanjikan fadilat dan pahala yang tinggi, lalu baginda terpaksa mengajak para pengikutnya melakukan ibadat itu secara rahsia dengan berselindung di sebalik celah-celah bukit atau di tengah-tengah padang pasir.

Pergerakan dakwah Islam yang senyap namun semakin tersebar luas ini sebenarnya masih tidak dianggap sebagai satu ancaman kepada kalangan kafir Quraisy. Mereka mengambil sikap tidak peduli malah terus tenggelam dengan amalan tradisi menyembah berhala itu.

Sebagaimana Al Mubarakfuri memetik kata-kata Muhammad al Ghazali dalam Fiqh Al Sirah. "Berita-berita Nabi Muhammad menyebarkan Islam akhirnya sampai juga ke pengetahuan golongan Quraish.

"Tetapi mereka tidak ambil peduli. Boleh jadi mereka menyangka Muhammad (Rasulullah) adalah sama seperti golongan pengkaji agama yang sering berbicara mengenai ketuhanan dan hak-hak ketuhanan seperti yang dilakukan oleh beberapa individu lain di Kota Mekah itu.

"Ini termasuklah Umayyah bin Abi al Sult, Qiss bin Saadah, Amru bin Nufayl.

"Dalam pada begitu, secara diam-diam mereka tetap memerhatikan berita yang tersebar ini dan melihat sejauh mana kebenaran dan kesannya terhadap kepercayaan daripada nenek moyang yang mesti dipertahankan.

"Lalu mereka tidak sahaja mengintip malah sentiasa mencuri-curi telinga untuk mengetahui hasil dan dakwah baginda itu".

Begitulah suasananya ketika itu. Di saat penyembahan terhadap patung-patung berhala masih rancak diamalkan yang turut bererti kuatnya iktikad yang dimiliki oleh penyembah berhala.

Namun semua itu tidak lagi menjadi penghalang kepada baginda.

Baginda tahu, berhala-berhala tersebut tidak mampu berbuat apa-apa, apatah lagi mempunyai sebarang kuasa dan sumpahan yang menyebabkan baginda menjadi lemah, takut dan menarik balik niat dan usaha untuk menyebarkan Islam.

Namun kita menyedari apa yang dilakukan oleh baginda umpama satu kejayaan kepada misi yang mustahil (untuk berjaya).

Ini apabila Islam dapat disebarkan di luar lingkungan keluarga Rasulullah walaupun secara rahsia. Ia adalah kejayaan yang cukup bermakna buat baginda. Ini kerana berdakwah terhadap ahli keluarga mungkin mudah. Ini berikutan kewibawaan baginda sebagai ketua keluarga.

Tetapi kepada para jiran, sahabat dan masyarakat sekitar, ia umpama usaha untuk menembusi tembok-tembok yang tebal kerana tebalnya iman mereka terhadap ratusan patung berhala pelbagai bentuk.

Namun inilah era yang ditempuhi oleh baginda setelah bimbang mengenai kemampuannya sendiri untuk menembusi tembok tersebut. Namun dengan bantuan ayat-ayat al-Quran yang menitahkan baginda supaya mula memberikan peringatan supaya baginda keluar daripada lingkungan keluarga dan sahabat yang rapat, ini memberikan kekuatan kepada baginda.

Dakwah secara rahsia dan senyap-senyap ini berlangsung selama tiga tahun. Satu waktu, yang tumpuannya supaya manusia percaya wujudnya tuhan yang sebenar. Yang tidak perlu dicipta melalui tangan untuk tujuan penyembahan tetapi tuhan yang benar-benar wujud dan menganugerahkan Islam sebagai nikmat mempercayai-Nya

Dalam hal ini, Rasulullah mengungkapkan tugas dalam satu perumpamaan yang sangat menarik. Dari Jabir sabda Rasulullah yang bermaksud: Perumpamaan aku dan para Nabi seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah, maka dia sempurnakan dan mencantikkannya, kecuali sebuah bata. Maka sesiapa yang memasukinya dan melihatnya akan berkata: Alangkah cantiknya rumah ini kecuali sebuah bata itu! (riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara lain Rasulullah bermaksud jika hanya terdapat bata sahaja tetapi tidak dijadikan asas kepada pembinaan sebuah rumah, maka ia umpama Islam itu hanya ada pada nama !

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)