• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Dalami Bab Mazhab

KATA pepatah, “banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam”. Demikianlah dalam kehidupan kita bermasyarakat. Sudah pasti akan berlaku perbezaan pendapat. Malah dalam Islam perbezaan mazhab itu membawa rahmat.

Bagaimanapun, Allah melarang kita daripada mencemuh dan membuka aib orang lain sebagai mana firmannya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka... (al-Hujurat: 11)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Jabatan Usuluddin Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Abu Zaki Ismail bagi mengupas isu ini.

MEGA: Dalam perbincangan wahhabi ini, ia terletak dalam mazhab mana dan bolehkah ia dikategorikan sesat?

ABU ZAKI: Perkara pertama yang perlu kita sedari adalah wujudnya banyak mazhab dalam Islam. Ia berlaku kerana perbezaan pendekatan dan cara memahami nas al-Quran serta hadis yang menyentuh pelbagai bidang; akidah, syariah, ekonomi, politik dan lain-lain.

Pada tahap asasnya, apa yang paling penting adalah manusia perlu diseru supaya tunduk kepada Allah serta berpegang kepada al-Quran dan hadis. Selain faktor kepelbagaian pendekatan, lahirnya pelbagai mazhab ini juga adalah kerana perkembangan zaman dan permasalahan manusia serta perkembangan ilmu dan teknologi.

Nas-nas al-Quran dan hadis umumnya menekankan soal ketundukan manusia kepada Allah, Tuhan Pencipta. Itulah prinsip utamanya. Namun, dalam soal cabang (furu’), perbezaan tetap berlaku.

Lalu ia melahirkan beberapa mazhab dalam fikah (yang kini hanya tinggal empat mazhab utama; Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki).

Selain itu terdapat pula aliran berlainan dalam memahami nas-nas berkaitan akidah. Saya cuba mengkelaskan wahhabi (nama yang diberi oleh penentangnya) atau disebut juga salafi (nama yang diguna oleh pendokongnya) dalam kategori ini, kerana banyak persoalan dan perselisihan timbul dalam aspek akidah. Walaupun ada juga perbezaan pandangan mereka dalam soal fikah.

Kedua-dua aliran yang kita bincangkan ini masing-masing mendakwa mereka adalah ahli sunnah, lalu menafikan lawannya.

Namun, terdapat juga ulama yang meletakkan kedua-duanya dalam kumpulan besar ahli sunnah dengan nama-nama salaf, khalaf, ahli kalam, asyai’rah, maturidiyyah dan sufi (sufiyyah, nisbah kepada tasauf).

Ini kerana persoalan akidah yang disepakati oleh kedua-dua aliran ini lebih banyak, berbanding dengan aliran syiah.

Saya kemukakan ini agar kita tidak menjuzukkan lagi umat ini kepada kelompok-kelompok yang lebih kecil dan bertentangan. Ia juga bagi mengelakkan kita bermudah-mudah dalam melabelkan sesiapa sebagai sesat.

Kita seharusnya menghayati firman Allah yang bermaksud: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat”. (al-Hasyr: 10)

Pada tahap kedua, disarankan agar umat Islam bukan sahaja menuntut ilmu tentang agama dan masa depannya (akhirat) pada tahap fardu ain tetapi hingga ke tahap lebih mendalam. Jika kita mendalami usul fiqh (asas memahami nas-nas agama), sejarah pensyariatan dan ilmu dakwah, kita akan dapat memahami sebab-sebab perbezaan berlaku. Lalu memahami kedudukan pengikut mazhab-mazhab lain.

Apatah lagi, dalam konteks hari ini, masyarakat kita makin terdedah kepada mazhab lain hasil daripada teknologi pengangkutan, perhubungan antara negara dan komunikasi.

Percampuran dengan pelbagai mazhab tidak lagi hanya berlaku ketika umat Islam berhimpun dalam ibadah haji.

Kedatangan (migrasi) saudara-saudara kita secara besar-besaran dari Bangladesh, Pakistan, negara-negara Arab serta Afrika menuntut kita bersedia memahami persamaan dan perbezaan antara kita dengan mereka.

Antara tujuannya supaya kita tidak terkejut atau dengan mudah melabelkan mereka yang berbeza dengan kita sebagai sesat.

Sabda Nabi SAW: Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka. (riwayat al-Bukhari). Adakah hadis ini mewajarkan kita memudahkan banyak hal dalam agama termasuk bab berniat dan pengajian akidah?

ABU ZAKI: Persoalan yang lebih besar bukan soal memudah dan memberat-beratkan hal-hal agama. Sebelum itu, kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu. Jika lebih ramai umat Islam yang memahami agama dengan mendalam, maka lebih banyak masalah manusia dapat diselesaikan.

Masalah akan semakin rumit jika lebih ramai yang jahil tetapi mendalami agama dalam soal-soal terpilih.

Ada perbezaan yang besar antara memudahkan dengan mengambil mudah. Seorang yang alim akan memahami bahawa agama itu mudah dan memudahkan, tetapi dia tidak akan mengambil mudah perintah suruhan dan larangan Allah.

Ertinya, dia mesti difahami dengan ilmu. Setiap umat Islam perlu mendalami ilmu terutama pada kelas yang berpengaruh dan menjaga urusan umat.


Adakah kita patut kembali berpegang kepada pandangan ulama dalam tiga kurun terawal dahulu dan menolak ulama-ulama mutakhir sebagai jalan penyelesaian ‘krisis’ Ahli Sunnah Wal Jamaah dan wahhabi yang merugikan umat?

ABU ZAKI: Benar. Krisis ini amat merugikan dan ia juga sudah memakan masa yang terlalu banyak. Oleh kerana perbezaan itu memang timbul di kalangan ulama, kita tidak wajar memanjangkannya menjadi permusuhan di kalangan masyarakat awam.

Sedangkan soal yang lebih besar, iaitu mengajak manusia tunduk kepada agama Allah dan mempelajari asas-asas agama pun masih lemah.

Masih ramai di kalangan masyarakat kita yang jahil dalam persoalan pokok dalam agama termasuk dalam kumpulan yang berpengaruh. Kita wajar meletakkan kepentingan dakwah melebihi soal khilaf seperti ini.

Saya sarankan agar hadis Rasulullah SAW ketika perang Bani Quraizah dijadikan iktibar untuk menjaga perpaduan umat.

Laksanakanlah yang wajib dahulu

Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa ketika Nabi SAW dan para sahabat pulang dari Perang Ahzab, Nabi SAW memberi arahan: Jangan sesiapa bersembahyang asar kecuali di kampung Bani Quraizah.

Sebahagian dari mereka sempat solat dalam perjalanan. Sebahagian yang lain pula bertekad untuk sembahyang asar bila sampai di sana, walaupun tidak sempat dan waktu asar telah pun tamat. Sebahagian pula berpandangan mereka solat dalam perjalanan kerana Nabi SAW tidak bermaksud begitu.

Namun, maksud baginda adalah supaya mereka bergerak cepat. Apabila perbezaan pandangan mereka diadukan kepada Rasulullah SAW, baginda tidak mencela mana-mana sahabat.

Dalam agama diharuskan perbezaan pendapat. Tetapi apakah garis panduan yang perlu dipatuhi dalam bab ini dengan merujuk pada ayat 10 surah al-Hujurat?

ABU ZAKI: Inilah keperluan fikah keutamaan iaitu kita memahami ada perkara lebih besar yang perlu didahulukan daripada perkara yang kurang utama.

Seorang alim di Mesir diajukan persoalan oleh dua kumpulan yang bergaduh tentang solat tarawih. Mana yang benar, lapan rakaat atau 20 rakaat.

Beliau bertanya kembali, apakah hukum solat tarawih? Mereka semua menjawab sunat. Beliau bertanya lagi, apa pula hukum menjaga ukhuwwah? Mereka menjawab wajib. Maka kata beliau: Laksanakanlah yang wajib dahulu.

Saya amat tertarik dengan seorang alim lain pula yang memimpin solat tarawih sebanyak lapan rakaat. Kemudian beliau berhenti dan balik ke rumah, tetapi separuh daripada jemaah di masjidnya meneruskan solat tarawih itu sehingga 20 rakaat. Masing-masing kumpulan tidak mencela yang lain.

Contoh yang lebih besar ditunjukkan oleh para sahabat Nabi SAW dalam soal rukhsah berbuka puasa Ramadan ketika musafir. Ada yang berbuka dan ada pula yang meneruskan puasa.

Oleh kerana mereka memahami bahawa ia adalah soal yang ada pilihan, mereka tidak mempertikaikan satu sama lain. Riwayat ini disebut dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Kita juga wajar melihat adab yang ditunjukkan oleh Imam al-Syafie ketika beliau mengunjungi tempat pengikut mazhab Abu Hanifah (Imam Hanafi). Ketika solat subuh beliau tidak qunut. Apabila ditanya kenapa; beliau menjawab kerana menghormati Imam Abu Hanifah.

Justeru, bagi saya, soal besarnya selain fiqh keutamaan adalah adab berbeza pendapat (adab ikhtilaf). Kita dapat berlapang dada mendengar pendapat mazhab lain, walaupun kita tidak setuju. Begitu juga, kita mampu memberi pandangan berdasarkan mazhab kita tanpa tajrih iaitu tanpa mencela atau menyakitkan hati saudara kita.

Barangkali, pokok permasalahan ini adalah kerana kita tidak didedahkan dengan amalan pelbagai mazhab. Adakah sudah tiba masanya, kita lebih terbuka terhadap perbezaan mazhab?

ABU ZAKI: Saya setuju dan ia perlu dilaksanakan dengan teratur. Maksud saya dengan mengajar masyarakat dan masyarakat mempelajari syariat Islam dari peringkat asas.

Semuanya termasuk ilmu tafsir, fiqh dan syarah hadis, usul fiqh serta sejarah pertumbuhan mazhab. Bukan terus kepada bab hukum-hakam Islam yang berbeza lalu menimbulkan kekalutan atau membawa kepada sikap memandang ringan kepada hukum-hakam.

Media massa adalah ruangan yang terbaik untuk semua ini, kerana tidak semua orang berkesempatan menjadi pelajar secara sepenuh masa. Elok benar jika pengajian secara berkitab, bersiri dan bertahap dijalankan dalam akhbar, radio dan televisyen. Wallahu a’lam.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)