• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Dampingi Remaja Seperti Sahabat

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

AGAMA mampu mencorakkan kehidupan anak. Ini kerana pembentukan keperibadian mereka amat dipengaruhi persekitaran sosial dan budaya tempat mereka membesar.

Sebagai ibu bapa, mereka perlu menonjolkan gaya serta watak kepemimpinan terbaik dalam memimpin keluarga. Al-Farabi menyatakan, pemimpin yang cekap memainkan peranan penting dalam semua bidang di mana diibaratkan seperti jantung dalam tubuh manusia.

TERLEBIH HIBURAN...budaya hedonisme jika tidak dibendung akan merosakkan jati diri golongan muda.

DIDIK CARA ISLAMI...anak-anak perlu didik dari awal lagi dalam suasana keluarga yang sentiasa membesarkan Allah.

PANTAU...ketika usia anak meningkat remaja mereka perlu mendapat perhatian khusus daripada ibu bapa.
Pendidikan melalui teladan adalah cara paling berkesan dalam membentuk keperibadian anak. Allah mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w menjadi qudwah hasanah iaitu ikutan terbaik bagi setiap Muslim.

Dalam sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Tiada suatu pemberian yang diberikan seorang ayah kepada anaknya lebih baik daripada mengajarnya adab yang baik.” (Riwayat at-Tirmizi)

Kita juga perlu mengetahui cara paling ampuh serta berkesan dalam mendidik anak ialah ketika mereka masih kecil atau yang lebih baik ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya lagi.

Semua ibu bapa mahukan anak mereka membesar menjadi orang yang bijak serta baik akhlaknya. Jika anak melakukan kesilapan seboleh-bolehnya mereka mahu mendidik serta menegur dengan cara paling berhemah dan berhikmah.

Terdapat kisah daripada hadis yang menunjukkan bagaimana cara Rasulullah berinteraksi dengan anak remaja antaranya dengan menanam kecintaan terhadap agama.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya, saya berada di belakang nabi pada satu hari, Baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai anak, saya ingin mengajar kamu beberapa perkataan (nasihat): Peliharalah (perintah) Allah, maka Allah akan memelihara kamu dan peliharalah Allah nescaya kamu dapati Allah berada di hadapanmu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah dan apabila kamu mohon pertolongan, mohonlah pertolongan Allah. Ketahuilah olehmu, sekiranya umat manusia berpakat untuk memberi manfaat kepadamu, mereka tidak boleh memanfaatkanmu kecuali apa yang ditetapkan oleh Allah untukmu. Demikian juga jika mereka berpakat untuk memudaratkan kamu, mereka tidak akan dapat memudaratkan kamu kecuali dengan apa yang ditetapkan oleh Allah kepadamu, sudah terangkat pena dan sudah kering kertas.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Ulama menggariskan beberapa kaedah cara dakwah dalam menyampaikan mesej secara paling halus dan meresap ke dalam jiwa mereka yang kita sasarkan.

Cara menegur seperti berleter, mengugut, marah serta menengking tidak sesuai lagi kerana ia mengundang perasaan dendam, malu, sedih, kecewa dan tekanan kepada si anak.

Kesannya, di hadapan ibu bapa mereka mampu berkelakuan baik tetapi apabila ibu bapa tiada, tindak tanduk mereka lebih buruk.

Cara terbaik ialah pendekatan pendidikan yang menyebabkan anak berasa seronok bersama ibu bapa mereka.

Ketika usia tujuh tahun pertama, ibu bapa boleh bermain sepenuh hati dengan anak-anak kerana ia dilakukan Rasulullah s.a.w.

Usia tujuh tahun kedua, berkawan dengan mereka kerana ketika ini remaja mahu ibu bapa mendampingi mereka.

Dan, usia tujuh tahun ketiga, beri perhatian kepada mereka, tanya masalah mereka dan ambil tahu kehendak mereka. Jika ibu bapa gagal berbuat demikian, rakan-rakan akan mengambil alih tugas itu.

Di usia remaja, ibu bapa perlu memberi kepercayaan kepada mereka. Jangan sesekali memperlekeh serta memperkecilkan kebolehan mereka.

Gaya bahasa serta percakapan juga perlu diperhatikan kerana sudah tentu kita tidak mahu orang bercakap apa yang kita sendiri tidak suka mende�ngarnya.

Antaranya ada kalangan ibu bapa yang biasa menggunakan ayat seperti “Suka hati Alonglah!, “Mak tak peduli, itu Angah punya pasal! Gaya bahasa seperti itu digunakan bagi menghukum terutama apabila tidak bersetuju atau tidak menyukai sesuatu perkara.

Beri penghargaan dan iktiraf mereka. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Aku kagum dengan orang beriman, sesung�guhnya setiap perkara baginya adalah kebaikan. Apabila ia diberi apa yang disukai, ia memuji Allah dan baginya kebaikan. Apabila ia ditimpa apa yang dibencinya, ia tetap bersabar dan baginya kebaikan.” (Riwayat Imam Ahmad)

Pendakwah bebas, Dr Zahazan Mohamed berkata golongan remaja hari ini perlu menjadikan kisah pemuda Al-Khafi sebagai contoh golongan remaja yang beriman kepada Allah yang mendapat hidayah-Nya.

“Mereka menjadi orang muda yang mendapat rahmat Allah. Begitu juga dengan pembinaan kaabah di mana pembinaannya mendapat bantuan dan sokongan kuat daripada golongan muda seperti Nabi Ismail.

“Dalam satu kisah, Muaz bin Jabal terbukti antara individu hebat apabila berjaya menjadi tenaga pengajar ketika usianya baru berusia 14 tahun,” katanya.

Beliau menyampaikan ceramahnya dalam program diskusi Addin yang diadakan di Pantai Klebang, Melaka sempena Karnival Gegaria Harian Metro, baru-baru ini.

Tajuk yang dibincangkan pada malam itu ialah ‘Remaja Hanya Sekali’. Selain Zahazan, perbincangan itu turut disertai Imam Masjid Negara, Azhar Tuarno dan dipengerusikan Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd, Zamanuddin Jusoh.

Beliau berkata di akhirat kelak golongan yang mendapat fadilat Allah ialah orang muda yang hidup dalam suasana membesarkan Allah.

“Terdapat sebuah lagi kisah seorang anak muda hebat iaitu Ibnu Hajar yang sejak kecil sentiasa mengenang jasa ayahnya. Selepas ayahnya meninggal dunia, setiap hari dia akan ke kubur untuk baca al-Quran sehingga khatam.

“Pada satu malam ketika membaca al-Quran di kubur, dia terdengar satu suara.
Pada mulanya Ibnu Hajar ingatkan itu peristiwa lailatul qadar, tetapi beliau terperanjat kerana dia mendengar suara seperti tertekan dan merintih.

“Selepas diamati, suara itu datangnya dari kubur berhampiran. Ibnu Hajar bertanya kepada keluarga si mati kenapa dengan suara yang merintih dan tertekan itu sedangkan si mati ketika hayatnya seorang yang soleh?

“Akhirnya Ibnu Hajar mendapat tahu si mati ketika hidupnya pernah mengambil duit orang lain dan melakukan penyelewengan,” katanya.

Zahazan berkata anak perlu dididik mengikut perubahan zaman kerana didikan zaman seperti era 70-an pasti tidak sama dengan era 2000.

“Terdapat sebuah lagi kisah apabila seorang ibu membawa anak lelakinya berjumpa Rasulullah untuk dijadikan khadam selepas suaminya meninggal dunia.

“Si ibu itu bimbang anaknya menjadi orang jahat. Ketika menjadi khadam, Anas masih muda dan Rasulullah berdoa semoga Anas menjadi manusia berguna,” katanya.

Menurutnya, sebagai ibu bapa atau penjaga kita perlu sentiasa menyebut perkara yang baik-baik walaupun anak mungkin berasa jemu.

“Dalam aspek komunikasi, jangan lekas berputus asa. Begitu juga dalam pembelajaran, anak yang bijak ialah apabila mereka dapat berkomunikasi paling minimum 2,000 perkataan.

“Jika ibu bapa tidak berkomunikasi dengan anak-anak, kelak mereka akan mencari kawan-kawan di luar yang kesannya lebih parah,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa juga dinasihatkan sentiasa mendoakan anak mereka menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat.

“Dalam surah Al-Furqan ayat 74, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, berilah kami isteri-isteri dan anak-anak yang menggirangkan hati kami, dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertakwa”.

“Sentiasa baca serta amalkan ayat ini kepada anak setiap hari. Ibu bapa perlu mendidik anak mencintai ilmu, akhirat serta sentiasa menyebut kepada anak supaya menjadi insan yang baik.

“Terdapat tiga resipi anak cemerlang iaitu pastikan makan makanan yang halal lagi bersih, jangan menipu dan sentiasa mengikuti sunnah Nabi Muhammad s.a.w,” katanya.

Azhar Tuarno berkata tidak salah bagi golongan muda untuk berhibur, tetapi biarlah kena pada tempat dan caranya.

“Melihat kepada situasi sekarang, kita merasa amat kecewa apabila golongan muda terutama pelajar Islam menggunakan bahasa atau perkataan yang kurang sopan dan tidak berakhlak seperti ‘lu’ atau ‘gua’ yang langsung tidak menunjukkan nilai Islam sebenar.

“Mereka tidak boleh menyalahgunakan peluang hidup zaman remaja ini dengan perkara-perkara yang merugikan diri sendiri. Ketika tenaga sedang kuat inilah mereka perlu menggunakan kelebihan itu untuk menjadi insan terbaik,” katanya.

Beliau berkata golongan remaja perlu menonjolkan nilai Islam dengan memelihara adab serta tatasusila mereka.

“Contohnya, bagi lelaki tiada masalahnya berambut panjang, tetapi biarlah kemas dan jangan sesekali padankan dengan aksesori tambahan seperti memakai subang atau rantai kerana ia bukan cara Islam,” katanya.

Azhar berkata apabila ibu bapa menghadiri majlis ilmu mereka perlu membawa sekali anak bersama-sama mereka.

“Pendidikan kepada anak-anak bermula dari rumah. Ibu bapa tidak boleh harapkan orang lain mendidik anak mereka kerana anak pastinya lebih mudah menerima contoh teladan daripada ibu bapanya sendiri.

“Masalah orang kita ialah mereka tidak dorong anak-anak menjadi manusia cemerlang, tetapi sudah cukup gembira jika sekadar cukup makan atau boleh hidup.

“Inilah yang menyebabkan lahirnya remaja tidak berkualiti dan menjadi kudis kepada agama. Justeru, jadikan budaya ke masjid sebagai amalan kepada anak-anak remaja kita.

“Disebabkan pengaruh media seperti televisyen cukup kuat kepada anak, pastikan kita memantau rancangan yang ditonton oleh anak-anak. Pilihlah rancangan yang sesuai serta mendatangkan ilmu bermanfaat seperti rancangan dokumentari, National Geografic,” katanya.

Menurutnya pastikan jika ibu bapa menyuruh anak mereka bersolat, berpuasa, membaca al-Quran atau melakukan sesuatu yang baik, mereka hendaklah melakukannya di hadapan anak-anak.

“Malang sekali jika ada ibu bapa lantang menyuruh anak bersolat, tetapi mereka masih menghadap televisyen ketika azan berkumandang. Itu adalah didikan yang salah dan melahirkan remaja yang lemah,” katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)