• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Dengki, Dendam Senjata Syaitan Rosakkan Ummah

Oleh Amran Zakaria

Sikap kasar, keras kepala serta berhati batu penghalang utama perasaan saling bermaafan

AL-IMAM Al-Ghazali berpandangan bahawa iman yang sempurna adalah menyucikan hati daripada sifat keji dan menanamkan segala sifat terpuji. Hati yang bersih akan melahirkan perlakuan yang baik dan selamat pada landasan yang betul dalam amalan agama.

Orang berhati bersih akan turut menjaga mulut, lidah serta perlakuannya supaya tidak melampaui batas dibenarkan agama. Hati yang sihat dan bersih mengikut tapisan agama akan menampilkan akhlak terpuji sementara hati yang kotor melahirkan keperibadian buruk dan merosakkan.

Dalam satu pengajian di masjid, Rasulullah SAW ada mengkhabarkan kehadiran seorang calon penghuni syurga di tengah mereka. Orang itu tidak dikenali oleh sahabat, bahkan namanya tidak popular sebagai seorang tokoh ibadat.

Sahabat berasa cemburu dengan keistimewaan yang ada pada diri orang itu selepas Rasulullah SAW mengesahkan dirinya sebagai calon penghuni syurga. Salah seorang sahabat, Abdullah bin Amr, bertekad memantau dari dekat orang berkenaan untuk mengetahui apa keistimewaannya.

Abdullah lalu meminta izin untuk bertamu di rumah orang itu selama tiga hari. Ketika menjadi tetamu, Abdullah melihat secara langsung bentuk amalan tuan rumah, gerak gerinya, tutur katanya dan cara ibadahnya.

Hampir-hampir beliau tidak tidur kerana ditakuti jika ada amalan tuan rumah yang tidak dapat disaksikannya. Namun, Abdullah tidak mendapati apa-apa amalan yang istimewa berbanding sahabat lain. Amalannya biasa-biasa saja seperti diajarkan Rasulullah SAW.

Sebelum pulang, Abdullah pun bertanya secara terus akan amalan istimewa tuan rumah untuk dilakukannya. Jawabnya: "Tidak ada, selain yang engkau sudah lihat. Aku belum pernah melakukan kepalsuan terhadap siapa pun daripada kalangan umat Islam. Dan aku tidak pernah hasad (iri hati) kepada seseorang yang dianugerahi (nikmat) oleh Allah. Abdullah berkata: Itulah (sebenarnya) yang dapat meningkatkan darjatmu."

Jelas perasaan dengki, dendam, marah dan perlakuan buruk kepada sesama Muslim adalah satu senjata pemusnah yang digunakan syaitan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Lalu dibisikkan ke telinga manusia untuk menyemarakkan api kemarahan dan mendorong dendam.

Perlakuan buruk itu akan menghindari kita daripada berusaha meningkatkan ukhwah dan persaudaraan, apa lagi untuk saling bermaafan sesama kita. Sikap ini pasti menjauhi lagi hubungan silaturahim yang dituntut agama.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang beriman berduka cita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jugalah hendaknya orang beriman berserah diri." � (Surah Al-Mujadalah, ayat 58)

Justeru, penting bagi kita untuk mengawal perasaan dendam dan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini dititikberatkan Rasulullah SAW apabila seorang sahabat meminta nasihat.

Baginda bersabda yang bermaksud: "Jangan marah. Kemudian orang itu mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi Baginda SAW menjawab: Jangan Marah." � (Hadis riwayat Bukhari)

Allah juga akan memberi ganjaran besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya." � (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Untuk meredakan perasaan marah terhadap seseorang, hendaklah kita fokuskan jiwa melihat seteru kita daripada sudut positif. Mungkin ada banyak perkara baik pernah dia lakukan terhadap kita dan renungkanlah secara mendalam bagi memadamkan api kemarahan yang wujud dalam jiwa.

Contohnya, apabila kita marah melihat kesalahan dilakukan isteri maka hendaklah kita fokuskan perbuatan baik yang pernah dilakukannya sepanjang perkahwinan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain." � (Hadis riwayat Muslim)

Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan akan mewujudkan perasaan dendam. Maka hati akan berasa berat untuk memaafkan seseorang dan terbitlah perasaan benci serta ingin menjauhkan diri daripada orang itu.

Perasaan dendam juga akan menyebabkan kita menghukum pihak yang melakukan kesalahan dengan pelbagai perkataan buruk hina lagi mengaibkan yang tidak patut keluar daripada lidah jika kita benar-benar beriman kepada Allah.

Hendaklah kita sedaya-upaya menghindari untuk membalas kejahatan dilakukan orang lain dengan kejahatan atau mencela dan mengaibkan mereka. Jangan kita membalas celaan dengan celaan, umpatan dengan umpatan, caci-maki dengan caci-maki kerana ia hanya akan mengeruhkan suasana.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika ada seseorang mencelamu dengan sesuatu noda yang ada dalam dirimu, maka janganlah mencelanya dengan menunjukkan suatu noda yang ada di dalam diri orang itu." �(Riwayat Imam Ahmad daripada Jabir bin Muslim)

Antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan perasaan saling bermaaf-maafan adalah sikap yang kasar, keras kepala dan berhati batu. Oleh itu sikap lemah lembut dalam pergaulan seharian wajar menjadi sifat umat Islam terpuji.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dan Dia memberikan atas (sebab) lemah lembut apa yang tidak Dia berikan atas (sebab) kekerasan dan yang tidak yang tidak dia berikan atas (sebab) selainnya." � (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah menganugerahkan kepada Nabi dan Rasulnya sikap lemah lembut terhadap umat manusia dan sikap itu adalah daya tarikan terhadap dakwah mereka. Melalui sikap lemah lembut ini jugalah memunculkan sifat suka memaafkan kesalahan pihak lain.

Firman Allah yang bermaksud: "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan mohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau sudah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya." � (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)